Pernah beberapa ketika teman-teman bertanya saya, “apa relevannya kenangan silam dalam kehidupan serba moden kini?”. Saya sendiri sudah lupa apakah jawapan yang telah saya berikan kepada persoalan teman-teman. Namun pagi tadi, saya temui dalam pembacaan saya, suatu jawapan yang rasanya cukup universal dan evergreen dan rasanya tidak dapat disangkal benarnya, pada hemat saya.
“Tradisi ilmu dan pendidikan menjadi tuntutan yang amat utama menghasilkan ulul albab supaya umat Islam memiliki upaya reflektif yang tinggi terhadap tamadun silam dan bersifat kreatif serta inovatif terhadap keperluan hari ini!”. Demikian antara lain tulisan Prof. Dr. Sidek Baba, dalam buku Acuan Mindanya. Saya terfikir kebenaran frasa ini kerana fitrah manusia sendiri yang beranak-pinak dan pertukaran generasi.
Lantas, jika kita skeptikal melihat dan menilai ‘kenangan’ silam, harusnya kita harus menimbangnya semula. Kenangan silam atau lebih spesifik lagi kenangan masa kanak-kanak adalah satu pernyataan atau gambaran tamadun dalam skala yang kecil. Jika kegemilangan sesuatu bangsa dirujuk kepada kegemilangan peradaban dan tamadun yang telah mereka bina, maka agenda peremajaan peradaban bangsa itu tentu sahaja tidak akan lari dari ‘melihat’ pencapaian tamadun generasi terdahulu dalam menentukan ‘acuan’ rupa wajah generasi yang ingin dijelmakan. Reflektif ini dalam skala yang besar kerana melibatkan keseluruhan ketamadunan bangsa itu.
Demikian halnya jika kita ingin menjadikan ‘kenangan silam’ sebagai cerminan kepada kita untuk membentuk personaliti dan jati diri. Tentu sahaja pengalaman yang pernah kita lalui itulah yang cenderung untuk menjadi ‘asas’ kita berfikir dan menentukan tindakan. Kita meyakini sesuatu pegangan atau prinsip pada hemat saya banyak dipengaruhi oleh ‘catatan diari’ kita pada masa yang lalu. Kecuali jika kita ‘mempelajari sesuatu yang berbeza’ atau ‘diluar kebiasaan’ memungkinkan kita ‘mengubah’ tanggapan atau kepercayaan dan gaya berfikir kita. Oleh itu, pendapat yang hanya menyatakan kenangan silam ……sesuai dengan medan maknanya sendiri, hanya kenangan!, adalah sesuatu yang sangat tertutup.
Kenangan adalah cermin yang memberi kita peluang reflektif yang sangat luas untuk menentukan bagaimana rupa diri kita pada hari ini dan hari depan. Persoalan yang seharusnya berlegar dalam kotak pemikiran kita ialah adakah kita benar-benar bersedia untuk belajar dan reflektif ‘menilai’ laluan kehidupan kita, dan dalam masa yang sama mempunyai pendekatan yang kreatif dan inovatif menentukan ‘acuan rupa wajah’ kita hari esok!. Jika ini benar, tidak syak lagi……kenangan adalah ‘peluang’ untuk kita melakukan muhasabah dan ‘tendangan penalti’ untuk kita menentukan untung nasib diri pada masa hadapan . Pilihan ada ditangan kita masing-masing!.
No comments:
Post a Comment