Assalamualaikum....Cikgu!
Selamat kembali bertugas kepada semua warga guru dimana sahaja berada!. Musim persekolahan semester kedua bermula hari ini. Minggu-minggu berikutnya tentu sahaja penuh dengan tugasan apatah lagi menjelang hadirnya peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM. Tentunya senarai tugasan panjang telah sedia menanti teman-teman seprofesion sebelum pun meninggalkan sesi persekolahan dua minggu yang lalu.
Mungkin bagi kebanyakan sekolah, minggu ini adalah minggu kritikal. Kritikal kerana angka-angka akan dipamerkan pada minggu ini, mencerminkan pencapaian yang telah diperolehi anak-anak murid sepanjang satu semester yang lepas. Apa sahaja saiz angka dan pencapaian anak-anak murid, implikasinya tetap akan merempuh kredibiliti guru dalam tugasan asasnya sebagai guru.
Kadang-kadang kita merasa terkilan kerana apa sahaja perkara buruk yang menimpa pelajar, guru sering menjadi titik tudingan jari masyarakat sebagai tidak berfungsi dengan sepatutnya. Sebaliknya, apabila anak murid ini membuat pencapaian yang baik, watak yang sering dikesampingkan dalam membantu mencorakkan pencapaian anak murid itu ialah perit jerih seorang guru. Sungguhpun saya mengakui tidak semuanya begitu.....tetapi 'advantage' sepatutnya diberikan kepada seorang guru.
Bukan berniat untuk meminta balasan dan ganjaran. Usah juga dimomokkan dengan kerja mulia dan berpahala semata-mata untuk 'membiarkan' guru memikul bebanan berat dan sarat. Sebab itu, wajar untuk kita 'menimbang semula' sumbangan yang telah kita lakukan untuk membantu warga guru menyempurnakan tugasan mereka di bilik darjah.
Tanpa selektif kepada sesiapa, rasanya tiada seorangpun individu normal yang tidak terlepas daripada dilingkari kerja tangan seorang guru. Berjawatan awam atau tidak, guru atau bukan guru, selagi dia mempunyai anak yang bersekolah, maka dia tidak akan terlepas daripada berurusan dengan seorang guru. Saya cenderung untuk menganjurkan gagasan yang paling minima dapat kita sumbangkan. Sebagai ayah dan ibu sewajarnya kita membantu guru dalam soal akhlak dan adab sopan, dan tentunya soal wang ringgit.
Harapannya nanti, guru akan mempunyai kesempatan yang cukup lumayan 'menggaul dan menguli' adunan pelajaran anak-anak kita, dan tidak terbuang masanya menguruskan perkara-perkara yang tidak berkait langsung dengan soal pencapaian akademiknya di sekolah.
Teman-teman guru sekalian, ayuh....kita sudahkan tugasan kita dengan hati yang ceria dan gembira. Bersamalah kita melampiaskan kecintaan kita kepada profesion ini, dengan sentiasa memberikan yang terbaik semampu kita yang boleh!
Selamat bertugas....Cikgu!
( Dedikasi untuk guru-guru yang terpaksa berjauhan dari orang-orang tersayang...demi tugasan untuk nusa dan bangsa.....! )
Posted using BlogPress from My iPad's
No comments:
Post a Comment