Eying, anak saya ketiga juga mengalami pengajaran bab pertama, hilang sandal sehabis menyempurnakan solat sunat tarawikh. Masjid di kampung sebagaimana kebiasaan awal ramadhan dipenuhi jemaah. Saya menjangkakan situasi itu lantas memberikan kakak Along beg kertas untuk menyimpan sandal mereka. Entah macam mana dalam kesibukan itu, sandalnya turut hilang!. Apabila kakak Along memberitahu kehilangan itu, saya selidiki bagaimana hilangnya namun saya tidak pamerkan rasa tidak puashati saya. Kelihatannya Eying seperti merasa gundah gulana dan sedih.
“Tak apalah, nanti kita beli sandal baru!”, demikian saya menyenangkan hatinya. Saya yakin dia mempelajari sesuatu!. Rasa kehilangan dan kecuaiannya itu tentu sahaja ‘mendidiknya’ untuk lebih berhati-hati selepas ini. Semasa bersembang dengan ibu di rumah, saya melihat Eying puashati sungguhpun hari ini dia kehilangan sandal.
Kelmarin, saya berjaya menyudahkan susunan jadual mengajar yang baru berikutan kehadiran seorang rakan guru yang baru. Guru baru Bahasa Inggeris, Cikgu Lalithambal namanya. Kehadirannya menyebabkan jadual mesti dirombak semula. Tugas sebagai guru jadual waktu sekolah, maka saya cuba untuk mengubahsuai susunan subjek dan guru-guru.
Sedapat mungkin saya cuba penuhi kemahuan semua guru. Lantas saya sediakan peluang kepada guru-guru menyatakan respon dan masa yang agak lama untuk disudahkan. Tetapi kelmarin tugas itu akhirnya selesai. Memang tidak semua permintaan guru dapat saya penuhi. Tetapi respon daripada mereka memberi peluang kepada saya melakukan penambahbaikan kepada jadual yang ada. Kelihatannya tiada guru yang merasa tidak puas hati dengan susunan jadual mereka, sungguhpun ada permintaan mereka yang tidak dapat dipenuhi. Guru-guru puas dengan jadual mereka, bos sayapun puas kerana jadual masa guru baru telah dapat dipenuhi dan saya sendiri cukup puas kerana kepayahan yang dihadapi akhirnya dapat disudahi dengan baik.
Agaknya begitulah yang dikatakan puas!. Saya nyatakan nada ini sekurang-kurangnya benar pada 3 situasi tersebut. Suatu yang dapat saya pelajari, rupanya yang dinamakan kepuasan kita itu…… juga ada hubungan dengan kepuasan orang lain. Tidak kiralah bagaimana darjah kepuasan itu, tetapi selalunya kalau kita puas dan orang lain juga puas…..adalah suatu yang amat membahagiakan!. Atau kita puas tetapi orang lain tidak puas menjadikan kita rasa serba salah. Apa lagi jika orang lain puas tetapi kita tidak puas adalah menjengkelkan!. Lebih mendukacitakan jika kita dan orang lain juga tidak puas! situasi yang seharusnya kita elakkan.
Jom…..kita bahagiakan diri kita dan diri orang lain juga!. Benarkah begitu!
No comments:
Post a Comment