Thursday, December 24, 2009

Quran Saintifik !

“Para saintis pada hari ini sering kali bertanya, “Apakah yang sebenarnya berlaku selepas ledakan Big Bang?” Justeru sebahagian mereka cuba menyusun satu bentuk kronologi berhubung perkara ini. Selepas mengkaji pandangan-pandangan mereka, saya mengolah dan menyusun semula kronologi itu mengikut enam fasa. Fasa Pertama, Ledakan dan pengembangan. Fasa Kedua Penyejukan dan kelahiran nukleus. Fasa Ketiga, kelahiran Atom. Fasa Keempat, Asap dan Kelahiran galaksi serta bintang. Manakala Fasa Kelima, Percantuman Galaksi, Kelahiran Big Hole, Supernova dan Matahari. Fasa seterusnya ialah Kejadian Bumi dan Atmosfera dan Permulaan Hidupan. Demikian antara kandungan yang dinyatakan dalam Bab 22 – Kronologi Kejadian Alam, Buku Quran Saintifik, di muka surat 44.

Benar ulasan Dr. Tengku Asmadi tentang buku setebal 246 muka surat ini, “Mengagumkan! Buku ini mengupas secara komprehensif bukti-bukti sains yang membenarkan kandungan Quran dan mampu meningkatkan lagi keimanan seseorang apabila membaca dan memahaminya”. Membaca buku ini cukup berbaloi mengisi minda dan masa kita.

Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian dengan bahagian pertama membicarakan tentang Cemerlang dalam Menguasai Dua Ayat. Bahagian Kedua tentang Permulaan Alam Semesta adalah permulaan Segala-galanya. Bahagian Ketiga pula berbicara mengenai Manusia dan Asal Usulnya. Bahagian Keempat memperkatakan pula tentang Tujuan dan Matlamat Hidup Manusia manakala pada bahagian Kelima adalah Epilog tentang kandungan buku ini. Buku tulisan Dr. Danial Zainal Abidin terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. Ini mudah diperoleh di pasaran pada harga RM21.50. Bacalah……..baru anda tahu ilmu dan pengetahuan dalam buku kecil ini. Selamat Membaca !

No comments: