Friday, June 17, 2011

Aku Pembunuh?

Saya berbelah bagi apabila memilih untuk membicarakan tajuk ini. Namun, setelah memikirkan dan mengambilkira 'faedahnya', saya memilih untuk mencoretkan catatan ini. Kisahnya bermula apabila saya mencuci MyVios ke Car Wash Damai. Adik petugas yang bekerja disana, sebagaimana biasa meminta saya meletakkan kereta dilokasi biasa mencuci kereta. Mungkin kerana sudah biasa dengan mereka....maka para pekerja ini 'cukup intim' melayan kereta saya.



Sesungguhnya saya terkejut dan tidak menyangka semalam (agaknya) dalam perjalanan balik dari Tawau pada sekitar pukul 8 ke 9 malam, saya telah membunuh seekor burung yang cantik. Bulu berwarna biru pada bahagian lehernya manakala badannya berwarna kehitaman. Pekerja di Car Wash itu menjumpai burung berkenaan melekat pada grill bumper bawah MyVios. Secara reflek, terpacul keluar....."Apa boleh buat, kita tidak sengaja!". Saya berkata demikian kepada pekerja itu, seolah meminta sokongan beliau untuk 'membunuh' rasa bersalah saya dengan kejadian ini.

Saya terfikir untuk mencoretkan pengalaman ini disini pagi tadi, tetapi terasa berat untuk membicarakannya. Pendekkan cerita, baru sebentar tadi, saya berhadapan dengan anak-anak murid yang menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kerja kursus mereka. Setelah membuat penerangan panjang lebar, saya membuka ruang lagi untuk mereka membuat pertanyaan tentang mana-mana aspek yang masih tidak difahami.

Seorang demi seorang mengemukakan pertanyaan dan kemusykilan. Tidak kurang juga yang membuat pertanyaan berulang. Dengan sabar, saya menjawab semula persoalan yang mereka lontarkan. Jauh disudut hati kecil saya terselit rasa bimbang akan kemungkinan cara saya ini 'membunuh' rasa ingin tahu mereka meskipun masih banyak perkara yang masih bersarang dalam kotak fikiran mereka. Seupaya yang mungkin, saya cuba untuk 'menghamparkan' seluas-luasnya peluang untuk mereka bertanya.

Sehinggakan berulangkali saya menggunakan perkataan boleh, boleh, boleh. Saya ingin sekali mereka menyedari 'tiada limitasi untuk mereka berkarya dan berkreativiti' melampiaskan bakat dan kemampuan mereka sendiri, asal sahaja hasilnya nanti menepati ciri dan ukuran yang dikendaki tujuan dan penilaian kerja kursus berkenaan. Saya sangat bimbing untuk menjadi 'pembunuh' sebagaimana membunuh burung tanpa sengaja dan niat pada pagi tadi. Kebimbangan itu masih bermain dalam fikiran saya, lantas peluang bertanya dan berbincang saya biarkan 'ternganga seluas-luasnya' untuk anak-anak murid saya menemukan jawapan.

Begitulah harapannya. Sememangnya tiada siapa manusia normal yang berniat membunuh semata-mata membunuh. Namun, awas...kerana rupanya ada pembunuhan yang kita lakukan, tanpa kita perlu menghunus atau mengacukan senjata. Sebagai guru, saya terlalu bimbang selama ini saya telah 'membunuh kreativiti, minat dan potensi' anak murid saya. Bagaimana pula....anak-anak kita di rumah?. Eeeeee.....lagi saya takut!. Lantas, berhati-hatilah kita semua. Awas....jangan jadi pembunuh!.

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Kantin Sekolah SMKT, Semporna.

1 comment:

Anonymous said...

salam cikgu yang disayangi..saya rasa, saya amat tertarik dengan kata2 cikgu itu..apatah lagi tajuknya...seperti berita Kosmo dan Harian Metro yang sentiasa saja panas dengan tajuk berita utama. Saya bersetuju dengan cikgu, bahawa kita takut akan jadi "pembunuh" seperti yang diterangkan oleh cikgu. Tapi kebiasaannya, kita bukan sengaja jadi pembunuh tapi kadang-kadang terlalai namun pada masa yang sama mengharapkan supaya ianya tidak berulang kembali..untuk pengetahuan cikgu saya juga pernah mengalami pengalaman yang sama, membunuh dengan tidak sengajanya seekor burung yang cantik, yang juga dijumpai depan grill Peugeot saya semasa mencuci kereta..tiada apa nak kata, sedih melihat...sekadar coretan kacau blog cikgu saja...hehe