Jam 7.42 pm. Petang Jumaat ini tidak seperti kebiasaan hari-hari persekolahan, sungguhpun hari ini hari persekolahan. Sekolah saya mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Lewat sikit, hari terakhir bulan Rabiulawal. Tapi yang penting, masih juga bulan Rabiulawal….. Lagipun yang pentingnya adalah makna dan mesej kepada sambutan ini.
Selepas bersembahyang Jumaat di Masjid Ar-Rahim, Kg. Kabogan, saya bergegas meninggalkan kawan-kawan dan segala pakcik-pakcik yang ada di masjid. Jika kebiasaannya, saya bergegas pergi kerana berkejar untuk turun mengajar ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 16 kilometer dari rumah saya. Hari ini saya bersegera meninggalkan masjid kerana anak saya, Anis Ilyana ( Eying ) minta dihantar ke sekolah hari ini. Lagi pula…..gerimis hujan mula menyiram, isyarat hujan bakal turun sekejap lagi.
Saya menghantar Eying dengan anak mata hingga tidak kelihatan ‘ditelan’ bangunan kayu sekolahnya, SK. Kabogan. Sambil ligat berfikir apa aktiviti yang saya nak buat pada hari ini, saya cuba mengutip jejak-jejak yang hilang zaman persekolahan saya di SK. Kabogan ini. Selama anak-anak, saya pindahkan sekolah mereka ke SK. Kabogan ini, telah dua kali saya berkunjung ke sekolah ini ( tidak termasuk masa pendaftaran pelajar! ).
Pertamanya, semasa dijemput untuk menghadiri Hari Kecemerlangan Pelajar tahun lalu. Seronok juga untuk hadir sebagai bapa ke sekolah ini. Apatah lagi…..anak-anak saya, Anis Aishah, Anis Sofiah dan Anis Ilyana adalah antara penerima anugerah pada hari berkenaan. Anis Sofiah nampaknya meneruskan prestasi cemerlangnya dari sekolah lama dahulu.
Keduanya, semasa pertemuan PIBG bersama dengan Unit Bimbangan & Kaunseling sekolah bagi membincangkan beberapa program peningkatan akademik untuk anak-anak sekolah khususnya yang akan duduk UPSR tahun ini. Mengapa saya terfikir untuk mencoretkan perkara ini ?. Soal kehadiran ibubapa ke sekolah adalah antara perkara yang sering saya perkatakan apabila saya mempunyai peluang berbicara bersama mereka. Kaum bapa terutamanya, sering ‘menjuarai’ anugerah kehadiran yang paling sedikit dalam program seperti PIBG ini.
Secara jelasnya, usaha menjayakan modal insan bukanlah usaha satu pihak sahaja. Ibubapa sendiri sebagai 'origin' kepada pembentukkan keluarga madani yang kita semua cita-citakan harus memainkan peranan yang lebih tajam dan realistik. Sebab itu, harus ada 'keseronokkan' kepada ibubapa untuk melakukan apa-apa tugas yang melibatkan anak-anak. Hatta, menghantar anak ke sekolahpun tidak boleh lagi difikirkan sebagai beban dan halangan.
Sekadar mengadakan sambutan Maulidur-Rasul di sekolah seumpama ini sebenarnya tidak memadai jika hanya pihak sekolah, guru-guru yang membuat pengisiannya. Kembalinya anak-anak dari sekolah harus disambut oleh ibubapa juga dengan pengisian yang serupa, sungguhpun tidak lagi membuat 'banner' dan seumpamanya. Apa yang paling penting adalah memastikan 'installation software' anak-anak kita ini sentiasa berjalan dan dilaksanakan. Ayuh....sama-sama kita melakukannya!
No comments:
Post a Comment