Jadual yang agak padat kelmarin, sarat dengan memenuhi undangan teman-teman dengan pelbagai program dan majlis. Kelmarin, sebenarnya saya sepatutnya menghadiri Kursus Dalaman atau yang lebih dikenali sebagai Hari Profesionalisme, di sekolah saya. Sebelumnya ( seperti yang saya nyatakan dalam ‘entry’ Pemimpin Pelajar ), Cikgu George di SMK. Bum-bum telah terlebih dahulu menzahirkan undangan kepada saya yang kemudian disusuli surat rasmi beberapa hari kemudiannya.
Dalam satu pertemuan dengan pengetua saya, En. Choo, saya membawa bersama surat undangan tersebut untuk dipanjangkan kepada pengetahuan beliau ( bahasa mudahnya, minta izin… ), disamping menjelaskan secara lisan latar undangan tersebut serta pertembungannya dengan Hari Profesionalisme kelmarin. Pendekkan cerita, pengetua saya membenarkan saya memenuhi undangan SMK. Bum-bum. Lega dan rasa terima kasih kepada ‘bos’ kerana keputusan itu.
Sebenarnya, beberapa ketika sebelumnya, saya sempat bersembang dengan beberapa orang rakan guru bersama kehadiran Penolong Kanan Pentadbiran. Antara topik bicara sembang kami adalah surat undangan SMK. Bum-bum berkenaan. Saya sebenarnya sekadar menyatakan sedikit kegusaran perihal memenuhi undangan atau menghadiri kursus dalaman anjuran sekolah. Konfliknya, kerana saya telah menyatakan komitmen kepada rakan-rakan di SMK. Bum-bum.
Saya amat faham hasrat Cikgu George dan teman-temannya, kerana pernah seketika saya mengisi program motivasi anjuran Pejabat Pelajaran Daerah pada tahun lalu agaknya, Cikgu George menyatakan hasrat menjemput saya ke SMK. Bum-bum untuk program serupa. Namun nada PK1 saya juga seperti Pengetua saya, dan ‘pitchingnya’ pun sama…….sambil menegaskan perlunya saya memenuhi undangan SMK. Bum-bum dan membantu mereka menjayakan program yang telah mereka rancang itu.
Atas dua situasi ini suka saya menyatakan pendirian untuk memenuhi kedua-duanya. Secara prinsip, saya sememangnya pergi ke SMK Bum-bum kerana undangan mereka telah disampaikan seminggu lebih awal, dan saya pula sudah menyatakan komitmen untuk ke sana. Tetapi moralnya, selayaknya saya menghadiri Hari Profesionalisme kerana ia adalah anjuran sekolah saya sendiri dan bertujuan untuk pembangunan staf pula. Memang tak ada hal…kena hadir! demikian saya bermonolog.
Dan suka juga saya tegaskan bahawa saya mempunyai kesediaan untuk membatalkan undangan teman-teman di SMK. Bum-bum ( walau ianya cukup bercanggah…dengan iltizam saya yang telah menyatakan komitmen! ) jika ‘bos’ menghendaki saya menghadiri Hari Profesionalisme tersebut. Hari Profesionalisme itupun adalah bertujuan menyuntik semangat dan motivasi warga sekolah. Perkara baik la kan…..
Bukanlah niat saya untuk mempamer siapa saya, jauh sekali untuk ‘menunjuk-nunjuk’ kepada sesiapa sahaja ( mohonnya…Allah s.w.t. menjauhkan sifat ini daripada saya…amin! ). Tetapi yang paling mahal pada saya adalah kefahaman kita sebagai individu yang bertanggungjawab kepada organisasi tanpa dalam masa yang sama menafikan obligasi sosial kepada masyarakat dan keseronokan diri individu melakukan kerja-kerja yang disukainya sendiri. Bahasa mudahnya, saya bertanggungjawab kepada majikan. Saya juga mesti bertanggungjawab kepada masyarakat. Saya juga mesti bertanggungjawab kepada diri saya sendiri. Dan, yang amat pasti saya akan dipertanggungjawabkan kepada semua ini dihadapan tuhan kelak!.
Disinilah letaknya kebijaksanaan kita sebagai individu ‘mencatur’ setiap gerak dan strategi kita sedari awal. Malah ianya sepatutnya sebelum lagi kita berniat untuk ‘bermain catur’ tersebut. Kenapa saya menyatakan demikian, ada asasnya. Tanpa perlu saya meramal apa yang ‘bos’ saya fikirkan ketika membuat keputusan membenarkan saya memenuhi undangan teman-teman di SMK. Bum-bum, semacam saya mempunyai keyakinan kepada beberapa perkara.
Pertamanya, jadilah kita penyumbang yang baik kepada organisasi. Tanpa perlu terlalu ‘skematik’ kepada sumbangan kita, seharusnya kita bertanya, ‘apakah sumbangan saya kepada organisasi?’. Tidak timbul soal skala sumbangan kita. Sama ada ianya bersaiz kecil atau besar, ‘dilihat’ bos atau tidak, dipuji atau dikeji teman-teman……yang paling penting rasanya adalah kita memberi sumbangan!.
Saya punya keyakinan pada ‘mata hati’ orang-orang yang melihat kita. Konsistensi kita dalam membantu sekolah, membantu rakan-rakan seprofesion, membantu anak-anak murid dan melakukan kerja-kerja rutin kita sebagai penjawat awam akan menjawab segala ‘pitching’ yang dikatakan lari itu. Tidak perlu untuk kita berbahas mengenainya.
Keduanya, kita harus istiqamah dengan ‘paten’ yang kita pilih dalam memberi sumbangan. Persoalan ‘demanding’ dan tawar menawar dalam memberi sumbangan kepada masyarakat tidak seharusnya berlaku. Saya memilih untuk memberi sumbangan dengan cara berkongsi pengalaman, sebenarnya ‘mungkin’ kerana saya dianugerahkan tuhan kemahiran berbicara. Ya….orang lain pun boleh berbicara perkara yang sama. Orangpun boleh bercakap seperti saya!. Benar…..begitu!.
Tapi bagi saya, soal ini tidak harus ada tawar menawar. Saya pegang pendirian, ‘orang undang kita, kerana mungkin memang kita yang difikirkan sesuai pada perhitungan mereka’. Tak tahulah kalau ada yang sebaliknya, dan saya tidak berminat berfikir mengenai andaian sebegitu kerana ia cenderung membawa perspektif negatif!. Sifu saya menamakan perkara ini seumpama ‘tong sampah’. Tak payah….pikiak!.
Saya berani membuat andaian, premis keputusan ‘bos-bos’ saya memberikan kebenaran memenuhi undangan teman-teman di SMK. Bum-bum, mungkin atas dua keyakinan tersebut. Sudah tentu wajar ‘bos’ menghalang saya memenuhi undangan itu, jika sebelum ini memang banyak bukti menunjukkan saya tidak memberi sumbangan kepada orgaisasi. Demikian juga, mungkin kerana sebelum ini saya selalu diundang membuat pengisian seperti ini, maka bos memahami ‘fungsi’ saya kepada masyarakat. Lantas, saya diberikan ‘previllage’ ini. Agaknyalah…! Benda lain… saya tak nak fikir!. Terus terang saya menyatakan, pada ketika bos memberikan ‘previllage’ itu, hati saya cukup gembira sambil dalam hati tersemat niat untuk terus bekerja dan memberi sumbangan kepada majikan saya!. Pada Allah…..saya serahkan segalanya!. Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment