Persoalannya adakah kita benar-benar mengikuti pengajian di madrasah ramadhan ini dengan bersungguh-sungguh. Melewati tempoh separuh daripada pengajian selama sebulan ini sewajarnya kita menghisab diri. Catatan ini dinukilkan dengan niat untuk kita sama-sama mengukur tahap pencapaian kita dalam pengajian singkat ini. Andai kita merasakan prestasi kurang memberangsangkan, selayaknya kita membuat ‘kelas tambahan’ untuk menghabiskan sukatan yang mungkin belum disudahkan sekaligus meningkatkan amalan.
Tanpa mengira siapapun kita, rasanya amat wajar untuk kita berlapang dada menganalisis prestasi puasa kita. Mungkin pada seorang ayah, sejauh mana pengajian di madrasah ini mempertingkatkan kualiti dan kemahiran kebapaan kita. Ianya lebih dari sekadar menyediakan makan pakai anak-anak kita. Pada seorang ibu, sejauh mana pengajian ini telah benar-benar memberikan kepuasan kepada kita melangsaikan tugas keibuan kita. Ianya bukan sekadar menyediakan masakan dan menu berbuka puasa semata-mata. Sebagai seorang penjawat awam, sejauh mana madrasah sebulan ini berjaya ‘melunakkan’ layanan kita kepada pelanggan yang berkunjung. Ianya bukan sekadar memenuhi rutin kerja dan profesion kita.
Sebagai seorang pelajar, sejauh mana puasa sebulan ini meningkatkan iltizam dan kemahuan kita untuk melakar kejayaan. Berlapar dan dahaga sepatutnya mengajar kita risiko yang menanti manusia yang malas berusaha menjayakan dirinya. Lantas, wajar untuk seorang pelajar membuang sifat-sifat mazmumah, tidak gemar mendengar nasihat, malas membuat nota dan kerja rumah, suka bertangguh dan menunda kerja dan seumpamanya. Kelak sifat buruk ini akan memusnahkan masa depan kita. Percayalah setiap inci kepayahan yang kita lalui dalam menuntut ilmu itu tidak akan terlepas daripada ganjaran pahala dari Allah s.w.t.
Sebagai seorang guru, madrasah ini sewajarnya ‘menginsafkan’ kita tentang tugas menyediakan generasi pengganti kita hari esok. Mengajar bukan sekadar menghabiskan sukatan dan mempamer prestasi anak murid yang memberangsangkan, jauh lebih penting adalah menyediakan ‘khalifah-khalifah’ yang kelak akan mentadbir hari tua kita atau mungkin mengirimkan ‘al-fatihah’ untuk kita di liang lahat.
Sebagai seorang anak, madrasah ramadhan ini selayaknya meningkatkan penghayatan kita terhadap pengorbanan ibu dan ayah kita. Tanpa mereka siapalah kita hari ini. Sama-samalah kita menyedari redha Allah s.w.t. terhadap kita adalah bersyaratkan redha kedua ibu dan ayah kita. Amat sukarkah menitipkan senyum kegembiraan kepada mereka kerana melahirkan anak yang membahagiakan seperti kita, atau tergamakkah kita membalas pengorbanan mereka dengan membiarkan mereka menangisi ‘kegagalan’ hidup yang kita pilih. Selayaknya kita berjiwa hamba dengan susuk gaya seorang khalifah, memimpin bukan sahaja orang lain tetapi dirinya sendiri jua. Jika semalam kita adalah anak, hari ini mungkin kita adalah ayah atau ibu…. dan hari esok ?
Menjelang hari graduasi pada 1 Syawal kelak, amat malang jika pengajian yang kita ikuti selama sebulan ini berakhir tanpa penghayatan dan pendidikan jiwa yang berjaya. Sewajarnya…walau siapapun kita, madrasah ramadhan ini bukan sahaja meningkatkan penghayatan dan pentauhidan kita kepada kebesaran Allah s.w.t. malah lebih dari itu madrasah ramadhan selayaknya meningkatkan keberfungsian kita sebagai makhluk yang bertugas memakmurkan alam ini. Mungkinkah ini makna sebenar penciptaan kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi Allah s.w.t. ini. Kepada-Nya kita berserah. Wallahu ‘alam!.
P/s : Catatan ini adalah pentaakulan terhadap diri dan alam dari dhamir yang dhaif. Tentu sahaja catatan ini tidak terhijab dari kekhilafan dan kekurangan. Sebarang penambahbaikan amat dialu-alukan!.
Catatan Fikir Ramadhan 1 dan 2 adalah tulisan yang diterbitkan dalam buletin Suara Ramadhan, terbitan Panitia Pendidikan Islam sekolah saya.
No comments:
Post a Comment