Sunday, June 19, 2011

Knowledge Mission - Nilainya.....Nilai!

Dalam pertemuan terakhir dengan teman diskusi seminggu yang lalu, saya teringat perbincangan tentang nilai. Adakah kita perlu mengamalkan semua nilai sekaligus pada satu masa. Apakah nilai-nilai dominan yang kita amalkan. Bolehkah kita memilih set nilai tertentu untuk kita amalkan. Mana satukah nilai yang dominan antara nilai-nilai yang ada. Dan, banyak lagi isu dan persoalan lain yang bersangkutan dengan pengamalan nilai.


Nilai patriotik contohnya. Bila masa kita mengamalkan nilai patriotik?. Tentunya tafsiran umum.....patriotik berkaitan dengan nilai cintakan negara. Apakah seorang yang berjiwa patriotik jika berdiri tegak menghormati lagu Negaraku. Rasanya patriotik jenis ini teruji bertahan atau tidak. Agaknya yang mana lebih patriotik antara menghormati lagu kebangsaan seperti itu dengan membantu menjaga kebersihan kawasan pelancongan yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara?. Rasanya anda mempunyai jawapan sendiri......dan saya tidak berniat menimbulkan polemik.

Tetapi perbincangan dalam diskusi dengan teman-teman bicara pada minggu lalu ada benarnya. Benar sekali bahawa kita harus mempunyai satu nilai yang menjadi pegangan dan watak diri kita. Pengamalan nilai itu pula melalui proses peneguhan dan pematangan yang ditimba daripada pengamatan dan amalan hidup seharian. Nilai dominan kita itu tentunya turut disokong oleh nilai-nilai lain yang berkaitan. Sebagai contoh, seorang yang mengamalkan nilai tekun dalam melakukan pekerjaan tentunya turut mengamalkan nilai sabar, rajin dan seumpamanya. Kalau tiada kesabaran dan nilai rajin, rasanya amat sukar untuk seseorang menjadi tekun dalam pekerjaannya.

Suatu yang jelas juga dalam pertemuan ringkas itu, perspektif baru memaknakan 'sederhana'. Bagaimana yang dikatakan sederhana?. Sederhana itu adalah nilai antara dua nilai ekstrem. Semua nilai-nilai murni itu adalah sederhana sifatnya. Jika nilai murni itu sudah melampaui batasan, maka nilai itu bukan lagi nilai murni dan tentunya bertukar menjadi nilai yang tidak baik dan tidak lagi murni!. Nilai seorang dermawan itu adalah antara bakhil dan boros. Tidak akan dinamakan seorang dermawan individu yang mengamalkan sifat bakhil dan boros. Demikian juga seorang yang berani. Tidak dinamakan berani seorang yang nekad membunuh diri atau seorang yang dayus.

Demikian, nilainya nilai... Apakah parameter yang tepat untuk mengukurnya?. Suatu yang rasanya diterima umum, nilai-nilai murni itu masih dan sentiasa menjaga maruah dan harga diri.....dirinya dan orang disekelilingnya. Benarnya......anda sahajalah yang fikir!, namun pada hemat saya....begitulah!.

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Taman Miramas, Semporna

No comments: