Sunday, December 13, 2009

Epilog 1 : Oh..anakku!


Hari ini adalah hari ke-5 dalam Journey for The Big Picture. Rencananya, hari ini saya akan kembali ke Seri Ilham, Semporna. Suatu yang jelas pada saya, sepanjang berada di sini…..terasa seperti cukup bertenaga. Mana tidaknya, hampir setiap malam saya tidur melepasi jam 2 atau 3 pagi!. Tetapi tidak pula mengganggu jadual siang saya. Mungkin kerana telah agak lama tidak menghadiri perbincangan yang ‘agak berat’, maka ‘bateri’ saya berfungsi dengan cukup maksimum. Impak maksimum nampaknya!.

Saya ingin berkongsi sebagai seorang ‘reflektif’ kepada beberapa siri Segaran Minda yang saya lalui sepanjang berada disini. Sebagai seorang ayah, sebagai seorang penjawat awam dan sebagai seorang manusia. Saya dilontarkan pertanyaan oleh kak lestari, untuk apa perlu sibuk menjaga anak, mendidik anak, memastikan persekolahannya berjaya, risau dengan masa depannya dan sebagainya ?. What for all of this?

Rupanya persoalan yang dilontarkan ini berkisar kepada persoalan tanggungjawab!. Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, sudah tentulah kapasiti yang perlu saya lakukan adalah ‘menjayakan’ anak-anak saya dalam pelbagai hal. Akhlak dan moralnya, gaya pemikirannya, perspektifnya menghadapi masalah, potensinya dalam pelbagai lapangan, akademiknya dan sebagainya. Sifu mengistilahkan semua kerangka ini sebagai ‘menjadikan anak-anak kita sebagai manusia’.

Rupanya…..untuk menjadikan seorang manusia itu ‘berinisiatif dan kreatif’ menangani kehidupan sesuai dengan fungsinya, sedarkan sahaja ia dengan soal tanggungjawab. Bagaimana elemen bertanggungjawab itu diterapkan….mungkin satu persoalan yang perlu diperhalusi. Tetapi yang jelas, kerana saya merasakan bertanggungjawab, lantas menjadi kerisauan saya apabila memikirkan bagaimana nasib anak-anak saya, pencapaian akademik mereka, tafsiran dan pandangan mereka tentang kehidupan, keupayaan mereka menghadapi cabaran dan seumpamanya.
Maka dengan itu, saya perlu mencukupkan diri saya dengan pelbagai inisiatif untuk ‘melangsaikan’ tanggungjawab saya. Persoalan hak anak-anak yang perlu saya tunaikan, dan hak saya sebagai ayah yang perlu anak-anak tunaikan, satu ‘komunikasi’ yang melengkapi persoalan tanggungjawab!. Yakini sahaja….bahawa setiap anak kita mempunyai ‘keunikan’ diri masing-masing. Lantas, tidak bijak untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain!. Jangan risaulah !……. demikian sifu meyakinkan saya!.

No comments: