Monday, June 20, 2011

Siapa makan siapa?

Sebaik catatan ini dimulakan, hujan lebat dari awal pagi menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Hujan renyai-renyai sekali-sekala bertukar lebat tetapi sinaran sang suria mula memucatkan wajah langit pagi Semporna. Saya memilih untuk bersarapan pagi di restoran ini kerana lokasinya yang strategik selain menu paginya yang memang menyelerakan. Nasi kuning ikan kayu masakan ala Jawa dan gogos ( pulut panggang ) dipadankan dengan secawan nescafe nai, melengkapkan menu sarapan pagi hari ini. Saya keluar awal pagi ini setelah menghantar anak-anak ke sekolah dan terus menghantar anak saudara ke Stesen Bas Tawau.


Saya tidak mahu terlepas mengambil suasana ini untuk mencatatkan sesuatu. Disamping kesempatan untuk menzahirkan apa yang bersarang dalam fikiran. Deruan air mengalir dari parit besar ditumpahkan ke laut menjadikan suasana ketika ini seolah-olah berada ditepian air terjun yang mengalir deras. Saya masih sedar ini hanya fantasi saya. Realitinya.....saya berada di sebuah tempat yang sudah semakin sibuk dimamah dan dijamah pembangunan. Tentu sahaja dalam usaha menjadi sesuatu yang lain, ada benda lain pula yang terpaksa 'dikorbankan' untuk menjadikan hasrat itu direalitikan!. Kelihatannya sudah seperti itu hukumnya. Saya tidak tahu hukum apa?. Tetapi begitulah yang sering berlaku.....

Apakah yang sedang kita kejar?. Sedang saya lalu ke sini, dalam hujan lebat saya melihat sekumpulan peniaga atau pekebun kecil agaknya yang sedang tawar menawar dengan pembeli atau peraih, agaknya!. Saya terfikir dalam situasi itu, kecenderungan untuk tidak berjaya komunikasi antara kedua-dua kelompok itu sememangnya ada. Pekebun kecil itu tentunya inginkan harga yang lebih tinggi, sudah tentulah untuk meningkatkan pendapatan hasil daripada jualan hasil pertaniannya. Peraih titu pula tentunya inginkan harga yang lebih rendah serendah-rendahnya....juga untuk tujuan yang sama iaitu melipatgandakan hasil dari keuntungan apabila ia menjualkannya kepada pembeli lain pula.

Lantas, salah satunya harus berkorban. Sama ada pekebun kecil itu beralah atau peraih itu yang beralah. Situasi ini juga ditentukan oleh keadaan permintaan kepada barangan yang dijual-beli itu. Jika barangan itu mendapat permintaan tinggi, selalunya peraihlah yang akan beralah. Sebaliknya jika barangan itu melambak di pasaran, pekebunlah yang terpaksa mengigit jari....menjual dengan harga yang cukup rendah!. Begitulah.....aturan yang berlaku dalam sistem kehidupan kini. Situasi ini benar bagi senario yang saya lihat pagi ini. Agaknya begitu jugalah.....situasinya di bidang lain.

Saya tidak mahu mempolemikkan keadaan ini. Tetapi terlintas dibenak fikiran saya, betapa kita kini sudah semakin rencam membuat pertimbangan. Peduli apa saya dengan orang lain!, mungkin kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan situasi ini. Ada manusia lain yang tergamak mempergunakan manusia lain. Agaknya inilah harga yang terpaksa dibayar oleh manusia yang melihat tuhannya hanya pada ritual agama tetapi tidak dalam keseluruhan ruang lingkup kehidupannya. Saya amat yakin.....jika ia masih beriman dan ingatkan tuhan......tiada manusia lain yang sanggup mempergunakan manusia lain, apa lagi jika untuk kepentingan diri sendiri!.

Namun, kita sendiri mungkin tidak mampu melakukan apa-apa. Berbuat baiklah kita sesama manusia....kerana saya meyakini jika kita ingin berbuat baik. tidak mungkin kita tergamak melakukan perbuatan yang tidak baik. Terserahlah kepada diri kita masing-masing untuk mengorbankan yang mana? Namun, pada hemat saya......sewajarnyalah kita korbankan yang tidak baik untuk kita mendapat yang lebih baik!. Kalau ia semudah itu......

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Restoran Mohd. Hatta, Jalan Simunul, Semporna

No comments: