Keberanian orang-orang ketika itu untuk belayar merentasi lautan lepas menuju ke kepulauan selatan Filipina dengan menjadikan bulan dan bintang sebagai alatan navigasi utama mereka, memang luar biasa. Tentunya pelayaran ketika itu ada tujuan-tujuan spesifik. Selain aktiviti perdagangan dan perhubungan sosial, pelayaran itu juga bagi tujuan pendidikan khususnya ilmu agama. Anugerah imam, khatib dan bilal yang pada masa itu adalah berstatus pembesar diberikan oleh kesultanan sulu. Orang yang berpergian untuk berguru dan selepas itu dianugerahkan gelaran berstatus pembesar seolah-olah replika kepada konsep penganugerahan ijazah pada masa ini. Demikian konsep pelayaran pada masa itu adalah replika kepada konsep berpergian ke bandar besar seperti Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang berlaku pada hari ini.
Saya juga masih mengingati bagaimana majlis kenduri kendara dan majlis perkahwinan dan persandingan pada ketika itu adalah medan yang akan mempertemukan para pembesar setempat. Setiap kampung akan diundang ke majlis tersebut. Ketua Kampung yang diberikan status panglima akan diberi layanan dan sambutan istimewa manifestasi penghormatan terhadap tetamu yang diundang. Semasa upacara persandingan, setiap pembesar ini akan menyediakan wakil untuk pelbagai acara sepanjang majlis itu. Andai tiada wakil, ia akan memberi kesan kepada maruah dan penghormatan.
Saya tertarik membicarakan perkara ini kerana setiap yang berlaku pada zaman itu....ada sinonimnya dengan aktiviti masyarakat pada hari ini. Evolusi yang berlaku tidak dapat dihalang daripada berlaku, lantaran keperluan masyarakat hari ini sudah jauh berbeza berbanding keperluan masyarakat zaman itu. Lantas, bagi kita warga tua dan generasi transisi yang akan beranjak ke era ICT hampir dalam setiap ruang lingkup kehidupan wajar mempunyai dimensi fikiran positif menghadapi perubahan keperluan dan zaman.
Benar kata sifu, jika kita kekal dengan pendekatan lama dalam mendidik generasi siber hari ini.....seolah-olah kita memberikan ilmu dan persediaan yang tidakpun generasi ini gunakan dalam kehidupan dewasa mereka 10 atau 20 tahun akan datang. Bukankah lebih bijaksana jika kita memberikan sesuatu didikan dan nilai yang akan berguna atau diperlukan oleh generasi siber. Maknanya, kita harus beranjak dalam kapasiti yang besar untuk melakukan tranformasi. Tindakan segera diperlukan kerana kepantasan generasi siber menguasai sesuatu bidang sentiasa mengejar inisiatif yang sedang diusahakan oleh generasi transisi ini.
Benarlah bahawa generasi multi-tasking ini memerlukan reformasi dalam cara dan pendekatan malah kandungan perisian yang akan diinstalasikan kepada mereka. Tepat sungguh bahawa anak-anak yang dilahirkan hari ini adalah anak-anak yang dilahirkan untuk hidup pada zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita!
( Catatan dilakukan dalam perjalanan dari Beluran ke Kunak )
Posted using BlogPress from My iPad's
Location:Batu 32, Checkpoint Sandakan.
No comments:
Post a Comment