Semalam saya mengambil masa bersendiri, atas banyak alasan. Antaranya...... untuk saya menghitung untung rugi sepanjang riwayat hidup saya tahun 1430H, menjelang 1 Muharram 1431H. Rasanya...tidak perlulah untuk saya menyatakan untung rugi 'akaun' saya. Berapa jumlah cek tendang, berapa jumlah cek luput tarikh, berapa jumlah projek belum 'claim', 'anak syarikat' mana yang paling untung, 'cawangan' mana yang paling bermasalah dan bermacam lagi 'transaksi' yang tidak dapat saya perincikan disini.
Saya sedikit tersentak apabila mengenang tempoh perkhidmatan saya di sekolah yang sama, di SMK. Tagasan ini. Saya teringat, beberapa sahabat dan teman rapat mencadangkan saya untuk berpindah sekolah. Tidak kurang juga yang 'drastik' menganjurkan saya untuk berpindah daerah saja!. Keluar dari 'pertapaan', demikian mereka menamakan senario yang saya alami ini. Istilah yang agak sinistik tetapi ada benarnya.
Pernah juga beberapa ketika sebelum ini saya bermonolog dengan diri sendiri. Apakah sumbangan saya sebagai 'orang lama'?. Memadai dengan menerima sahaja tugas yang diberikan pihak pentadbiran, walaupun tidak gembira dengan peranan yang diberikan. Kononnya sebagai contoh staf yang sanggup bertugas walau apa posisi sekalipun. Atau terus 'meminggirkan diri' daripada sebarang tugas dan tanggungjawab. Kononnya, atas alasan memberikan peluang kepada generasi baru ( guru baru ) menimba dan melalui pengalaman seperti yang pernah saya lalui dahulu!. Ahhh.....
Dr. Siddiq Fadhil memberikan gambaran menarik terhadap senario orang baru dan orang lama. Orang muda katanya kaya dengan idealisme dan penuh bertenaga, manakala orang lama menurut Dr. Siddiq lagi, kaya dengan pengalaman dan penuh 'kesabaran'.
Gambaran ini membawa ingatan saya kepada konsep fitnah dalam profesion. Benar kata sahabat, paling penting dalam keadaan ini.....jangan sekali-kali khianat kepada profesion kita. Sebagai guru, lapangan sebenar adalah di bilik darjah bersama anak-anak murid. Jangan sekali-kali tidak masuk mengajar anak-anak murid ini kerana ia akan menimbulkan fitnah kepada profesion kita.
Mungkin apa yang saya perkatakan ini boleh dibahaskan lagi. Saya akur terlalu banyak pemboleh ubah yang menentukan kejayaan di bilik darjah. Tetapi sebagai pemain, sama ada 'goal keeper', 'midfielder', 'stopper' atau 'striker', beraksilah setangkas yang boleh untuk menjelmakan peluang.......yang memungkinkan kejayaan. Pra-syarat jaringan gol adalah usaha awal yang dizahirkan semua pemain!. Demikian saya memaknakan diri di atas padang!. Harapnya begitu.......
No comments:
Post a Comment