Sunday, June 12, 2011

Selamat Berjuang.....Kakak!

Baru sebentar tadi saya menerima panggilan telefon dari isteri di Semporna, memberi tahu kakak akan bertolak sebentar lagi untuk pulang ke sekolahnya. Saya sayu....kerana dalam kepayahan macam manapun, saya sentiasa berkesanggupan untuk menghantar sendiri kakak balik ke sekolahnya. Lebih dari itu, setiap kali menghantar kakak saya sentiasa memberikan pelukkan sayang, tetapi nampaknya tidak pada kali ini. Sungguhpun keadaan ini jarang berlaku......cuma saya cuba menyelami perasaan kakak, adakah kakak 'bersetuju' dengan keadaan ini. Saya tidak pasti....dan saya tidak akan bertanyakannya sendiri kepada kakak.



Sebagai ayah....tentu sahaja ini menjadi tanggungjawab saya. Tetapi, rasanya satu nilai yang saya ingin anak-anak saya perlu pelajari adalah ilmu dan kemahiran berdikari. Nilai ini bukan sahaja menjadikan mereka individu yang boleh berdiri sendiri, tetapi paling penting pada hemat saya .....kemahiran dan nilai inilah yang menjadikan mereka insan yang berguna dan bermanfaat kepada diri dan sekelilingnya. Benarlah kata pepatah, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan!.

Diskusi ringkas bersama Sifu ada benarnya. Sistem pendidikan di rumah dan di sekolah tentu sahaja sangat berbeza dari pelbagai segi. Mengambil kira silibus sahaja sudah cukup untuk membuat perbandingan. Di sekolah, ada silibus yang telah ditetapkan. Lantas ujian-ujian dan pengukuran boleh dilaksanakan kerana ada kandungan tetap yang boleh dinilai. Berbeza dengan pendidikan di rumah, silibusnya ialah proses dan contoh teladan yang anak-anak perolehi di rumah. Tanpa sukatan tetap, proses yang berlaku adalah bab demi bab yang sentiasa berlaku dan boleh jadi bab itu berubah serta merta.

Seorang ibu yang memasak di rumah adalah antara bab yang wajib berlaku. Daripada proses memotong bawang, menyediakan ramuan, memasak dengan sukatan tertentu hinggalah akhirnya proses makan adalah silibus yang hanya boleh 'diajarkan' melalui proses bukan tutorial dan teori. Bayangkan sahaja sukarnya mengajarkan bab memasak jika kita menggunakan 'sistem sekolah' untuk menyampaikannya kepada anak-anak. Lantas, jelas bahawa proses yang berlaku di sepanjang kehidupan kita anak-beranak di rumah adalah silibus yang sedang anak-anak kita tekuni. Disinilah kewajaran, mengapa kita ibubapa mereka mesti sentiasa mempamerkan contoh teladan yang baik.....kerana setiap inci perlakuan kita adalah silibus kepada pendidikan anak-anak di rumah.

Saya hanya berharap, sepeninggalan saya dari rumah pada hari jumaat yang lalu...anak-anak mengetahui tujuan perjalanan saya dan dalam masa yang sama juga mengharapkan mereka melihat situasi ini sebagai sebahagian daripada silibus yang mereka pelajari!. Ya....Allah...berikanlah aku kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Semoga Allah sentiasa memberikan perlindungan. Ameeen.

Kakak, Selamat kembali ke sekolah, selamat kembali bertugas. Doa ayah sentiasa mengiringi setiap usahamu! Ayah sentiasa yakin....kakak boleh melakukan yang terbaik untuk diri! Rindu selalu!.

( Dedikasi untuk anak-anak yang ditinggalkan... )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Lorong 16, Taman Putera Jaya, Kota Kinabalu.

No comments: