Cuti sekolah berlalu hampir seminggu. Rasanya, dimana-mana sahaja ketika ini sibuk memenuhi undangan teman-teman dengan pelbagai kenduri-kendara. Maklum sahaja ketika inilah musim orang naik pelamin. Jenuh memenuhi undangan tentu sahaja menagih kita menguruskan masa dengan penuh bijak kerana kesempatan masa cuti ini jugalah peluang kita bersama-sama anak-anak sebelum kembali ke sekolah masing-masing untuk menyambung sesi persekolahan semester kedua. Agaknya bagaimana kita harus 'menguruskan' susunan rancangan yang sebahagiannya bukan kita sendiri yang mentadbirnya!.
Rasanya, musim cuti sekolah seperti ini anak-anak kita mungkin mempunyai kesempatan berharga untuk mengenali atau dikenali sanak-saudara kita semasa menghadiri kenduri-kendara. Ambil sahaja 'kesempatan' ini untuk mempertaut kembali hubungan lantaran sering berjauhan atas apapun alasan. Tentu sahaja kita mengharapkan agar segala pengalaman ini 'dilalui secara sedar' oleh anak-anak. Saya terfikir untuk memperihalkan perkara ini cetusan beberapa pengalaman dilalui beberapa minggu sudah.....terutama dikemuncak cabaran kesibukkan minggu-minggu terakhir bulan mei, yang baru lalu!.
"Bagaimana nak memberi pengalaman kehidupan susah dan sukar kepada anak-anak era masa kini?". Demikian antara hamburan diskusi bersama teman-teman sepengajian. Tentunya semua ibubapa ingin memberikan yang terbaik kepada anak masing-masing. Bagi keluarga yang memang sedia susah dan sukar kehidupannya, memberi pengalaman itu bukan lagi agendanya. Tinggal lagi memberi refleksi kepada makna kesusahan dan kesukaran itu 'ditukarkan' menjadi tonik yang mencetuskan sesuatu yang positif dalam kehidupannya. Agaknya berbeza dengan keluarga yang agak senang dan mudah kehidupannya. Gaya hidup yang agak senang dan 'segalanya mudah diperolehi' membentuk mereka menjadi generasi yang kurang apresiasi (agaknya begitulah....) kepada peluang kehidupan yang terhidang dihadapan mata sendiri. Lantas, persoalan hamburan diskusi itu ada relevannya!.
Hakikatnya, ia tidak semudah itu. Sememangnya tepatlah bahawa anak-anak kita hari ini adalah generasi yang hidup pada zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita!. Lantas, kita harus mempunyai persediaan yang 'selayaknya' menanggapi cita rasa anak-anak hari ini. Bukanlah bermaksud, kita menurut sahaja apa kemahuan generasi ini.....tanpa soal. Tetapi yang lebih kritikal adalah memberikan mereka pengalaman hidup, dan dalam masa yang sama kita tidak jenuh untuk membantu dan mendorong mereka memberi makna dan refleksi kepada pengalaman yang mereka lalui.
Saya tersentak apabila diajukan soalan, "Apa tujuan tuan.....?". Saya sedikit kelu menjawab kerana kelihatannya apabila perkara ini dibahaskan, tiada tonik yang mujarab untuk menghadapi kebimbangan-kebimbangan yang kita hadapi.......melainkan memberi didikan dan pengalaman, itupun...belum tentu ada jaminan!. Agaknya begitu......anda sahajalah yang tahu!
No comments:
Post a Comment