Tuesday, July 1, 2008

Syok....sendiri !

Suasana hening dan syahdu dengan kicau burung dan unggas yang bersahut-sahutan di Balung River Eco Resort, Tawau, benar-benar mengusik jiwa saya. Terkenang semasa zaman kanak-kanak di kebun ayah, begitu mudah untuk melihat burung enggang bebas berterbangan dan bertenggek didahan pokok besar dan tinggi, memburu pelanduk pada sebelah malamnya......dan bermacam lagi aktiviti kehidupan zaman kanak-kanak yang pastinya tak tergambar dengan kata-kata!

Pengalaman ini saya kongsikan bersama peserta-peserta kursus kenegaraan, khasnya kumpulan tiga yang bersama dengan saya dalam sesi LDK. Pengalaman bersama mereka seperti mana kebiasaannya memberikan terlalu banyak 'pengalaman' yang berharga. Ungkapan Cikgu Azmi tentang kisah silamnya juga menjadikan saya lebih seronok mengikuti sesi LDK ini. Demikian juga, pengalaman orang lama, Cikgu Chia May May, yang sungguhpun sudah berada jauh dikeriuhan hutan Balung, tetapi masih terkenangkan tugas dan anak-anak yang ditinggalkan.

Tidak kurang juga luahan Puan Fin dan Puan Nolie tentang isu PTI yang mendapat nikmat cukup lumayan menggunakan kemudahan sama seperti rakyat Malaysia, baiknya negaraku, Malaysia! Mungkin juga suasana harmoni inilah yang mencetuskan idea kepada Cikgu Liaw yang terfikir untuk menjadi sukarelawan.......( harapnya bila berjumpa nanti, sudahpun menjadi sukarelawan ! ). Ketabahan menguruskan 77 anak oleh ibu yang belum pernah menjadi ibu, menjadikan Cikgu Beatrice cukup berpengalaman menguruskan karenah remaja!. Tidak terlupa saya sebutkan disini, rasa rendah diri Cikgu Mala yang sebenarnya mempunyai potensi yang cukup besar untuk memberikan sumbangan bermakna untuk masyarakatnya. Ustaz Hisham, yang menimba pengalaman cukup mahal memahirkan diri dengan lambungan ombak dan tiupan angin Laut Sulu hanya untuk menyeberang ke laman permainannya, SK. Hampalan!
Saya sebutkan semua ini kerana teringat dalam sesi kursus kali ini saya kerap menyebutkan perkataan 'syok sendiri'. Sudah tiba masanya kita lebih berjiwa besar. Membangun mercu tanda bangsa mesti dengan semangat dan iltizam yang berjiwa besar. Kekadang 'syok sendiri' itu ada baiknya jika benar kita berusaha menekuni sesuatu dengan tujuan dan motif yang besar. Ya...ianya terlalu subjektif untuk diukur-nilai, tetapi tidaklah keterlaluan jika saya mengatakan bahawa 'syok sendiri' dalam rangka kita menjayakan sesuatu misi dan tujuan adalah perlu untuk memastikan kita tidak tergoda atau terpesong oleh pelbagai ancaman, yang boleh mengagalkan usaha dan cita-cita besar kita!. Saya sempat menyatakan kepada Cikgu Bakar, rakan fasilitator pada kursus kali ini, yang penting sekali adalah hubungan dan kesinambungan atas segala apa yang kita lakukan akan memberikan kekuatan yang bukan kepalang. Yakinlah! apa yang kita lakukan hari ini, akan menatijahkan hidup kita hari esok !