Saturday, March 7, 2009

Pemimpin Pelajar !

Pagi tadi saya memenuhi undangan rakan-rakan di SMK. Bum-bum untuk berbicara tentang kepimpinan pelajar kepada para peserta yang terdiri daripada Pengawas, Ketua-ketua kelas dan Pembimbing Rakan Sebaya ( PRS ). Sahabat saya, Cikgu George menghantar undangan sejak seminggu lepas. Lantas, saya berusaha membuat persediaan sebaik mungkin. Saya terima undangan atas beberapa premis asas.
Pertamanya, inilah peluang keemasan untuk saya berkongsi pengalaman dengan anak-anak pelajar, dan tentunya menghidangkan peluang yang cukup terbuka luas memberi perspektif baru dan berbeza menanggapi dunia pembelajaran dan kepimpinan.

Sepanjang lebih sejam berbicara, saya menekankan kepada para peserta kem kepimpinan ini beberapa perkara. Sudut pandang kebanyakkan pelajar melihat kepimpinan itu seolah-olah terpisah dari ‘business core’ mereka sebagai seorang pelajar. Kecenderungan kalangan para pengawas, ketua-ketua kelas dan PRS merasakan jawatan mereka itu sebagai satu ‘previllage’ atau keistimewaan. Lesen ini yang memungkinkan mereka melupakan tugas hakiki sebagai pelajar iaitu belajar. Saya menekankan kepada para peserta kem perlunya mereka menjadi pemimpin yang baik kepada diri sendiri sebelum menyediakan diri memimpin rakan-rakan yang lain.

Lazimnya, bila seorang pelajar menjadi pengawas, pelbagai tugasan sering diberikan kepada mereka. Tugasan itu pula kebiasaanya dilaksanakan semasa sesi persekolahan atau lebih tepat lagi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ( P&P ). Dari sekecil-kecil tugasan, membuat pengumuman sehinggalah tugasan menjaga lokasi tertentu semasa sesi persekolahan dan sebagainya, saya amat yakin tiada seorang gurupun yang menerima sebab ini sebagai lesen untuk mereka tidak berkesempatan belajar dan mengulangkaji pelajaran. Inilah antara penegasan yang saya berikan.

Tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar yang ‘nature jobnya’ seperti terasing daripada dunia P&P tidak harus menyusutkan kapasiti belajar mereka. Bagi saya anak-anak pelajar, rasanya perlu lebih berani bersedia berhadapan dengan pelbagai kesibukan ini, tetapi pada masa yang sama tidak pula sehingga mengabaikan tugas dan fungsi diri. Selain itu, saya tekankan juga bahawa sepatutnya mereka berbangga kerana dikalangan ramai pelajar, mereka antara yang terpilih dan diberikan amanah!.

Premis kedua saya memenuhi undangan teman-teman di SMK. Bum-bum adalah untuk meninjau perubahan yang berlaku disana. Maka saya manfaatkan peluang jemputan Saudara George ke SMK. Bum-bum. Memang banyak yang sudah berubah!. Tidak dapat saya nafikan juga, hasil 'perguruan dan pertapaan' daripada PresentationZen dan Slide;ology membuatkan saya terkinja-kinja hendak datang dan menggunakan bahan hasil dari 'pertapaan' itu. Terima kasih kepada Sifu, Dr. Amin atas ilmu baru menghasilkan powerpoint itu.


Tidak ketinggalan juga saya nyatakan kesanggupan dan iltizam saya disini bahawa undangan sebegini adalah peluang yang disediakan untuk kita membuat kebaikan. Lalu mengapa harus berdolak-dalik!. Pada saya, selagi mana orang beri kepercayaan, maka selayaknya kita tidak menghampakan........asal sahaja preskripsi tugasannya yang mampu kita tunai dan laksanakan!.

Kepada Cikgu George dan teman-teman, tahniah dan selamat menjayakan kem. Kepada anak-anak pelajar, selamat menimba ilmu dan pengetahuan....dan sekaligus mengamalkan!. Kepada kita semua, selamat menjayakan anak-anak Malaysia!. Hari ini tugas kita, untuk mereka.......esok, mungkin tugas mereka untuk kita!.

No comments: