Tuesday, August 31, 2010

Jangan Penat Buat baik!

Ogos berlalu pergi.....tinggal beberapa jam sahaja lagi bulan merdeka ini akan bertukar menjadi catatan sejarah. Siapa yang nostalgik dengan catatan sejarah, mungkin banyak perkara yang telah diarkibkannya. Namun, saya percaya tidak ramai kalangan kita yang tekun mencatat setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya. Sebab itulah......setiap kali berlaku peralihan bulan sebegini, sering kita dengar orang berkata, "Cepatnya....masa berlalu, esok bulan baru sudah, setahun sekarang macam sekejap saja!". Atau banyak lagi dialog lain ......yang menzahirkan kehairanan mereka betapa masa begitu cepat berlalu. Namun kehairanan itu berakhir begitu sahaja.

Saya terfikir......jika benar masa begitu cepat berlalu, maka apakah tindakan yang perlu kita lakukan ?. Hakikatnya kita masih tetap memiliki 24 jam sama seperti zaman kanak-kanak kita. Tetapi pada zaman kanak-kanak kita seolah-olah tidak tahu mengguna dan menguruskan masa dengan baik. Atau mungkin lebih tepat lagi... tidak sibuk seperti sibuknya kita hari ini. Lantaran itu masa berlalu sangat terasa lambat kerana aktiviti yang dijalankan sedikit sahaja. Mungkin bersekolah di sebelah pagi dan bermain guli disebelah petang. Malamnya tentu sahaja melelapkan mata. Selebihnya saya tidak kisah apa yang ayah dan ibu saya sibukkan seharian!.

Bandingkan sahaja masa kita kini, sebagai orang dewasa. Aktiviti kita bermula seawal subuh mengejutkan anak-anak bersolat dan bersiap ke sekolah. Menghantar anak ke sekolah. Membuat kerja-kerja sekolah sebelum ke sekolah tengaharinya, mengajar anak murid di bilik darjah, membeli keperluan dapur, melayan karenah anak-anak kecil, berjumpa dengan teman-teman, sembang dengan isteri atau sesiapa sahaja........dan entah apa lagi aktiviti yang kita lakukan seharian!. Itu belum lagi mengambil kira rutin tambahan pada bulan-bulan tertentu seperti ramadhan ini.

Dalam kesibukkan sebeginilah kita seolah-olah dialpakan dari menyedari pergerakan masa!. Sedangkan masa tidak pernah terkurang atau terlebih dari 24 jam setiap seorang!. Ya.....ada yang terlebih siang atau terlebih malam....tetapi jumlah masanya tetap sama. Lalu apakah yang boleh kita tafsirkan dengan urutan masa yang seolah-olah menantikannya bernoktah ini ?. Tentu sahaja kematian adalah noktah yang akan memisahkan kita dari kesibukan duniawi. Maka itulah saya terfikir, sebenarnya......semua perjalanan masa ini adalah berupa peralihan sahaja.

Dari malam kepada siang, dari ogos kepada september, dari ramadhan kepada syawal, 2010 kepada 2011, hidup kepada mati, hidup didunia kepada hidup diakhirat dan banyak lagi peralihan. Cuma satu yang akan tinggal kepada kita itu......perbuatan baik yang telah kita lakukan, tidak mengira kepada diri, orang lain malah kepada alam sekeliling. Sebab itulah saya terfikir untuk menganjurkan terutamanya kepada diri saya sendiri, jangan kita penat buat baik! tanpa soal, tanpa prejudis. Ogos ini tetap akan berlalu.....bersedialah menemui september, sebagai ramadhan meniti hari-hari akhir!.

P/s : Catatan ini adalah catatan terakhirku di bulan Ogos, entah....berkesempatan lagi atau tidak pada tahun hadapan. Hanya Allah s.w.t. yang tahu!.

Kembara Pulang Ramadhan...

Kembara Ramadhan 3 ditamatkan subuh tadi di Masjid Inabah Kamal, Semporna. Berbuka puasa kelmarin disempurnakan di Terminal Bas Inanam, Kota Kinabalu. Setelah seharian berjalan bermula dengan Centre Point bersambung ke Wisma Merdeka. Sebelah petangnya, bersambung lagi di 1 Borneo. Memang susah untuk membeli belah berseorangan begini. Tiada tuan penasihat!. Dalam perjalanan ke 1 Borneo, sempat berbual-bual dengan Pakcik pemandu teksi. Pakcik ini menzahirkan keluhannya betapa pendapatan daripada pemanduan teksi ini semakin sukar meskipun musim perayaaan hanya tinggal seminggu. Kalau ramaipun kelak menjelang hari-hari akhir perayaan, kesesakan jalan raya pula akan menghadkan pergerakan kereta di jalan raya.

Selepas menyempurnakan tugas hakiki sebagai manusia, makan ala kadar sebagai pengalas perut kami memulakan perjalanan balik sekitar jam 7.45 malam. Sudah banyak kali saya menggunakan bas ekspress untuk perjalanan seumpama ini, tetapi kali ini nampaknya lain sedikit. Pertama, pemandu bas yang saya naiki ini kelihatannya sangat 'friendly'. Situasi ini menjadikan perjalanan yang mengambil masa 8 jam ini santai dan menyeronokkan. Salah satu penumpang yang menyertai perjalanan ini adalah seorang ibu muda dengan 2 orang anak kecilnya. Keadaan menjadi meriah dan hiruk pikuk, lantaran anak ibu muda ini menangis bersahut-sahutan. Dalam kegelapan malam itu terdengarlah juga ibu muda ini memarahi anaknya. Akhirnya pemandu memilih untuk berhenti di tepi jalan beberapa kilometer dari Taman Kinabalu bagi meredakan keadaan ibu muda dan anaknya itu.

Berhenti makan di Restoran yang berhampiran Pekan Telupid, jam tepat menunjukkan hampir jam 12 tengah malam. Rasanya malam ini adalah untuk pertama kalinya saya melalui detik 12 tengah malam merdeka dalam perjalanan dan jauh ke pedalaman. Saya duduk mencatatkan beberapa perkara penting tentang merdeka dan detik jam 12 malam. Rencana awal untuk makan sahur disempurnakan di Seri Perdana, Lahad Datu. Penulisan saya bersambung di dalam bas apabila perjalanan bersambung dari Telupid ke Lahad Datu.

Dari Lahad Datu, kami meneruskan perjalanan ke Semporna. Banyak juga perbualan yang berlaku. Saya agak susah melelapkan mata, lantas 'mengajak' pemandu untuk berbual kosong. Sedar tak sedar akhirnya kami sampai di Semporna, dan bergegas mencari surau untuk menyempurnakan tugas hakiki manusia. Balik rumah, seakan tidak sabar untuk merehatkan diri setelah semalaman duduk di Seat 2, Bas manis Ekspress. Namun saya tetap merasa puas dengan kembara ramadhan 3 yang saya lalui !.

Merdeka!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Apa makna merdeka pada kita kini ?
Samakah dengan makna zaman Tunku melaungkannya
Kenapa kita raikan hari merdeka ?
Samakah dengan sebab zaman Tunku meraikannya
Apakah benar kita sudah merdeka ?
Samakah dengan benar zaman Tunku terjadinya
Ayuh kita berjiwa merdeka !
Samakah dengan jiwa merdeka zaman Tunku menghayatinya !
Fikir bagaimana kita hendak merdeka !
Samakah dengan zaman Tunku hendak memikirkannya...
Terima kasih, Malaysia merdeka !
Samakah dengan terima kasih zaman Tunku merasainya

Apalah maknanya merdeka.......
Jika merdeka masih mempamer pemikiran terjajah !

Monday, August 30, 2010

Diskusi Ramadhan 2....

Episod 1 : Ruang Anjung Rehat Tingkat Atas.

Selepas menyudahkan tugas hakiki sebagai manusia, sambil duduk di anjung yang dipenuhi udara segar dari rimbunan pokok-pokok di sekeliling rumah teman, perbincangan tidak formal kami bersambung secara santai. Sifu memperihalkan langkah transformasi dalam sistem pendidikan tidak akan berjaya jika reformasi yang dilakukan tidak meletakkan keutamaan terhadap penyempurnaan sumber tenaga utama iaitu guru.

Perubahan penting yang berlaku harus bermula di bilik-bilik darjah. Setiap inci kejayaan yang dilakarkan di setiap bilik darjah berupaya menjelmakan kejayaan sistem pendidikan secara keseluruhan. Jika hasrat ini ingin direalisasikan, maka selayaknya agen perubahan utama iaitu guru, diupayakan dengan pendekatan baru.

Gaya berfikir dan bertindak kalangan guru tentu sahaja dipengaruhi oleh beberapa faktor. Guru yang baru, selain dari mengaplikasi teori yang diperolehi semasa kursus perguruan, mahu atau tidak cenderung meniru cara dan gaya gurunya semasa bersekolah. Sebab itu bentuk pengisian kepada bakal guru harus berupaya mengangkat cara berfikir guru itu sesuai dengan hasrat sebenar profesion keguruan. Guru lama pula seharusnya bersedia untuk ‘meremajakan’ skil dan kemahiran mereka sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa.

Episod 2 : Ruang Makan Tingkat Bawah.

Perbincangan pasca-tarawikh malam ini kami sambung dengan perbincangan tentang budaya berorganisasi. Saya bersetuju dengan sifu bahawa setiap apa yang berlaku dalam organisasi adalah dicorakkan oleh isu hubungan. Hubungan ini mendominasi kerana ia adalah kunci penghubung antara setiap urusan. Diri kita sebagai manusia tidak terlepas daripada soal hubungan. Hubungan kita dengan tuhan, hubungan kita dengan alam, hubungan kita dengan sesama manusia. Kesemua bentuk hubungan ini jika bermasalah atau tidak dalam suasana yang harmoni besar kemungkinan akan menimbulkan masalah kepada organisasi kita.

Lihat sahaja isu anak lari dari rumah adalah melibatkan soal hubungan antara anak tersebut dengan ibubapanya. Tidak mungkin anak ini lari meninggalkan rumahnya jika selama ini hubungan antara anak ini dengan ibubapanya harmoni. Kalau tidak dengan ibubapanya pun kemungkinan dengan salah satu ahli keluarga merekaDemikian juga soal hubungan dengan Allah s.w.t. Hubungan yang baik dengan tuhan yang esa tentu sahaja terpamer dalam keharmonian hidupnya. Seorang yang ditimpa kesusahan tidak mudah berputus asa dan menyalahkan takdir sebagai punca kesusahannya. Sebaliknya, secepatnya ia bingkas bangun dan menerima apa yang berlaku sebagai ketentuan dari Allah s.w.t. Kesusahan ini semakin menebalkan keimanannya lantaran hubungan baiknya dengan tuhan.

Hubungan dengan alam tentu sahaja berlaku dalam kehidupannya seharian. Keselesaan tinggal di rumah yang menepati makna rumahku syurgaku menjadi idaman semua orang. Namun berapa dikalangan kita yang mungkin tidak selesa berada di rumah masing-masing. Keadaan rumah yang tidak selesa kerana tiadanya tumbuhan hijau di sekeliling rumah mengakibatkan keadaan yang tidak kondusif itu. Akibat suasana panas dan tidak selesa mengakibatkan penghuni didalam rumah berkenaan tidak selesa tinggal di rumah tersebut.

Lantas, dalam hal berorganisasi tentu sahaja soal hubungan ini menjadi soal pokok dalam menjayakan apa sahaja jenis dan matlamat organisasi. Pentadbir yang berjaya sebenarnya tidak terletak kepada hebatnya menjalankan undang-undang dan peraturan organisasi. Kehebatan seorang pentadbir sebenarnya terletak pada keupayaannya membina hubungan dengan orang bawahan dalam organisasinya. Tanpa mengira saf anggota dalam organisasi itu, ketua yang berjaya sebenarnya mampu menggerakkan dan mengembling tenaga dan kakitangan untuk membantunya menjayakan matlamat organisasi.

Walau hanya seorang tukang sapu sampah sekalipun, bos yang berjaya membina hubungan dengan baik akan mampu menggerakkan tukang sapu sampah itu berfungsi dengan efektif walau tanpa kehadirannya dihadapan tukang sapu sampah itu. Dengan kata lain, hubungan yang dibina berupaya menjadi ‘tenaga’ yang akan menggerakkan anggota organisasi mengupayakan fungsi masing-masing. Jika ini yang mampu dijelmakan, maka tidak syak lagi……organisasi itu boleh berfungsi dengan baik sesuai dengan fungsi kewujudannya dalam masyarakat.

Diskusi Ramadhan ini bersambung dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu. Giliran saya pula memandu…..lantas catatan diskusi terpaksa saya masukkan dalam ingatan sepenuhnya. Perjalanan balik nanti saya akan catatkan dalam Macbook untuk diapungkan sebagai tatapan bersama teman-teman. Ok….rehat dulu. Entry seterusnya saya akan apungkan sesampai di destinasi seterusnya nanti.

Diskusi Ramadhan....

Petang ahad kelmarin diisi dengan Program Kembara Ramadhan ke Kota Belud. Kawan yang membawa untuk berbuka puasa di rumah kampungnya membangkitkan kenangan kepada suasana kampung saya, Tarapuli. Sebelum itu perbincangan dengan teman-teman bersama sifu memang mencabar fikiran. Apatah lagi membincangkan topik yang berat di sebelah petang bulan berpuasa sebegini.

Antara topik bual bicara kami petang tadi adalah isu pemansuhan UPSR dan PMR. Masing-masing memberikan pendapat. Ada pro dan ada kontra. Pada hemat saya kesemua pendapat itu adalah benar belaka dan berhujah atas fakta dan realiti yang ada. Namun, benar juga ulasan sifu bahawa menentukan perkara sebesar itu tidak semudah seperti kita berbincang dan berdiskusi. Tentu sahaja implikasi daripada semua perubahan itu amat besar impaknya. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah perspektif yang digunakan oleh sifu untuk mentafsir persoalan pokok pemansuhan UPSR dan PMR ini. Benar kata sifu bahawa isu berkenaan adalah umpan sahaja. Untuk melihat keseluruhan isu ini, kita harus juga melihat pancingnya, joran yang digunakan, siapa pemancing itu dan sebagainya. Barulah kita melihat 'the big picture' isu ini.

Semasa berbincang tentang pemansuhan UPSR dan PMR, lontaran idea yang dihidangkan banyak berkisar kepada persoalan lain yang tidak menyentuh lansung kepada isu asal. Contohnya, pemansuhan itu wajar kerana masalah sukatan yang membebankan, beban tugas guru, keupayaan pihak sekolah memastikan perjalanan dan pelaksanaan program yang ada dan banyak lagi, seolah-olah menjustifikasikan pemansuhan itu. Bagi yang tidak bersetuju dengan pemansuhan menghujahkan pula soal pengisian yang diimbangi dengan penilaian yang lain dan bersifat saling menambah nilai kepada pelajar. Khususnya ditegaskan soal kecapaian pelajar dalam konteks realitinya yang tidak boleh dinilai dengan nilaia peperiksaan semata-mata.

Kesimpulannya, apa dibincangkan adalah menyangkut isu yang besar dan melatari keseluruhan sistem yang sedang dibincangkan. Maka itu, perkara ini tidak semudah bagai yang dikata kerana implikasi yang timbul daripada isu jauh lebih besar dan mendasar.

Perbincangan kami ditangguhkan kerana memulakan perjalanan ke KB. Dalam kereta perbincangan disambung dengan sedikit sulaman isu kecil yang terbit dariapad pemerhatian sekeliling. Saya simpulkan sendiri, rupanya pokok pangkalnya perbincangan berat sebegini perlukan pemikiran yang terbuka luas, dengan analisis yang lebih objektif. Sikap 'opensif' begini bukan sahaja menyediakan ruang sembang dan bincang yang kondusif dan mesra perbahasan tetapi lebih penting lagi mengasah gaya berfikir kita dengan lebih mantap.

P/s : Perbincangan pasca-tarawikh akan saya masukkan selepas ini nanti.

Sunday, August 29, 2010

Mavi Marvara......

Kembara Ramadhan 3 berterusan pagi ini. Agenda pertama adalah menyertai Program Himpunan Perdana Ramadhan bersama Wira Malaysia Gaza, Tuan Hj. Jamuluddin Elias, salah seorang anak Malaysia yang terlibat dalam peristiwa Kapal Mavi Marvara beberapa bulan yang lalu. Program yang dianjurkan Concern dengan kerjasama beberapa NGO dan agensi kerajaan, telah diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Menceritakan pengalamannya semasa peristiwa tersebut menyebabkan kita terasa amat kerdil. Kesanggupan mereka sebagai sukarelawan untuk berhadapan dengan risiko nyawa melayang adalah sesuatu yang harus dihargai oleh kita semua khususnya generasi muda. Kenapa menyatakan demikian kerana bukan mudah untuk berhadapan dengan kekejaman rejim Yahudi Israel. Muncung senapang yang terhala tepat ke kepala beliau adalah situasi yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran, kerana dengan sekali tarikan picu sahaja nyawa melayang.

Sungguhpun begitu, pengorbanan dan perjuangan masyarakat Palestine dan Gaza secara khusus harus disokong dan diberi bantuan. Benarlah........berita yang selalu terpapar di kaca-kaca televisyen, kepayahan yang mereka alami menyebabkan generasi Gaza lahir menjadi generasi yang kental dan tidak mengenal putus asa. Lantas, saya terfikir sendiri, agaknya sumbangan yang kita berikan ini berapalah sangat berbanding dengan pengorbanan masyarakat Palestine dalam memerdekakan Baitul Maqdis daripada penjajahan Israel.

Ahh.....terasa benar kerdilnya kita!. Ayuh sokong kehadiran Sukarelawan seperti Tuan Hj. Jamuluddin Elias ini. Benarlah kata-kata bahawa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul!.

Kembara Ramadhan 3..

Perjalanan pagi ini menuju ke Kota Kinabalu bermula dengan
iringan hujan renyai-renyai. Sebelum bertolak pagi tadi, berceloteh sedikit dengan anak-anak dan isteri. Merekalah yang menghantar saya ke terminal bas. Perjalanan menaiki bas ekspress agak releks apatah lagi dengan keadaan penumpang bas yang sangat sedikit. Rasanya penumpang tak sampai 10 orang daripada perjalanan awal. Bertambah sedikit dipertengahan jalan. Perjalanan ini sememangnya perjalanan serampang banyak mata. Kembara ramadhan 3 ini saya pasang niat untuk bertemu dengan teman-teman lama di Kota Kinabalu yang sudah agak lama tak ditemui. Di samping itu bersedia dengan pelbagai kemungkinan program yang tidak dirancang.

Teman-teman yang disapa khabar hanya melalui sms. Kesempatan ini akan cuba dimanfaatkan semaksimanya. Dalam perjalanan dengan bas yang dipandu dengan cukup baik, saya mengambil kesempatan untuk 'claim penat' awal-awal. Rencananya sesampai di Kota Kinabalu pelbagai aktiviti boleh diaturkan. Buku Fikir-fikirlah tulisan Dr. HM Tuah Iskandar saya belek-belek sepanjang perjalanan disamping sekali sekala terlelap. Nasib baik bas ini banyak 'seat' kosong!.
Solat Dzohor dan Asar disempurnakan di Surau berhampiran Pekan Telupid.

Alhamdulilah, sampai di Kota Kinabalu lebih kurang jam 5.32 petang. Terus bergegas ke restoran Sutera Bayu untuk berbuka puasa. Selepas berbuka puasa, kami mencari bilik penginapan. Nasib baik ada...!. Malam ini nampaknya misi pertama akan tertunai untuk bertemu dengan teman-teman lama. Pertemuan di Restoran Tenom Kopitiam, bersama dengan teman-teman rasanya 'memperbaharui' hubungan yang agak lama tidak bersemuka begini. Syukur Alhamdulilah !, terasa benar puasa ini memberi makna!

Saturday, August 28, 2010

Melakar Pelan.....

Semalam, selepas bersolat sunat tarawikh, saya berkesempatan untuk berkongsi sudut pandang dengan sekumpulan pelajar dalam satu Seminar Kecemerlangan Akademik. Teman-teman menberi peluang kepada saya. Perbincangan saya kendalikan secara santai apatah lagi dalam suasana ramadhan kini. Realitinya.....mereka kelihatan keletihan. Namun partisipasi peserta seminar cukup membantu 'menghidupkan' suasana.

Antara fokus penekanan yang saya anjurkan dalam diskusi singkat ini adalah perihal melakar pelan dan melukis diri. Saya katakan 'Melakar pelan', kerana fasa persekolahan ini memberikan peluang yang ternga-nga luas untuk kita membuat lakaran 'denai hidup' yang kita pilih. Sememangnya kita mempunyai hak untuk membuat pilihan. Jika memilih untuk tidak berjaya dalam pembinaan sahsiah dan akademik, mudah.......lakukan sahaja pelanggaran disiplin sekolah. Sebaliknya jika kita memilih untuk berjaya, maka pilihlah untuk menjadi pelajar berdisiplin. Selalunya....begitu. Tetapi saya tegaskan kepada semua bahawa, kepayahan yang kita alami dalam melakar pelan kejayaan hidup ini tidak akan terlepas daripada hitungan Allah s.w.t.. Lantas, jangan mudah berputus asa!.

Hakikat bahawa kita sebenarnya sekarang ini sedang melukis diri sendiri juga saya kupas dalam seminar ini. Jika kita tidak melukis diri dengan baik dan lengkap kemungkinan rupa wajah kita dalam gambar itu akan menjadi hodoh. Sedangkan kemahuan kita tentu sahaja gambar yang elok!. Maka selayaknya, kita mengikuti dengan baik proses pembentukan sahsiah dan pembinaan akademik yang sedang kita lalui sekarang!. Kesannya tentu sahaja kita akan memilih sikap terpuji dan pencapaian akademik yang membanggakan. Bermakna kita berusaha untuk melukis diri dengan sempurna. Agaknya......begitulah antara lain yang saya perkatakan.

Hanya kepada Allah s.w.t. kita berserah! Lakukanlah yang terbaik!.

New Phase of Our Life....

Kepada sesiapa yang meraikan
Hari Ulangtahun Kelahirannya hari ini,
Selamat Hari Lahir......
semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan
menjadi manusia yang berguna kepada manusia dan sekeliling !
Amiin.

Friday, August 27, 2010

Ohh...Mustari






Malam 17 Ramadhan, saya cukup teruja dan merasa cukup kerdil kerana untuk pertama kalinya sejak saya menceburi hobi mencerap objek di angkasa atau astronomi ( bahasa kampungnya ) ini, kali pertama saya dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri planet Mustari. Memang benarlah misteri kehilangan salah satu gelang yang melingkari planet ini sudah hilang daripada permukaan. Agaknya...kemana gelang itu menghilang. Planet gergasi yang penuh misteri cukup mengujakan untuk diperhatikan.

Kedudukan Mustari yang beriringan dengan bulan beberapa malam ini memberi peluang kepada pemabuk hobi astronomi seperti saya ini. Saya menggunakan lens 4 mm untuk melihatnya melalui teleskop. Sayangnya lens ini tidak 'fit' dengan 'camera mount' Canon 1000D saya. Gambar yang saya rakamkan ini mengunakan lens 12 mm. Gambarnya kurang jelas. Saya terpegun melihat planet ini sambil merasa takjub dengan kebesaran alam ciptaan Allah s.w.t. Benarlah....kita adalah sangat kerdil, malah mungkin sesaiz zarah cuma jika dibandingkan dengan alam semesta ini. Bersama kita menginsafi kebesaran Allah s.w.t.. Subhanallah!.


Bulan...17 Ramadhan!





Selepas Solat Sunat Tarawikh, saya mengajak anak-anak dan adik untuk 'bermain-main' dengan dunia astronomi. Gambar-gambar ini adalah wajah sebenar bulan pada malam 17 Ramadhan ini. Setelah agak lama tidak 'menjelajah angkasaraya', banyak kemahiran mengendalikan teleskop dan kamera yang 'hilang'. Tetapi berkat kesabaran, akhirnya berjaya juga membetulkan 'setting' peralatan mencerap dan menangkap gambar angkasaraya.


Thursday, August 26, 2010

Fikir Ramadhan 2

Persoalannya adakah kita benar-benar mengikuti pengajian di madrasah ramadhan ini dengan bersungguh-sungguh. Melewati tempoh separuh daripada pengajian selama sebulan ini sewajarnya kita menghisab diri. Catatan ini dinukilkan dengan niat untuk kita sama-sama mengukur tahap pencapaian kita dalam pengajian singkat ini. Andai kita merasakan prestasi kurang memberangsangkan, selayaknya kita membuat ‘kelas tambahan’ untuk menghabiskan sukatan yang mungkin belum disudahkan sekaligus meningkatkan amalan.

Tanpa mengira siapapun kita, rasanya amat wajar untuk kita berlapang dada menganalisis prestasi puasa kita. Mungkin pada seorang ayah, sejauh mana pengajian di madrasah ini mempertingkatkan kualiti dan kemahiran kebapaan kita. Ianya lebih dari sekadar menyediakan makan pakai anak-anak kita. Pada seorang ibu, sejauh mana pengajian ini telah benar-benar memberikan kepuasan kepada kita melangsaikan tugas keibuan kita. Ianya bukan sekadar menyediakan masakan dan menu berbuka puasa semata-mata. Sebagai seorang penjawat awam, sejauh mana madrasah sebulan ini berjaya ‘melunakkan’ layanan kita kepada pelanggan yang berkunjung. Ianya bukan sekadar memenuhi rutin kerja dan profesion kita.

Sebagai seorang pelajar, sejauh mana puasa sebulan ini meningkatkan iltizam dan kemahuan kita untuk melakar kejayaan. Berlapar dan dahaga sepatutnya mengajar kita risiko yang menanti manusia yang malas berusaha menjayakan dirinya. Lantas, wajar untuk seorang pelajar membuang sifat-sifat mazmumah, tidak gemar mendengar nasihat, malas membuat nota dan kerja rumah, suka bertangguh dan menunda kerja dan seumpamanya. Kelak sifat buruk ini akan memusnahkan masa depan kita. Percayalah setiap inci kepayahan yang kita lalui dalam menuntut ilmu itu tidak akan terlepas daripada ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Sebagai seorang guru, madrasah ini sewajarnya ‘menginsafkan’ kita tentang tugas menyediakan generasi pengganti kita hari esok. Mengajar bukan sekadar menghabiskan sukatan dan mempamer prestasi anak murid yang memberangsangkan, jauh lebih penting adalah menyediakan ‘khalifah-khalifah’ yang kelak akan mentadbir hari tua kita atau mungkin mengirimkan ‘al-fatihah’ untuk kita di liang lahat.

Sebagai seorang anak, madrasah ramadhan ini selayaknya meningkatkan penghayatan kita terhadap pengorbanan ibu dan ayah kita. Tanpa mereka siapalah kita hari ini. Sama-samalah kita menyedari redha Allah s.w.t. terhadap kita adalah bersyaratkan redha kedua ibu dan ayah kita. Amat sukarkah menitipkan senyum kegembiraan kepada mereka kerana melahirkan anak yang membahagiakan seperti kita, atau tergamakkah kita membalas pengorbanan mereka dengan membiarkan mereka menangisi ‘kegagalan’ hidup yang kita pilih. Selayaknya kita berjiwa hamba dengan susuk gaya seorang khalifah, memimpin bukan sahaja orang lain tetapi dirinya sendiri jua. Jika semalam kita adalah anak, hari ini mungkin kita adalah ayah atau ibu…. dan hari esok ?

Menjelang hari graduasi pada 1 Syawal kelak, amat malang jika pengajian yang kita ikuti selama sebulan ini berakhir tanpa penghayatan dan pendidikan jiwa yang berjaya. Sewajarnya…walau siapapun kita, madrasah ramadhan ini bukan sahaja meningkatkan penghayatan dan pentauhidan kita kepada kebesaran Allah s.w.t. malah lebih dari itu madrasah ramadhan selayaknya meningkatkan keberfungsian kita sebagai makhluk yang bertugas memakmurkan alam ini. Mungkinkah ini makna sebenar penciptaan kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi Allah s.w.t. ini. Kepada-Nya kita berserah. Wallahu ‘alam!.

P/s : Catatan ini adalah pentaakulan terhadap diri dan alam dari dhamir yang dhaif. Tentu sahaja catatan ini tidak terhijab dari kekhilafan dan kekurangan. Sebarang penambahbaikan amat dialu-alukan!.

Catatan Fikir Ramadhan 1 dan 2 adalah tulisan yang diterbitkan dalam buletin Suara Ramadhan, terbitan Panitia Pendidikan Islam sekolah saya.

Fikir Ramadhan 1

Sudah menjadi kefahaman umum menganalogikan Ramadhan sebagai madrasah. Pada pengamatan anda, mengapakah para ulama dan cendekiawan mensinonimkan bulan Ramadhan sebagai madrasah. Tentu sahaja ada unsur tertentu yang mencirikan bulan ramadhan sama seperti madrasah. Kefahaman umum menggambarkan madrasah sebagai institusi yang pendidikan dengan kurikulum yang bukan sahaja mentauhidkan Allah s.w.t. yang Esa tetapi juga secara holistik dalam konteks menyediakan modal insan yang menepati keperluan fitrah manusia itu sendiri.

Keberfungsian madrasah melahirkan modal insan bukan sahaja dalam bentuk penyediaan perisian ( software ) ilmu semata-mata, tetapi jauh lebih hebat daripada itu, madrasah juga menekankan aspek amali yang manusiawi iaitu soal akhlak dan sikap yang amat dititikberatkan dalam kurikulum sesebuah madrasah. Ringkasnya, madrasah bukan sahaja menangani soal dalaman malah juga luaran manusia yang ingin dihasilkannya. Tentu sahaja pakej yang menyeluruh ini adalah kearah menyediakan modal insan yang menepati fitrah penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Lantas, analogi ramadhan sebagai sebuah madrasah sememangnya tepat menggambarkan pakej yang terkandung dalam tempoh sebulan berpuasa ini. Objektif akhirnya ramadhan ini sebenarnya jauh melewati kefahaman menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Menahan diri daripada makan dan minum adalah berupa perisian bersifat luaran. Tetapi kesedaran yang lahir dari keinsafan merasai lapar dan dahaga yang dialami oleh orang-orang miskin dan sengsara itu adalah mesej sebenar yang ingin dididik oleh madrasah ramadhan ini. Tentu sahaja manusia yang menginsafi penderitaan orang-orang yang sentiasa lapar kerana miskin dan ketiadaan makanan akan terbit menjadi manusia yang penuh insaf, merendah diri dengan segala nikmat yang diperolehi dan menjadi manusia yang merasa kerdil dengan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t..

Akhirnya, graduan ( manusia ) yang menamatkan pengajian selama sebulan di madrasah ramadhan ini akan menerima anugerah yang lebih penting iaitu menginsafi diri sebagai hamba yang diciptakan Allah s.w.t. di muka bumi. Tugas khalifah yang dipikulkan diatas bahu setiap manusia yang menginsafi penciptaan dirinya di muka bumi ini tentu sahaja untuk tugas memakmurkan alam ini. Kefahaman inilah yang mencirikan perisian dalaman madrasah ramadhan ini. Ibadah zakat yang diwajibkan kepada setiap umat islam itu adalah ciri-ciri pelaksanaan tugas khalifah yang terpikul dibahu setiap manusia yang menginsafi dirinya sebagai hamba. Zakat yang dikeluarkan adalah penzahiran kesedaran setiap hamba untuk membantu saudara yang kurang bernasib baik, miskin dan memerlukan bantuan.

Sebab itu jugalah madrasah ramadhan ini amat menggalakkan umat manusia untuk bersedekah. Janji ganjaran pahala yang berlipatkali ganda untuk mereka yang bersedekah di bulan mulia ini adalah peluang yang terhidang kepada setiap manusia yang menginsafi dirinya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Dengan kata lain, pengajian selama sebulan di madrasah ramadhan ini sepatutnya menjadikan kita sebagai manusia yang menginsafi kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. yang menciptakan diri kita sebagai hamba yang bertanggungjawab memakmurkan alam ini.

Tuesday, August 24, 2010

Bulan terus berlalu....

Suatu ketika.....Ramadhan itu, saya mencari sesuatu..... tapi!

Monday, August 23, 2010

Acuan Minda

Pada hari sabtu yang lepas, saya berkesempatan bersama isteri dan anak-anak berkunjung ke Tawau. Hasratnya untuk membuat persiapan ‘raya’ anak-anak. Namun kesempatan ini juga saya manfaatkan sebagai kembara ramadhan bersama keluarga. Sementara anak-anak sibuk membeli-belah, saya mengambil kesempatan singgah di Quong Ming Bookstore. Membeli 3 naskah buku. Salah satu daripadanya adalah buku bertajuk Acuan Minda. Dah lama terbit tetapi baru ditemui.

Buku setebal 232 mukasurat ini adalah tulisan Prof. Dr. Sidek Baba dan diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. Buku ini sebenarnya adalah kompilasi tulisan Dr. Sidek Baba dalam ruangan Ufuk Minda, akhbar Berita Harian dan Majalah Pendidik, dengan sedikit pengubahsuaian dan penambahbaikan agar dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Sesuai dengan bidang kepakaran Dr. Sidek, sememangnya hidangan buah fikiran yang disajikannya dalam Acuan Minda ini cukup bernas, santai dan seronok dibaca. Prespektif yang jelas dan berfokus dalam menanggapi ilmu dan bagaimana seharusnya para pencandu ilmu menentukan hala kebermanfaatan ilmu itu dalam pelbagai dimensi dihuraikan dengan tersusun dan berkronologi.

Pada pengamatan saya, Acuan Minda sebenarnya banyak menuntut pengertian dan kefahaman warga pendidik dalam mengimarahkan penyempurnaan agenda pembinaan Modal Insan. Sesuai dengan saf kalangan guru yang berada dijalur paling hadapan dalam agenda pembinaan modal insan, obor penerapan nilai-nilai islamisasi dilihat sangat mendasar kepentingannya dalam menentukan impian menjana kualiti modal insan mengikut acuan sendiri berjaya direalisasikan!. Buku yang disusun dalam 48 bab ini dimulai dengan tajuk Perbezaan Pendapat Biar Ada Adabnya, seolah-olah menyediakan pembaca untuk bersedia menghadapi kepelbagaian idea yang silang menyilang dalam buku ini. Huraian santai buku ini ditutup dengan tajuk Tanggungjawab bersama dalam Pendidikan, sekali lagi seolah-olah cuba untuk menyatukan semula kepelbagaian yang ada.

Gaya penulisan penuh disulami dengan penggunaan kosa kata yang tepat menggambarkan makna dan memperlihatkan kegramatisan berbahasa penulis. Pendekatan ini bukan sahaja berjaya menghampirkan mesej buku dengan pembaca malah berupaya menerbitkan gian untuk menyudahkan bab yang berikutnya. Anda yang berminat mendepani agenda pembinaan modal insan dari kaca mata setempat, selayaknya membaca dengan lahap gagasan buku ini untuk melebar-luaskan prespektif kita melihat pendidikan sebagai agen perubahan yang sangat penting!. Jom….baca!.

Sunday, August 22, 2010

Kembara Ramadhan 2..

Pengembaraan merentasi jalur kehidupan. Hanya mata hati yang berupaya melihat.......liku-liku yang telah ditinggalkan, walau terhijab di sebalik bongkah-bongkah masa silam.

Cipta dan carilah ruang masa untuk mencipta ruang selasa....... memberi ruang diri bermuhasabah!

Thursday, August 19, 2010

Reflective Mirror.....

Pernah beberapa ketika teman-teman bertanya saya, “apa relevannya kenangan silam dalam kehidupan serba moden kini?”. Saya sendiri sudah lupa apakah jawapan yang telah saya berikan kepada persoalan teman-teman. Namun pagi tadi, saya temui dalam pembacaan saya, suatu jawapan yang rasanya cukup universal dan evergreen dan rasanya tidak dapat disangkal benarnya, pada hemat saya.

“Tradisi ilmu dan pendidikan menjadi tuntutan yang amat utama menghasilkan ulul albab supaya umat Islam memiliki upaya reflektif yang tinggi terhadap tamadun silam dan bersifat kreatif serta inovatif terhadap keperluan hari ini!”. Demikian antara lain tulisan Prof. Dr. Sidek Baba, dalam buku Acuan Mindanya. Saya terfikir kebenaran frasa ini kerana fitrah manusia sendiri yang beranak-pinak dan pertukaran generasi.

Lantas, jika kita skeptikal melihat dan menilai ‘kenangan’ silam, harusnya kita harus menimbangnya semula. Kenangan silam atau lebih spesifik lagi kenangan masa kanak-kanak adalah satu pernyataan atau gambaran tamadun dalam skala yang kecil. Jika kegemilangan sesuatu bangsa dirujuk kepada kegemilangan peradaban dan tamadun yang telah mereka bina, maka agenda peremajaan peradaban bangsa itu tentu sahaja tidak akan lari dari ‘melihat’ pencapaian tamadun generasi terdahulu dalam menentukan ‘acuan’ rupa wajah generasi yang ingin dijelmakan. Reflektif ini dalam skala yang besar kerana melibatkan keseluruhan ketamadunan bangsa itu.

Demikian halnya jika kita ingin menjadikan ‘kenangan silam’ sebagai cerminan kepada kita untuk membentuk personaliti dan jati diri. Tentu sahaja pengalaman yang pernah kita lalui itulah yang cenderung untuk menjadi ‘asas’ kita berfikir dan menentukan tindakan. Kita meyakini sesuatu pegangan atau prinsip pada hemat saya banyak dipengaruhi oleh ‘catatan diari’ kita pada masa yang lalu. Kecuali jika kita ‘mempelajari sesuatu yang berbeza’ atau ‘diluar kebiasaan’ memungkinkan kita ‘mengubah tanggapan atau kepercayaan dan gaya berfikir kita. Oleh itu, pendapat yang hanya menyatakan kenangan silam ……sesuai dengan medan maknanya sendiri, hanya kenangan!, adalah sesuatu yang sangat tertutup.

Kenangan adalah cermin yang memberi kita peluang reflektif yang sangat luas untuk menentukan bagaimana rupa diri kita pada hari ini dan hari depan. Persoalan yang seharusnya berlegar dalam kotak pemikiran kita ialah adakah kita benar-benar bersedia untuk belajar dan reflektif ‘menilai’ laluan kehidupan kita, dan dalam masa yang sama mempunyai pendekatan yang kreatif dan inovatif menentukan ‘acuan rupa wajah’ kita hari esok!. Jika ini benar, tidak syak lagi……kenangan adalah ‘peluang’ untuk kita melakukan muhasabah dan ‘tendangan penalti’ untuk kita menentukan untung nasib diri pada masa hadapan . Pilihan ada ditangan kita masing-masing!.

Wednesday, August 18, 2010

Sunday, August 15, 2010

Kembara : Babak 2

Alhamdulilah......!. Rasanya itu sahajalah yang paling tepat untuk saya menyatakan 'aroma' diri. Sementara menunggu masuknnya waktu solat Isya' tadi, berkesempatan juga saya meninjau-ninjau kalau-kalau ada teman-teman lama yang bersolat ke Masjid Daerah Kunak ini. Namun sedikit hampa.......tiada seorangpun yang saya temui. Tak ada rezeki!.

Terkenang juga kisah-kisah zaman sekolah dahulu, Kunak adalah antara daerah yang kerap saya kunjungi kerana ramai teman-teman rapat semasa 'Form Six' dahulu tinggal disini.

Sekadar menyatakan nama mereka....Saparuddin, Bacho, Pabo, Idris, Saud!. Ramai lagi teman-teman senior dan junior semasa bersekolah dahulu. Malah ada yang hanya tinggal cam muka sahaja, tetapi nama mereka lupa-lupa ingat sudah!. Ahh......demikianlah perjalanan hidup. Entah apa khabar teman-teman ini. Jika melihat kepada situasi yang ada di Kunak kini, peristiwa itu seperti baru sahaja berlaku semalam. Kepada teman-teman ini.......moga berjaya dan berbahagia dengan hidup masing-masing!.

Apapun......selepas menyempurnakan Solat Sunat Tarawikh, saya berehat seketika di dalam kereta, dan lebih kurang jam 9.00 malam menyambung pula perjalanan balik ke Semporna. Tak pernah rasanya berjalan berseorangan melalui jalan Kunak-Semporna ini.

Tetapi inilah juga kesempatan untuk saya melalui pengalaman itu. Perjalanan jarak ini lebih kurang 45 minit perjalanan santai. Waktu siang saya pernah mengambil masa 30 minit melalui jalan ini.

Tetapi terasa puas melakukan perjalanan ini.......walau dengan cara sendiri!. Sebelum memulakan perjalanan sempat juga menghubungi anak-anak di Seri Ilham untuk memaklumkan mereka!. Ok.... cau dulu!.

Kembara : Babak 1

Tepat jam 6.00 petang saya sampai di Simpang Pekan Kunak. Melihat kepada masa dan jarak perjalanan yang agak jauh untuk sampai ke Seri Ilham tepat pada waktu berbuka puasa, saya
menghubungi isteri dan memaklumkan rancangan untuk berbuka puasa di Pekan Kunak ini berseorangan. Saya lebih memilih untuk berbuka di Pekan Kunak apatah lagi sudah lama tidak menikmati Kembara Ramadhan. Rencananya saya ingin menikmati perjalanan ini dengan menunaikan solat Maghrib, Isya' dan Tarawikh di Pekan kecil yang pesat membangun ini.

Perjalanan hari ini sebenarnya adalah untuk menghantar Kakak Anis balik ke sekolahnya. Bertolak tengahari tadi dalam keadaan hujan lebat. Saya menjangkakan akan dapat berpatah balik dalam masa yang singkat. Tetapi perjalanan dalam hujan lebat mengambil masa yang agak lama. Perjalanan yang mengambil masa hampir 3 jam agak santai dalam suasana berpuasa. Tiba di sekolah kakak lebih kurang pukul 4 petang. Setelah bersalaman dan memeluk kakak sebagai 'bekalan rindu', saya meluncur laju meninggalkan perkarangan SMS menuju ke Bandar Lahad Datu. Rencananya bersolat di Masjid Ar-Raudhah, Lahad Datu dan selepas itu barulah meneruskan perjalanan balik ke Semporna. Tetapi tiba di Pekan Kunak, segala yang direncana nampaknya tidak seperti yang dicita. Tak apalah.......rezeki saya agaknya untuk bertarawikh di Pekan Kunak ini.

Ok lah.......saya berhenti dulu mencoret catatan perjalanan ini. Tinggal kurang 10 minit lagi waktu berbuka puasa. Selamat Berbuka Puasa....!

Rahsia Kaabah....

Pada keseluruhannya Kaabah adalh suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu'jam al-Kair daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan : "Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya". Bagaimanapun, ada beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihannya.

Untuk maklumat lebih lanjut, kunjungi laman ini. Selamat Mengembara Ilmu!.

Saturday, August 14, 2010

Nilai Hidup.....

Rasanya pada masa kini semua orang mempunyai kepercayaan masing-masing. Sejauh mana tingkat kepercayaan itu satu hal lain yang juga menyangkut kepada tingkat mana kepercayaannya ‘mampu’ mengawal atau mengatur kehidupan diri seseorang itu.

Sebagai seorang islam, tentu sahaja ‘pergantungan’ kepada Allah s.w.t. sesuatu yang mutlak dan tiada kembar irasnya. ‘Pergantungan’ inilah yang mencetuskan ‘tenaga dalaman’ yang menggerakkan individu manusia perlu mengaturkan kehidupannya dengan lebih baik!, hatta walau dia berseorangan sekalipun…..dirinya masih mampu mengawal dan berperilaku terpuji, apa lagi apabila bersama khalayak.

Bagaimana kehidupan yang baik itu pula akan mencetuskan sistem kehidupan yang menepati kehendak hukum dan fitrah manusia. Hubungan ibu dan ayah, suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak, anak sesama anak dan hubungan sesama manusia lainnya, hubungan budaya dan sistem sosial keseluruhannya. Keteraturan sistem kehidupan akan menjadikan kehidupan manusia harmoni dan aman damai. Sebarang pelanggaran kepada sistem kehidupan dan norma masyarakat tentu sahaja akan mencetus konflik.

Pertembungan dan konflik ini pula bersangkutan dengan soal moral dan akhlak. Individu yang bermoral tinggi dan berakhlak mulia sudah tentu tidak selesa melakukan perkara atau perbuatan yang menyanggahi hukum dan fitrah manusia. Tahap ini sebenarnya adalah tahap aplikasi dan pelaksanaan. Individu yang masih mampu berakhlak mulia sungguhpun berseorangan adalah individu yang ‘selaras akidah, sistem kehidupan, akhlak dan moral hidupnya. Individu yang cenderung menyongsong arus sistem kehidupan atau nilai akhlak dan moralnya tentu sahaja akan menjadi individu yang gagal.

Secara mudahnya, mengambil contoh guru. Seorang guru yang mengajar bukan kerana gaji semata-mata tetapi tanpa menafikan manfaat material, ‘menggantungkan’ profesionnya sebagai guru adalah ‘obligasi kepada Allah s.w.t.’ untuk memohon keredhaan-Nya. Lantas, sebagai guru, ia akan menjalankan tugas mengajar anak-anak muridnya dengan bersungguh-sungguh. Moral keguruannya sentiasa tinggi walaupun tanpa pengetua ‘memerhatikannya’ bekerja. Guru yang menepati ciri inilah agaknya yang boleh dikatakan sebagai guru yang memiliki nilai hidup yang tinggi. Ayuh…kita sama-sama menggapainya!.

Kefahaman dari buku "Apa kata Islam mengenai Manusia & Alam" tulisan Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

Ampaian 1....


Friday, August 13, 2010

Stay tuned...!

Semalam teman-teman sepejabat mengusik saya, "Cikgu Rahim ni bertenaga, masa mengajar suara masih kedengaran hingga ke bilik guru!". "Orang besar......simpanan tenaganya banyak, kita yang kurus ni....cepat letih!" teman lain pula menyampuk. "Iya.....ndak payah masuk kelasnya, dari jauhpun boleh tahu sudah apa yang diajarnya!" Cikgu Rosminah pula menyambung dari hujung bilik guru yang menempatkan guru-guru perempuan. Secara seloroh saya menjawab, "Esok saya akan tukar, mengajar dengan cara berbisik-bisik pula!". Kami sepejabat ketawa bersama dengan masing-masing melemparkan senyum.

Berbaur rasa saya mentafsirkannya. Saya yakin teman-teman sepejabat 'no heart feeling' dengan saya apabila mengusik demikian. Tetapi saya ingin mengambil usikan teman-teman ini untuk menjadi lebih positif dan dinamik. Saya memilih untuk melihat usikan teman-teman ini sebagai dorongan melakukan yang terbaik untuk diri saya dan anak-anak murid saya!. Mengapa begitu?.

...Ramai orang menganalogikan bulan ramadhan ini sebagai sebuah madrasah. Jika benar begitu gambarannya, selayaknya madrasah itu berfungsi menjadi pusat tarbiyah dan pendidikan yang baik. Maka selayaknya, apabila kita memasuki institusi pendidikan sehebat Madrasah Ramadhan ini kita mengambil kesempatan untuk mencemerlangkan diri dalam semua disiplin ilmu yang ditawarkan sepanjang tempoh pengajian yang singkat ini.

Lantas, saya memilih untuk mempamerkan susuk watak yang cergas dan cerdas dikala situasi yang ada 'menjelmakan' keadaan yang kelihatan layu dan longlai apatah lagi pada sesi pengajaran dan pembelajaran petang seperti kami. Seketika semasa di bilik darjah anak murid saya menyatakan, "Cikgu....laparlah!". "Baguslah......barulah kamu merasa nikmatnya berpuasa!" saya menjawab dengan raut wajah berseloroh. Anak-anak murid saya yang lain ketawa dan senyum mendengar jawapan yang saya berikan. Tak tahu pulak saya apa jangkaan dan harapan mereka kepada jawapan yang saya berikan. Tetapi sesungguhnya......saya merasa cukup cergas dan cerdas di bilik darjah, bukan untuk menunjuk-menunjuk pada teman-teman sepejabat atau pada anak-anak murid, jauh sekali untuk 'bertopeng'...... tetapi saya cergas dan cerdas maka saya mengambil kesempatan itu untuk 'melakukan' yang terbaik. Saya amat yakin......mungkin kecergasan saya itu memberi dorongan dan galakan kepada 'sesuatu' yang lain.......yang saya tidak tahu!.

Paling tidakpun......kelas saya tidak akan 'memboringkan' pelajar-pelajar saya, apatah lagi suasana ramadhan kini......yang cabarannya untuk kekal 'energetik' bukanlah mudah!. Hari ini tak tahu lagi......bagaimana suasananya. Agaknya begitulah yang sepatutnya....... Stay tuned!.

Thursday, August 12, 2010

Puas dan membahagiakan.....!

Bagaimana yang dikatakan ‘puas’. Pernahkah kita merasa ‘tidak puas’ atau sebaliknya merasa ‘cukup puas’. Bagaimana kita tahu yang kita telah sampai ke tahap ‘puas’. Adakah ‘puas’ ini sesuatu yang boleh dipastikan hadirnya, sekurang-kurangnya dalam diri kita. Paling penting lagi rasanya, pernahkah kita terfikir untuk ‘menganugerahkan’ rasa ‘puas’ itu kepada orang lain. Seringkah kita merasa cukup puas melihat orang lain puas, atau sebaliknya ‘puaskah’ kita
melihat orang lain tidak ‘puas’!. Tidak ramai kalangan kita menyedari bahawa memberi rasa puas kepada orang lain adalah juga kepuasan yang membahagiakan…….

Menceritakan pengalaman anak-anak, saya seronok benar melihat anak-anak gembira menjelang waktu berbuka puasa kelmarin. Sungguhpun kakak Along terlepas persekolahannya ke Sekolah Agama kelmarin, lantaran terlelap di sofa sekembalinya dari bersekolah di sebelah pagi, saya tukarkan situasi itu menjadi ‘pengajaran bab pertama’ kepada kakak Along. Lantas, saya pamerkan citra ‘membenarkan’ ponteng sekolah petang kelmarin disebabkan ianya telahpun berlaku. Jika saya memarahi kakak Along sekalipun tentu sahaja perkara itu telah bertukar menjadi sejarah. Lebih baik pada hemat saya, saya manipulasikan peristiwa itu menjadi positif dengan memberi teguran secara baik. Saya yakin kakak Along telah ‘mempelajari’ sesuatu daripada kecuaian itu. Saya puas melihat kakak Along puas!.

Eying, anak saya ketiga juga mengalami pengajaran bab pertama, hilang sandal sehabis menyempurnakan solat sunat tarawikh. Masjid di kampung sebagaimana kebiasaan awal ramadhan dipenuhi jemaah. Saya menjangkakan situasi itu lantas memberikan kakak Along beg kertas untuk menyimpan sandal mereka. Entah macam mana dalam kesibukan itu, sandalnya turut hilang!. Apabila kakak Along memberitahu kehilangan itu, saya selidiki bagaimana hilangnya namun saya tidak pamerkan rasa tidak puashati saya. Kelihatannya Eying seperti merasa gundah gulana dan sedih.

Tak apalah, nanti kita beli sandal baru!”, demikian saya menyenangkan hatinya. Saya yakin dia mempelajari sesuatu!. Rasa kehilangan dan kecuaiannya itu tentu sahaja ‘mendidiknya’ untuk lebih berhati-hati selepas ini. Semasa bersembang dengan ibu di rumah, saya melihat Eying puashati sungguhpun hari ini dia kehilangan sandal.

Kelmarin, saya berjaya menyudahkan susunan jadual mengajar yang baru berikutan kehadiran seorang rakan guru yang baru. Guru baru Bahasa Inggeris, Cikgu Lalithambal namanya. Kehadirannya menyebabkan jadual mesti dirombak semula. Tugas sebagai guru jadual waktu sekolah, maka saya cuba untuk mengubahsuai susunan subjek dan guru-guru.

Sedapat mungkin saya cuba penuhi kemahuan semua guru. Lantas saya sediakan peluang kepada guru-guru menyatakan respon dan masa yang agak lama untuk disudahkan. Tetapi kelmarin tugas itu akhirnya selesai. Memang tidak semua permintaan guru dapat saya penuhi. Tetapi respon daripada mereka memberi peluang kepada saya melakukan penambahbaikan kepada jadual yang ada. Kelihatannya tiada guru yang merasa tidak puas hati dengan susunan jadual mereka, sungguhpun ada permintaan mereka yang tidak dapat dipenuhi. Guru-guru puas dengan jadual mereka, bos sayapun puas kerana jadual masa guru baru telah dapat dipenuhi dan saya sendiri cukup puas kerana kepayahan yang dihadapi akhirnya dapat disudahi dengan baik.

Agaknya begitulah yang dikatakan puas!. Saya nyatakan nada ini sekurang-kurangnya benar pada 3 situasi tersebut. Suatu yang dapat saya pelajari, rupanya yang dinamakan kepuasan kita itu…… juga ada hubungan dengan kepuasan orang lain. Tidak kiralah bagaimana darjah kepuasan itu, tetapi selalunya kalau kita puas dan orang lain juga puas…..adalah suatu yang amat membahagiakan!. Atau kita puas tetapi orang lain tidak puas menjadikan kita rasa serba salah. Apa lagi jika orang lain puas tetapi kita tidak puas adalah menjengkelkan!. Lebih mendukacitakan jika kita dan orang lain juga tidak puas! situasi yang seharusnya kita elakkan.

Jom…..kita bahagiakan diri kita dan diri orang lain juga!. Benarkah begitu!

Wednesday, August 11, 2010

Elegi Ramadhan....

Anak-anak cergas bangun menyempurnakan ibadah bersahur. Keseronokan terpancar pada wajah mereka. Tetapi dalam keseronokan itu, rupanya anak-anak juga berkongsi rasa kekurangan kerana ketiadaan Kakak Anis duduk bersahur bersama. Ramadhan inilah untuk kali pertamanya kakak berpuasa sendiri di kejauhan, disekolahnya. Selepas solat saya menyendiri seketika. Subuh Ramadhan begini terkenang saya pada Ayah......yang suka bersahurkan nasi dan santan sahaja. Kopi pekat yang menjadi sajian wajib ayah.....menjadi pelengkap kepada makan sahurnya. Selepas bersahur dan solat, ayah selalunya membidang halaman Al-Quran dan berlarutan sehingga biji mata suria terpacul cergas di ufuk timur barulah ayah berhenti membacanya. Begitu....Ayah yang sempat saya kenali beberapa ketika.

Semasa masih di alam kanak-kanak, saya masih teringat bagaimana Ayah memperkenalkan skim galakan untuk berpuasa dengan berjanji untuk membelikan menu berbuka puasa yang kami gemari andai puasa kami berjaya disudahkan genap sehari. Sebagai insentif bulanan, jumlah hari yang terkumpul akan diberikan pula hadiah dalam bentuk duit raya pada hari raya pertama nanti. Namun, saya tidak berapa ingat hari yang telah saya sempurnakan pada ketika itu. Juga saya sudah lupa pernahkan saya menerima insentif duit raya selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Tetapi cara dan pendekatan ayah itu......berjaya menyediakan kami adik beradik dengan kebiasaan menjalani ibadah puasa.

Hari ini......hari itu menjelma kembali. Tentu sahaja dengan ketiadaan ayah keadaan sudah jauh berbeza. Jika dahulu saya dikejutkan ayah untuk bangun bersahur, pagi ini saya membangunkan anak-anak untuk bersahur. Jika dahulu saya dijanjikan 'reward' untuk berpuasa, hari ini saya memberi 'reward' kepada anak-anak untuk bermotivasi berpuasa. Jika dahulu saya memberitahu ibu citarasa untuk menu berbuka puasa. Kini isteri saya pula yang bertanya anak-anak selera mereka. Jika dahulu.....ayah yang membawa kami menunaikan Solat Sunat Tarawikh, kini.....saya yang membawa anak-anak menjalankan tugas itu. Demikian antara perubahan yang tidak mampu kita halang!.

Tugasan ini sedia menanti.....dan hanya menunggu saat kita menyedari.......rupanya kita telah 'kehilangan sesuatu'. Saya cukup terasa kerana menjelang ramadhan begini, ayahlah yang paling sibuk membuat persediaan. Malah kesibukannya persediaannya itu sehingga ke tahap melibatkan cucu-cucunya. Tugasan ini bukan mudah. Namun saya selalu berharap moga Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada saya menyempurnakan tugasan ini. Kesukaran, ketabahan dan kegembiraan ayah menyempurnakan tugasannya tentu sahaja mencetus inspirasi kepada saya mewarisi 'peninggalannya'. Dan.......selayaknya saya melakukannya dengan lebih baik senada irama dunia hari ini. Awal pagi ini selepas menghantar anak-anak ke sekolah mereka, saya memasang niat untuk menziarahi pusara ayah. Tidak mampu saya mengungkapkan rasa terima kasih......cuma 'citra' rasa kehilangan dan kekurangan tidak upaya saya nafikan!.

Saya zahirkan rasa kekurangan itu.....kerana sesungguhnya saya cukup terasa perginya Ayah, walau ramadhan kedua tiadanya ayah menjelma lagi.....hari ini!. Memang manusia tidak akan merasa cukup walaupun pernah dicukupkan dahulu. Tetapi saya memilih untuk terus merindui 'ketika' itu kerana kerinduan itulah yang menjadikan aku hari ini!. Terbitnya suria ramadhan pagi ini tentu sahaja sarat dengan 'penghayatan', doanya moga terbit kekuatan untuk menyempurnakan tugasan yang pernah 'disudahkan' ayah suatu ketika dahulu. Pada ibu kerinduan itu disiram-suburkan!. Alangkah bertuahnya mereka yang masih memiliki ayah!. Al-fatihah buat ayahku, Hj. Mostem Bin Raham, moga beroleh rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Amin!.

Bilik Hijau, Seri Ilham,
Semporna
1 Ramadhan 1431

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan..!

Salam Ramadhan Al-Mubarak!
Bersama menekuni pengajian di Madrasah Ramadhan dengan azam 'memugar dan menyegar kembali' dinamisme insan!.

Monday, August 9, 2010

"Ooooo 4......!"

Petang tadi saya sempat menonton siaran ulangan Rancangan Meja Bulat yang disiarkan dalam saluran Astro Awani. Program Bual Bicara yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman pada kali ini membincangkan Kewajaran pemansuhan UPSR dan PMR, yang sedang dinanti-nanti keputusannya sedikit masa lagi. Antara ahli panel yang membicarakan adalah Datin Freida Pilus, dari Sekolah-sekolah Cempaka ( tak silap le... ).


Apa yang cukup menarik perhatian saya adalah gagasan "Independent Learner". Benar, perbincangan ini cukup membantu 'meluaskan' perspektif kita menanggapi dunia pendidikan yang penuh dengan pelbagai cabaran. Pada hemat saya.....independent learner inilah yang perlu kita ramaikan.

Agaknya jika dapatlah saya membuat analogi independent learner ini adalah lebih kurang sama dengan "memberi pancing dan bukan memberi ikan!". Adalah lebih bijaksana jika kita memberi seseorang peralatan memancing dan mengajarnya bagaimana memancing. Cara ini bukan sahaja kita mengajar kemahiran memancing kepada seseorang yang lain, tetapi yang jauh lebih penting lagi adalah menyediakan individu yang mampu berdikari sendiri, tanpa mengharapkan belas ehsan dan bantuan orang lain. Jika cara ini berjaya, maka individu berkenaan tidak perlu lagi meminta-minta ikan daripada orang lain, sebaliknya dia boleh mendapatkan sendiri ikan, dan ada potensi untuk dirinya mahir dalam ilmu memancing ikan ini suatu hari nanti.

Jika kita meletakkan analogi ini pada nilai seorang pelajar, andainya kemahiran yang kita 'curahkan' kepada pelajar ini berjaya diaplikasikannya dalam kehidupan sendiri, maka pelajar ini akan mampu melakukannya sendiri tanpa perlu lagi terlalu bergantung harap kepada orang lain. Kemahiran berfikir yang diperturunkan kepada pelajar melalui mata pelajaran Geografi, khususnya dalam bab Pergerakan Bumi mengelilingi Sistem Suria, contohnya....mungkin akan menjadikan pelajar berkenaan tahu dan mahir tentang fenomena alam.

Dengan ilmu itu nanti ada kemungkinan pelajar ini akan menghargai alam sekitar dalam kehidupannya. Yang paling penting lagi.....ilmu itu bukan sahaja memahirkan dirinya dalam mata pelajaran geografi, tetapi juga diaplikasikan dalam kehidupannya di alam selepas dunia persekolahan. Agaknya begitu..... How to build the independent learner......ayuh kita fikirkan bersama!.

Sunday, August 8, 2010

"Ooooo 3......!"

Ada pendapat yang menyatakan bahawa latar pelajar khususnya soal suku bangsanya, taraf sosio-ekonominya dan pelbagai lagi isu yang melatari pelajar berkenaan tidak harus menjadi isu yang menghalang tercapainya tugas memanusiakan mereka. Saya sendiri setuju dan tidak bersetuju dalam soal ini.

Saya teringat cerita sifu apabila diajukan satu persoalan oleh peserta dalam satu Seminar bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat Sabah beberapa bulan yang lalu. “Bagaimana lagikah cara kita mengajar anak murid yang masih gagal menguasai pelajarannya, sedangkan kita sudah sehabis baik dan memudahkan penerimaanya terhadap pelajarann”…… lebih kurang begitulah soalannya. Apa jawapan sifu kepada soalan ini?. “Saya tidak tahu bagaimana cara mengatasi masalah ini, tetapi cikgu yang bertanya itulah yang lebih tahu cara bagaimana masalah pelajar itu diatasi!”.

Pada kebanyakan kita mengharap dan menjangkakan ada tips atau cara untuk mengatasi persoalan guru berkenaan. Apatah lagi jika persoalan itu dikemukakan kepada seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dengan tahap pendidikan doktor falsafah. Tetapi sifu menjawab persoalan berkenaan dengan jawapan yang mudah dan boleh dijangkakan, cuma telah tidak kita fikirkan!.

Ada benarnya!. Bukankah kita adalah guru yang berhadapan dengan kelompok pelajar berkenaan saban hari. Selayaknya kita lebih mengetahui tingkah laku dan keupayaan pelajar berkenaan. Lantas, jika ditanya siapa yang lebih mahir dengan pelajar-pelajar berkenaan……tentu sahaja jawapannya adalah guru berkenaan dan bukannya orang yang berkelulusan phd, pengarah pelajaran malah menteri pelajaran sekalipun. Guru tersebutlah yang lebih faham

bagaimana kekuatan dan kelemahan pelajar berkenaan. Maka…..jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh guru tentang bagaimana lagi strategi dan cara menghadapi permasalahan pelajar jenis ini, guru itu sendirilah yang perlu menyusun strategi dan cara menghadapi kesudahan persoalannya.

Tinggal lagi pengalaman yang melatari seseorang pendukung profesion pendidikan ini akan memberi kelebihan dari segi kekayaan tentang cara dan pendekatan menghadapi persoalan anak-anak murid. Oooo…..begitu ka?.

Jika ini benar, maka adalah wajar untuk kita mengambil kira semua perkara jika ingin berjaya menanganinya. Isu latar belakang pelajar harus diambil kira dalam perhitungan ini. Cuma untuk menjadikan sebagai ‘kambing hitam’ bagi menyimpulkan keseluruhan keupayaan mereka untuk diubah menjadi manusia yang berguna harus dilihat secara objektif. Jika mengambil kira beban tugas guru, mungkin isu ini tidak boleh dikesampingkan!. Agaknya mampukah guru berfungsi dengan optima jika saiz pelajar itu sudah tidak realistik dengan keupayaan guru. Betul ka.....lu fikirlah sendiri!

Saturday, August 7, 2010

"Ooooo 2......!"

"Tetapi....pendekatan lembut ini tengok jenis budak juga!", demikian rakan sejawat mengutarakan pendapat dalam forum terbuka ( masa senggang ) di Bilik Guru sekolah. "Ada jenis budak yang mudah menerima teguran dengan cara yang lembut. Tidak kurang juga jenis yang tidak makan saman". "Kalau budak yang mudah menerima teguran secara lembut ini, kita kurang bermasalah sedikit menghadapinya, tetapi kalau budak yang tidak maka tegur, rasanya pendekatan lembut kurang relevan". 'Pukulogi' adalah cara yang sedikit berkesan ke atas pelajar-pelajar yang tidak mengenal saman dan teguran!".

Betul juga.....pendapat teman sejawat itu. Kepelbagaian watak pelajar dalam bilik darjah itu menuntut perhatian profesional seorang guru. Bukan calang-calang guru sebenarnya yang mampu bersama dengan karenah pelajar. Ambil sahaja senario yang sering wujud di sekolah harian biasa. Saiz pelajar dalam satu bilik darjah mencecah angka 38 orang pelajar. Guru pula kebiasaanya mengajar lebih dari satu tingkatan atau kelas. Jika guru itu mengajar 5 kelas bermakna guru itu akan 'mentadbir pembinaan dan pembangunan' lebih kurang 190 orang pelajar.

Jika kita menghalusi bahawa guru selayaknya menggunakan pendekatan yang bijaksana dan profesional, maka guru itu perlu mempunyai 190 set 'preskripsi' untuk dipadankan dengan jumlah pelajar bagi 5 kelas yang diajarnya. Mampukah?. Sekali lagi.....tugas ini bukan mudah!. Rasanya tidak ramai guru yang mempunyai keupayaan 'luar biasa' mentadbir jumlah 'preskripsi' sebesar ini. Jika guru itu optimistik dan positif sekalipun......hambatan lain mungkin akan 'merempuh' tugu motivasi guru berkenaan, paling tidak sukatan pelajaran mungkin tidak sempat dihabiskan!.

Fakta ini belum lagi mengambil kira mata pelajaran yang diajar guru itu. Berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui, mata pelajaran Matematikk dan Bahasa Inggeris adalah antara mata pelajaran yang kurang digemari kebanyakan pelajar. Jika adapun pelajar yang berfikiran positif menghadapi mata pelajar ini, selalunya.....mereka adalah pelajar dari kelas yang terpilih. Lantas, setuju atau tidak....kualiti pelajar juga turut 'mencabar' harmoni tugas dan keikhlasan guru menggalas profesionnya!.

Ya.....sekali lagi, mungkin inilah ciri yang akan membezakan antara guru biasa dan guru luar biasa!. Sungguhpun kita kelihatannya akan menjadi penyedia 'ramuan' yang dipastikan mujarab untuk semua jenis pelajar, namun kita jangan lupa.......cikgu juga adalah manusia!. Agaknya.....kita guru yang mana satu?.

"Ooooo......!"

“Kenapa tak buat kerja rumah?” seorang guru bertanya muridnya….”Lupa cikgu!” jawab murid itu pendek dan bersahaja. “Kenapa boleh lupa…..apa yang kamu buat semalam?” murid diam membisu seribu bahasa. Guru itu bertanya lagi, “Apa yang kamu buat semalam?”. “Tidur!”. “Pukul berapa kamu tidur semalam?”. “Jam 10.00!”. “Sebelum itu apa yang kamu buat?”. “Menonton TV!”. “Oooo…..!”

Entah apa lagi dialog guru dan murid tersebut selepas itu. Jika anda seorang guru atau siapapun anda, mungkin anda pernah berhadapan dengan persoalan-persoalan seumpama ini. Apa jangkaan dan tafsiran anda menghadapi situasi begini?.

Bagaimana persepsi awal anda dengan murid sebegini?. Sejauh manakah kreativiti anda menangani situasi murid begini?. Dan persoalan yang sangat penting pada saya adalah, sejauh manakah anda berjaya memenangi murid berkenaan dalam keadaanya yang bersedia mempertahankan diri sungguhpun dia melakukan kesalahan, tidak membuat kerja sekolahnya!.

Saya terfikir menimbulkan persoalan ini untuk menjadi bahan difikirkan, pertamanya, sering menjadi cerita bandingan bagaimana pelajar pada masa dahulu ( semasa saya bersekolah.. ) kelihatannya lebih memiliki nilai yang positif daripada pelajar pada masa kini. Saya tidak berniat untuk membuat perbandingan generasi dari 2 era yang berlainan, apatah lagi untuk menafikan bahawa “anak yang dilahirkan hari ini adalah untuk hidup dalam zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita hari ini!”. Tetapi sering juga kita berasa kaget dan pelik apabila menghadapi anak-anak murid masa kini.

Situasi yang berlaku, dalam keadaan pelbagai kemudahan pembelajaran yang lebih demokratik dari segi sumber dan bahan pembelajaran, mudah ditemui anak-anak murid yang ‘mensia-siakan’ segala kelebihan dengan cenderung melakukan perbuatan yang melanggar peraturan dan norma moral masyarakat. Sebaliknya…bagi generasi terdahulu, kelihatan lebih mudah memberi tafsiran positif terhadap setiap ‘kepayahan’ yang dialami. Lantas, kita cenderung untuk menyimpulkan bahawa ‘kekurangan, kepayahan dan kesulitan’ kelihatannya alat yang paling baik untuk menerbitkan versi pelajar yang tahu menghargai dan memanfaatkan peluang!.

Tetapi sebelum meyakini kefahaman ini, elok juga untuk kita selidiki bagaimana kandungan pakej sistem sosial pada masa itu. Masyarakat yang baru hendak mengenal ‘kemajuan dan pembangunan’ masih kuat berpegang pada norma dan nilai masyarakat. Nilai-nilai murni utuh diamalkan dalam kehidupan seharian. Bukan teorinya sahaja, malah dalam praktikalnya!.

Lantas, generasi dahulu mudah ‘menukarkan’ kesukaran dengan nilai rajin dan tidak berputus asa, ‘menjaga tepi kain orang’ sebagai obligasi sosial kepada masyarakat, dan banyak lagi nilai negatif yang ditafsirkan dengan tindakan yang positif.

Mengambil kira perhitungan ini, maka selayaknya kita juga mengambil pendekatan berlapang dada untuk mendepani karenah anak-anak murid pada hari ini…. dengan lebih objektif. Saya nyalakan obor gagasan ini kerana hakikat bahawa nilai dan norma yang terkandung dalam pakej sistem sosial masyarakat hari ini juga sudah jauh berubah daripada generasi lama dan terdahulu. Lantas, jika kita mengambil tanggungjawab ‘pembinaan generasi masa depan’ terpikul dibahu generasi hari ini, maka kita harus mengambil pendekatan yang objektif sesuai dengan segala ‘hambatan’ yang sedang mendepani kita kini!.

Pada hemat saya, jangan cepat membuat telahan dan jangkaan negatif pada anak murid kita tanpa terlebih dahulu ‘memenangi’ jiwa dan kepercayaan mereka. Kita juga wajar dipersalahkan jika generasi hari esok mewarisi ‘sistem bobrok’ yang kita amalkan hari ini. Ayuh…..kenapa tidak kita mencuba pendekatan yang lebih lembut sesuai dengan aspirasi anak muda hari ini!. Agaknya…….begitulah yang sesuai sungguhpun…..itu bukanlah yang amat pasti!. Sekurang-kurannya pada ketika ini!. Let’s handle it carefull, they are very fragile maybe….!

Friday, August 6, 2010