Thursday, December 31, 2009

Tahun 2009 itu....!

Selamat tinggal tahun 2009!

Apa yang pasti 365 hari telah berlalu....Lantas.... tanyalah dirimu, Lewat masa seorang guru


Journey for 365th Day

Perjalanan yang tertunda kelmarin, dimulakan semula hari ini. Bertolak tepat pada jam 9.00 pagi. Sempat juga memperbaiki beberapa perkara di Istana Hinggap saya sebelum bertolak pulang. Setelah meninggalkan pesan dan mohon izin dari jiran-jiran, saya membawa kereta dengan niat berjalan santai walaupun ada beberapa perkara yang memerlukan saya untuk cepat sampai ke destinasi. Jadual telah pun disusun kemas dan kompak. Rencana begitu!.. Jadinya tak tahu lagi…..

Menariknya perjalanan kali ini kerana ia adalah perjalanan terakhir saya pada tahun 2009 ini. Setelah 365 hari melalui tahun 2009, saya langsung tidak merencana untuk melakukan perjalanan ini pada tarikh ini. Kebetulan sahaja…….

Singgah di Anjung Selera, Ranau tepat 12 tengah hari selepas singgah di dua lokasi berbeza sebelum sampai ke Kundasang. Sesudah ‘menyelesaikan’ apa yang perlu, kami meneruskan perjalanan menuju ke Telupid dan Beluran, Batu 32 Sandakan. Sepanjang perjalanan Eying tidak jemu-jemu menyatakan kronologi destinasi perjalanan. Hanya singgah sebentar di Stesen Minyak Shell, Batu 32, meneruskan perjalanan ke Kinabatangan dan Lahad Datu.

Tepat 4.30 petang, myVios berhenti ‘melepaskan’ lelah perjalanan jauh di SM. Teknik Lahad Datu. Singgah di rumah saudara. Apalagi …. Anak-anak bagai dicas bateri baru bertemu dengan sepupu mereka. Berhenti rehat lama sikit di sini. Jam sudah menghampiri 5.45 petang, apabila kami meninggalkan SMT Lahad Datu dengan linangan air mata anak buah yang tentunya sedih ditinggalkan anak-anak saya. Memang sakit juga rasanya ‘ditinggalkan’, berbanding ‘meninggalkan’. Tapi itu asam garam pertemuan dan perpisahan.

Tersekat di Bulatan Assam, kerana waktu puncak keluar dari pejabat. Akibatnya tersekat perjalanan. Rencananya perlu balik segera ke Semporna, dan menyambung perjalanan ke Tawau malam ini juga bersama Saudara Yani. Sempat atau tidak …….tak tahulah saya. Ok…..nak berehat dulu!
( Catatan ini tertunda untuk diapungkan kerana masalah teknikal!)
Gambar...coming soon

Monday, December 28, 2009

Gaya Street…

Di sana penjual bunga
Di sebelahnya penjual bakul rotan
Di sana penjual rantai kunci
Di sebelahnya penjual buku dan majalah
Di sana juga penjual kuih-muih
Di sebelahnya penjual air berperisa
Di sana penjual kucing Persian
Di sebelahnya si penjual ikan hiasan
Di sanalah penjaja kain baju kebaya
Di sebelahnya penjual kain tudung siti Nurhaliza
Di sana penjual permata dan mutiara
Di sebelahnya penjual jam dan cermin mata
Dan….di sana juga penjual skru dan spanner
Di sebelahnya artis seni lukis berkarya

Ada pembeli dari luar Malaysia
Dari Asia, dari Eropah……malah dari serata dunia
Ada juga pembeli asal Malaysia
Dari latar bangsa 1 Malaysia
Pelbagai warna, rupa bangsa dan agama
Pertemuan mereka amat mudah
Penjual mahukan pembeli…dan
Pembeli mahukan penjual
Hanya dengan satu akad
Wang yang menjodohkan mereka!.

Pasar Tamu Gaya Street, KK
27 Disember 2009

Sunday, December 27, 2009

Journey For Borders 3....

Sesampai sahaja di Sindumin, hujan mula ‘memandikan’ kami bagai yang dijanjikan lewat awan yang kelam. Hampir sahaja kami berputus asa untuk meneruskan misi perjalanan ini. Namun, semangat kakak, along dan eying mengatasi ‘semangat’ putus asa saya. Dengan menggunakan Pas Lawatan, dapatlah kami meneruskan perjalanan. Anak-anak mula menghujani saya dengan pelbagai persoalan tentang Brunei. Mungkin juga idea mereka timbul kerana sepanjang perjalanan acap kali kami berselisih dengan kenderaan dengan nombor BW, BY, BU, KL (entah apa lagi tu…) yang tentunya kenderaan dari negara berkenaan.

Maka timbul pulalah cadangan baru untuk meneruskan perjalanan ini sehingga ke Brunei. He…hee….dah beri betis, nak paha pula !. Alonglah yang paling sibuk dengan cadangan ini. Saya terfikir, agaknya beginilah nikmat, “jauh berjalan, luas pemandangan”. Alonglah yang cepat ‘perasan’ radio yang berkumandang di myVios bukan lagi Sabah FM tetapi Sarawak FM. Setelah melihat bendera negeri Sarawak yang dikibarkan dibeberapa premis bangunan di sepanjang perjalanan, along siap bertanya, tarikh pada hari ini….( agaknya ada catatan….! ).

Kepuasan jelas terbayang di wajah anak-anak. Seperti kelaziman manusia, mereka ingin ‘meneruskan’ perjalanan ini ke destinasi yang lebih jauh lagi……

Saturday, December 26, 2009

Journey For Borders 2...

Meneruskan perjalanan menuju ke Pekan Sipitang. Sengaja memilih untuk berada di Pekan Gasing ini untuk ‘menyudahkan’ segala yang perlu!. Sungguhpun anak-anak tidak terasa lapar, tetapi kami memilih untuk ‘berehat’ di Pekan Sipitang sebelum menyempurnakan misi ke Lawas, Sarawak. Damai dan nyaman rasanya berada di Pekan Gasing ini. Berlatar belakangkan gunung-ganang dengan hamparan ‘permaidani’ laut yang berombak nakal, terbentang nan luas sejauh mata memandang.

Hati mana yang tidak terasa sayu. Awan kelam mengisyaratkan hujan akan turun seketika nanti. Pada ketika ini terkenang wajah arwah ayah dengan segala kepayahannya meneroka hutan, pastinya untuk mendewasakan ‘kami’ dan hari ini kami menuai hasil kudrat dan semangatnya. Al-fatihah untuk ayah !. Agaknya, beginikah nanti anak-anak akan mengenang saya?.... Detik itu berlalu, dan bermonolog sendiri……catatan ini nanti mungkin dibaca siapa ?

Pekan Sipitang juga nampaknya semakin ‘dewasa’. Di satu sudut, anak muda berpakaian ala-Linkin Park dan pada ketika yang sama di sudut lain, anak muda juga sedang mengerah kudrat empat kerat ‘menambat’ perahu yang dibelai siulan ombak kecil. Dualisme yang kontradiksi ini menggamit rasa, bagaimana harus mereka berubah? Ada benarnya, idealis selalu sahaja ‘mohon permisi’ daripada realiti…..

Perjalanan ke Sindumin – Merapok diteruskan lagi….. Anak-anak seperti ‘dipasang bateri baru’ mengikuti perjalanan ini…

Journey For Borders 1..

Misi perjalanan kali ini adalah membawa anak-anak untuk melihat Pekan Lawas, Sarawak. Sebagaimana lazimnya, along dan eying yang paling teruja dengan rencana ini. Membuat persiapan sebagaimana patut, bertolak dari Istana Hinggap sekitar jam 9.00 pagi. Meninggalkan Bandar raya Rimba Tropika, berkonvoi bersama keluarga abang saya, myVios meluncur santai menelusuri jalan raya menuju ke Papar dan seterusnya ke Beaufort. Era tahun-tahun 90-an, laluan nostalgik ini adalah ibarat ‘padang permainan’ pada saya. Pekan Beaufort ini selalunya menjadi lokasi saya ‘menghadiri’ kursus. Tidak selalu tetapi kerap juga!.

Sepanjang perjalanan banyak juga lokasi yang saya keliru kerana perubahan di sana sini. Lebih kurang jam 12.00, kami sudah pun berada di pekan yang ‘membahasakan’ dirinya sebagai Pekan Limau. Saya sengaja membawa anak-anak pusing 360’, pekan ini pun banyak ‘dijamah’ perubahan. Sempat juga bertanya ‘route’ kereta api, tetapi nampaknya kereta api ini juga sudah ‘dimamah’ perubahan. Sedikit masa lagi…..perkhidmatan ini akan dimuziumkan agaknya!.

Memberi Peluang !

Mengapa kita terlalu sukar untuk memberi peluang!. Peluang…. Mungkin kita tertanya-tanya peluang dalam bentuk bagaimana yang dimaksudkan?. Untuk memudahkan ‘perbincangan’, kita membicarakan peluang dalam contoh situasi di jalan raya, profesion atau kerjaya, sebagai ibu bapa, sebagai suami atau isteri atau pada aras yang paling asas, sebagai diri kita sendiri.

Mungkin pernah pada suatu ketika semasa memandu di jalan raya, sebuah kereta kecil yang tiba-tiba sahaja ‘tersembul’ keluar dari simpang dan cuba untuk memotong laluan kita!. Agaknya, apa tindakan kita? Mengapa tidak, kita berikan sahaja ‘peluang’ kepada kereta kecil berkenaan. Ahhh…..saya pun mahu cepat juga!, ajar dia supaya belajar menghormati orang lain dan bermacam-macam-macam lagi alasan.

Dalam profesion kita, agaknya mungkin kita pernah berada dalam situasi kita diberi ‘tugasan’ untuk menyiapkan atau mengepalai sesuatu projek. Sebagai orang bawahan, agaknya kita mudah merasai situasi tidak diberi ‘peluang’. Dari sudut berbeza, sebagai ‘bapak’ kepada projek yang di rencana, agaknya pernah atau tidak, kita langsung tidak memberi ‘peluang’ kepada sebarang bentuk ‘kecacatan’ atau ‘kelemahan’ di mana-mana?.

Sebagai pemimpin dalam keluarga, agak kerap dan selalu kah kita memberi ‘peluang’ kepada anggota keluarga meminta atau melakukan sesuatu yang mereka gemari. Daripada 10 permintaan, berapa kali kah kita berkata ‘ya’ dan berapa kali kah kita berkata ‘tidak’. Lantas, agaknya adakah kita telah memberi ‘peluang’?.

Malah kepada diri kita sendiri. Sedar atau tidak, kepada diri sendiri ini pun kita masih pada tahap sukar memberi peluang!. Melihat dari nada yang sedikit pesimistik, kita terlalu sukar menerima hakikat kita telah melakukan sesuatu kesilapan. Sedangkan, jika diperhalusi…..kesilapan yang kita lakukan itu sebenarnya adalah suatu ‘peluang’ kepada diri kita untuk ‘mempelajari’ sesuatu. Walau apa alasan sekalipun, cuba dan berusahalah memberi ‘peluang’ kerana rasanya ketika itu sahajalah kita mendapat ‘peluang’ untuk mencipta ‘peluang’ kita pada hari esok!.

Apa yang sangat pasti pada saya adalah hakikat yang menyatakan bahawa jika kita ‘memberi peluang’ tanpa sedar kita sebenarnya sedang ‘mencipta peluang’. Walau apa alasan sekalipun!.

Friday, December 25, 2009

Matahari bangun lagi.....


Wow! Setelah begitu lama matahari menyepikan diri tanpa sebarang aktiviti yang menarik, akhirnya ia mula bergelora. Hari ini, menerusi pemerhatian satelit SOHO (Solar and Helioppheric Observatory), tidak kurang daripada 5 kawasan aktif mula muncul di permukaan matahari yang menghadap ke arah bumi.
Foto di sebelah menunjukkan kawasan aktif tersebut menerusi cahaya ultra-violet yang ekstrem dan setiap satu kawasan tersebut mengandungi samada tompok matahari atau bakal tompokan yang akan muncul. Kesemuanya termasuk di dalam kumpulan Solar Cycle 24.
Setelah hampir 2 tahun menyepi dengan bilangan tompok matahari terendah yang pernah direkod, kini matahari seolah-olah sedang menggeliat dan mula bangkit dari tidur menuju ke Solar Maksimum dalam masa beberapa tahun mendatang.
Sumber: Falak Online.

Thursday, December 24, 2009

Quran Saintifik !

“Para saintis pada hari ini sering kali bertanya, “Apakah yang sebenarnya berlaku selepas ledakan Big Bang?” Justeru sebahagian mereka cuba menyusun satu bentuk kronologi berhubung perkara ini. Selepas mengkaji pandangan-pandangan mereka, saya mengolah dan menyusun semula kronologi itu mengikut enam fasa. Fasa Pertama, Ledakan dan pengembangan. Fasa Kedua Penyejukan dan kelahiran nukleus. Fasa Ketiga, kelahiran Atom. Fasa Keempat, Asap dan Kelahiran galaksi serta bintang. Manakala Fasa Kelima, Percantuman Galaksi, Kelahiran Big Hole, Supernova dan Matahari. Fasa seterusnya ialah Kejadian Bumi dan Atmosfera dan Permulaan Hidupan. Demikian antara kandungan yang dinyatakan dalam Bab 22 – Kronologi Kejadian Alam, Buku Quran Saintifik, di muka surat 44.

Benar ulasan Dr. Tengku Asmadi tentang buku setebal 246 muka surat ini, “Mengagumkan! Buku ini mengupas secara komprehensif bukti-bukti sains yang membenarkan kandungan Quran dan mampu meningkatkan lagi keimanan seseorang apabila membaca dan memahaminya”. Membaca buku ini cukup berbaloi mengisi minda dan masa kita.

Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian dengan bahagian pertama membicarakan tentang Cemerlang dalam Menguasai Dua Ayat. Bahagian Kedua tentang Permulaan Alam Semesta adalah permulaan Segala-galanya. Bahagian Ketiga pula berbicara mengenai Manusia dan Asal Usulnya. Bahagian Keempat memperkatakan pula tentang Tujuan dan Matlamat Hidup Manusia manakala pada bahagian Kelima adalah Epilog tentang kandungan buku ini. Buku tulisan Dr. Danial Zainal Abidin terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. Ini mudah diperoleh di pasaran pada harga RM21.50. Bacalah……..baru anda tahu ilmu dan pengetahuan dalam buku kecil ini. Selamat Membaca !

Journey For Year End !

Perjalanan semalam dimulakan cukup lewat dari kebiasaan. Perjalanan adalah dalam rangka membawa anak-anak untuk 'melihat-lihat' sesuatu yang mungkin baru, setelah agak lama tidak membawa mereka berjalan jauh. Along dan Eying paling teruja sepanjang perjalanan ini. Merekalah yang kerap mengingatkan saya dan isteri tentang 'Journey For Year End' ini. Setiap kali ibu mereka mengusik, 'perjalanan dibatalkan!', mereka berdualah yang mempamerkan wajah 'mogok'. Haa.....ha.....
Bertolak lewat pada jam 1.00 pm dan tepat 1.46 pm sudahpun berada di Kunak. Perjalanan ke Lahad Datu disempurnakan tepat pada 3.00 pm. 'Sharp' nampaknya perjalanan ini sungguhpun berjalan santai. Kemudian, meneruskan perjalanan ke Kinabatangan dan Check-point Sandakan setelah singgah berehat di Lahad Datu. Perjalanan agak lambat kerana hujan yang sekali sekala menyirami kereta yang sudah saya cuci sebelum perjalanan.
Sampai di Check-point Sandakan lebih kurang jam 5.00 pm, singgah sekejap di Shell Batu 32, dan meneruskan perjalanan menuju ke Telupid dan Ranau. Pada ketika ini anak-anak mula mempamerkan 'keboringan' menyusuri perjalanan yang terasa amat jauh. Tetapi sebenarnya, mereka sudah lama tidak melalui perjalanan sejauh ini sepanjang 2009 ini. Tepat jam 8.00 malam, myVios 'docking-up' ( bahasa kapal angkasanya ) di Anjung Selera, Ranau.
Sengaja memilih untuk santai dan berehat disini, dan saya menjangkakan akan sampai di Istana Hinggap saya pada jam 11.00 malam. Perjalanan sejauh 522 km ini terasa dekat jika memandu secara santai dan tidak tergesa-gesa. Jadual program disini belum lagi 'dimesyuaratkan'. Hari ini agaknya akan ada mesyuarat 'tergempar' diadakan memandangkan ummi tidak berapa sihat melakukan apa-apa perjalanan tambahan!. Hee...he.....





Monday, December 21, 2009

Friday, December 18, 2009

Epilog 6 : Pra-syarat gol....

Semalam saya mengambil masa bersendiri, atas banyak alasan. Antaranya...... untuk saya menghitung untung rugi sepanjang riwayat hidup saya tahun 1430H, menjelang 1 Muharram 1431H. Rasanya...tidak perlulah untuk saya menyatakan untung rugi 'akaun' saya. Berapa jumlah cek tendang, berapa jumlah cek luput tarikh, berapa jumlah projek belum 'claim', 'anak syarikat' mana yang paling untung, 'cawangan' mana yang paling bermasalah dan bermacam lagi 'transaksi' yang tidak dapat saya perincikan disini.

Saya sedikit tersentak apabila mengenang tempoh perkhidmatan saya di sekolah yang sama, di SMK. Tagasan ini. Saya teringat, beberapa sahabat dan teman rapat mencadangkan saya untuk berpindah sekolah. Tidak kurang juga yang 'drastik' menganjurkan saya untuk berpindah daerah saja!. Keluar dari 'pertapaan', demikian mereka menamakan senario yang saya alami ini. Istilah yang agak sinistik tetapi ada benarnya.

Pernah juga beberapa ketika sebelum ini saya bermonolog dengan diri sendiri. Apakah sumbangan saya sebagai 'orang lama'?. Memadai dengan menerima sahaja tugas yang diberikan pihak pentadbiran, walaupun tidak gembira dengan peranan yang diberikan. Kononnya sebagai contoh staf yang sanggup bertugas walau apa posisi sekalipun. Atau terus 'meminggirkan diri' daripada sebarang tugas dan tanggungjawab. Kononnya, atas alasan memberikan peluang kepada generasi baru ( guru baru ) menimba dan melalui pengalaman seperti yang pernah saya lalui dahulu!. Ahhh.....
Dr. Siddiq Fadhil memberikan gambaran menarik terhadap senario orang baru dan orang lama. Orang muda katanya kaya dengan idealisme dan penuh bertenaga, manakala orang lama menurut Dr. Siddiq lagi, kaya dengan pengalaman dan penuh 'kesabaran'.
Gambaran ini membawa ingatan saya kepada konsep fitnah dalam profesion. Benar kata sahabat, paling penting dalam keadaan ini.....jangan sekali-kali khianat kepada profesion kita. Sebagai guru, lapangan sebenar adalah di bilik darjah bersama anak-anak murid. Jangan sekali-kali tidak masuk mengajar anak-anak murid ini kerana ia akan menimbulkan fitnah kepada profesion kita.
Mungkin apa yang saya perkatakan ini boleh dibahaskan lagi. Saya akur terlalu banyak pemboleh ubah yang menentukan kejayaan di bilik darjah. Tetapi sebagai pemain, sama ada 'goal keeper', 'midfielder', 'stopper' atau 'striker', beraksilah setangkas yang boleh untuk menjelmakan peluang.......yang memungkinkan kejayaan. Pra-syarat jaringan gol adalah usaha awal yang dizahirkan semua pemain!. Demikian saya memaknakan diri di atas padang!. Harapnya begitu.......

Thursday, December 17, 2009

Tahun lalu......

Salam Maal Hijrah
1431H
Iman is like a crystal, preserve it!
Al-Hubb is like a perfume, spread it!
At-Taqwa is like flood, flow it!
Ukhwah is like an umbrella, share it!
Salam Hijrah....

Wednesday, December 16, 2009

Epilog 5 : Only 2.....

Banyak perkara / benda di dunia hanya ada 2. Tangan hanya ada 2. Telinga hanya ada 2. Kaki hanya ada 2. Mata hanya ada 2. Itu pada manusia. Siang dan malam, Tinggi dan rendah, besar dan kecil. Cantik dan Hodoh. Kiri dan Kanan. Lelaki dan wanita. Jantan dan betina. Tua dan muda. Syurga dan Neraka. Banyak lagi perbandingan berlawanan yang mempamerkan ciri…..hanya ada 2!.

Sahabat saya drmindailmu melontarkan hanya 2 opsyen menanggapi manusia, untuk kita memilih menjadi salah satu daripadanya. Manusia yang baik dan manusia yang jahat. Medan maknanya mungkin kita boleh tafsir dengan cukup mudah, antara yang baik dan yang jahat. Sahabat saya itu menambah lagi, yang baik itu pula hanya ada 2. Orang yang baik dan orang baik yang beriman. Tafsirannya juga mungkin mudah untuk kita ciri kan. Orang baik yang dimaksudkan mungkin sahaja dalam tafsiran umum, iaitu yang tidak melanggar norma dan peraturan masyarakat. Sekadar itu sahaja….., tak lebih dari itu!.

Orang baik jenis kedua ini, tentu sahaja jauh lebih baik daripada orang baik jenis pertama. Orang ini bukan sahaja baik pada tafsiran manusia kebanyakan, tetapi ditambah lagi dengan ciri ‘beriman’ yang memberi sifat ‘special’ kepada orang baik jenis kedua ini. Kalau baik sahaja tetapi tidak beriman, memungkinkan risiko ‘menanti’ kerana 1001 alasan dan justifikasi boleh dilontarkan jika perlu untuk menghalalkan tindakan dan perbuatan. Bezanya, kalau baik yang beriman adalah terletak pada ‘imannya’. Sudah tentu, orang beriman ‘menggantungkan’ segala-galanya hanya kepada ketentuan dan redha Allah. Redha Allah adalah ‘sasaran akhir’ kepada setiap perlakuan dan perbuatan yang diamalkan sehari-hari. Pakej ‘redha Allah’ inilah yang mengurangi ‘kelengkapan’ ciri orang baik yang pertama.

Persoalannya, kita boleh sahaja memilih mengikut kehendak dan kemahuan kita. Itu pilihan kita sendiri!. Tanpa terlalu skema pada pernyataan ‘orang baik’ dan ‘orang baik yang beriman’, rasanya manusia normal tentu sahaja memilih ‘orang baik yang beriman’ dan bukan sebaliknya. Atau lebih teruk lagi….membuat pilihan, orang jahat atau orang jahat beriman!. Walaupun ada opsyen, tetapi memilih untuk menjadi orang jahat ‘sudah pun’ menjadikan 2 pilihan menjadi hanya 1 pilihan. Kerana matlamat akhir hidup kita adalah pada ‘syurga’ atau ‘neraka’!. Iya…..tak iya… juga….lu fikirlah sendiri!.

Law of Attraction...

Micheal J. Losier, penulis buku Law of Attraction ini akan muncul dalam rancangan Tamu Awani pada 20 Disember 2009 ini. Kesempatan berada di Kota Kinabalu beberapa hari yang lalu saya manfaatkan sepenuhnya dengan mengunjungi beberapa kedai buku seperti Eaton's di Centre Point dan Popular Books di 1Borneo dan Palm Square.

Sebenarnya telah lama saya mencari buku ini. Di internet, khususnya di bookcafe dan kedai.net juga menjualnya secara online!. Sehinggalah saya mengunjungi Eaton's, saya berjumpa dengan buku Law of Attraction ini. Tanpa berfikir panjang saya membayar buku ini disamping 5 naskah buku novel Siri Penyiasatan Ekstrovert yang dipesan anak-anak.

Memetik beberapa ungkapan testimoni daripada mereka yang mengenali tulisan Micheal J. Losier ini, antaranya ;

"Mesej yang disampaikan oleh Micheal J. Losier bakal menguba cara anda melihat diri sendiri dan orang lain. Saya dapati buku ini sangat memberi inspirasi dan menenangkan". Demikian Ethelle G. Lord, Teamwork Development Associates, mengungkapkan pandangannya tentang buku ini.
"Micheal Losier memiliki kebolehan bagi menyerap pelbagai prinsip yang abstrak dan menghasilkan keputusan yang benar-benar berkesan. Buku ini sangat mudah dibaca, diterapkan dan yang paling penting ia berkesan". Mary Marcdante, penulis buku My Mother, My Friend, www.marymarcdante.com .
Saya sebenarnya baru nak mula menekuni pembacaan buku ini. Ulasan dan pandangan saya selepas pembacaan lengkap nanti akan saya nyatakan disini. Tetapi maklumat awal yang saya perolehi di laman web menggambarkan buku ini cukup mengujakan. Buku terbitan PTS Professional ini dijual pada harga RM30.00. Selamat Membaca!.

Tuesday, December 15, 2009

Epilog 4 : Faham.....

Faham untuk memahami keperluan memberi kefahaman !. Apa ni ?. Mungkin itu agaknya yang tergambar di fikiran kita. Tetapi ingat, jangan sehingga tak faham….sudah!. Semasa berada di Kota Kinabalu beberapa hari yang lalu, saya sempat menghadiri satu program kendalian Jabatan Pendidikan Sabah. Seminar yang dihadiri Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah seluruh negeri ini adalah dalam rangka memberi kefahaman kepada para PPD menjelang pelaksanaan program LINUS. Fokus saya bukan kepada program itu, tetapi kepada method…….bagaimana untuk memudahkan sesuatu untuk difahami orang lain.

Memang benar bahawa untuk menjayakan apa-apa perancangan dan program, antara rukun utama yang perlu dilalui untuk memastikan program itu sukses adalah memberi kefahaman. Dengan kita memahami peranan dan fungsi, akan memudahkan proses penyampaian ‘maklumat’ berkenaan kepada golongan sasaran. Oleh itu, kita perlu faham bahawa memahami keperluan tugas dan fungsi kita untuk ‘boleh’ memberi kefahaman adalah antara perkara penting. Tidak kiralah apa posisi dan fungsi kita.

Namun perkara sebelum dan selepas kita memberi kefahaman adalah satu perkara lain yang perlu diperhatikan. Sebelum memberi kefahaman, kita sendiri haruslah ‘jelas’ tentang subjek yang ingin difahamkan. Tidak mungkin kita boleh ‘memahamkan’ orang lain, jika kita sendiri tidak faham. Demikian halnya, selepas kita memberi kefahaman. Kita ‘bertanggungjawab’ untuk seboleh mungkin mempermudah pemahaman, agar apabila kita memikul tugas ‘memahamkan’ orang lain, maka mudah untuk kita laksanakannya.

Agaknya, beginilah antara faham yang Sifu mahu kami fahami. Simplify but not simplistic. Mempermudah tetapi tidak sampai meremehkan!. Simplify Initiative….bukan bermaksud menambah apa yang kurang, tetapi membuang apa yang tidak perlu !. Logik akal…….yang ringkas itu kan lebih mudah difahami, tetapi terlalu ringkas pun, mungkin akan menjadikan sesuatu itu……tidak difahami. Anda faham tak ?.

Ketemu di Alur Zaman...

Buku kecil setebal 77 muka surat ini adalah buku pemberian drmindailmu. Buku ini sebenarnya adalah kompilasi tulisan Rustam A. Sani sendiri tentang beberapa tokoh yang dikenali dan difahami penulis. Pengamatan tajam penulis bukan sahaja memberikan kita maklumat tentang pandangan dan perspektifnya, tetapi yang lebih hebat lagi lontaran idea dan pemikiran yang harmonis dan humanistik sifatnya.

Prinsip dan asas pemikiran yang jelas, mengajak khalayak pembaca untuk menilai bukan sahaja dengan ilmu dan pengalaman semata-mata, tetapi juga menggunakan mata hati dan tingkat faham kemanusiaan yang tinggi. Anda bayangkan jika anda disoal oleh ayah sendiri, "Yang ini, anak siapa?".......dapatkan anda cirikan konteks dan suasana soalan itu terlontar dari mulut ayah anda sendiri. Agaknya apa bayangan anda??. Nabil menasihatkan saya, "Lu fikirlah sendiri!".

Jika nak tahu, bacalah buku kecil ini, yang juga merupakan antara karya terakhir Allahyarham Rustam A. Sani. Buku berharga RM15.00 di Sabah ini diterbitkan Media Icon Sdn. Bhd. Selamat Membaca...!

Monday, December 14, 2009

Epilog 3 : You....

"No hearth feeling...Brother!"........ Ayat pendek dan amat 'meringankan' ini sering diucapkan oleh sahabat saya drmindailmu. Tafsiran umumnya bagi saya adalah 'tak ada hal' atau 'tak kisahpun' atau lebih tepat lagi 'tidak ambil hati'. Harapnya beliau mengizinkan saya menggunakan ayat berkenaan sebagai inti dalam catatan ini. Siri pertemuan dengan drmindailmu mencetuskan gagasan pragmatik yang menjadikan kita ( saya ) ...energetik.

Beberapa hukum alam seolah-olah seperti 'mendesak' kita untuk mendukung gagasan pemikiran sebegini. Hukum pertama, memang susah untuk memuaskan hati semua orang!. Sama ada kita adalah individu yang produktif, prolifik dalam profesion, baik dengan semua orang ( dibelakang tak tahu pula... ), atau sebaliknya kita adalah individu yang tidak produktif dan hilang punca!, sudah pasti akan ada orang yang tidak puas hati atau membenci kita.
Lalu, apakah pendirian dan asas prinsip kita menghadapi individu sebegini?. "No hearth feeling....brother" rasanya adalah jawapan yang sesuai. Saya setuju bahawa tidaklah menjadi persoalan untuk semua orang perlu ikut atau menuruti apa yang kita katakan!. Setuju...oklah, ......tak setuju...No hearth feeling!

Fokus kepada idea atau gagasan kita atau fokus kepada personaliti kita sendiri sebenarnya tidak ada ruang untuk kita membenarkan orang lain 'menghambat' apa-apa perancangan dan aktiviti yang kita buat. Kalau komen atau tafsiran orang itu positif, kita terima dan jangan pula bangga diri. Dalam masa yang sama, jika komen itu negatif, kita terima dan fikir-fikirkan benar tidaknya, tetapi jangan sehingga kita 'blame' atau menyalahkan diri sendiri.
Ada kaitan dengan apa yang Sifu sering katakan tentang ilmu 'tong sampah'. Orang yang kerjanya menyapu sampahpun, tidak membawa tong sampahnya ke hulu ke hilir!. Bukankah terlalu memikirkan hal orang lain itu sama seperti kita membawa tong sampah ke sana ke mari!. Tinggalkan saja!. No hearth feeling...brother!.

Sunday, December 13, 2009

Journey for Epilog.....

Semasa catatan ini dinukilkan, kami sedang berhenti makan malam di Restoran Rumpun Selera, Bandar Seri Perdana, Lahad Datu. Perjalanan balik ke Seri Ilham, kalau tiada aral melintang tinggal berbaki 2 jam perjalanan. Menu yang saya 'order' ialah Nasi Daging Lemon dan Tea Madras......... Tapi itu bukan kisah sebenar yang saya hendak catatkan!.

Perjalanan dari Kota Kinabalu sekitar jam 2 petang. Sengaja memilih untuk berjalan santai. Tetapi yang lebih penting lagi, kami sempat bertemu dengan teman lama, Saudara Muji. Sambil mengunjungi PC Fair di 1Borneo, sempat juga berborak-borak sambil menikmati makan tengahari di gerai makan kecil berhampiran RHB Bank 1Borneo. Tetapi satu kepuasan yang amat sangat kerana selain bertemu teman-teman di sini, dapatlah juga saya memperbaharui hubungan dan pertemuan.

Sepanjang berada di KK ini juga, proses 'update' maklumat dan pengetahuan tentang banyak perkara juga dapat saya sempurnakan. Ok.....saya nak menikmati makanan saya dahulu. Gambar-gambar perjalanan kali ini akan saya 'upload' kemudian. Lagi pula, saya sedang juga menyiapkan Epilog 3 dan Epilog 4. Insya-Allah, esok nanti saya akan apungkan!.





Epilog 2 : Guru !

Apakah seninya seorang guru?. Perspektif pelukis melihat seni lukisannya sudah tentu berbeza dengan sudut pandang orang biasa melihat lukisan yang sama. Kelihatannya, rasa kepuasan tentunya akan lebih dinikmati oleh orang yang melihat, merasai dan tahu seninya lukisan itu. Namun, apabila sifu melontarkan apakah seninya seorang guru, saya sendiri sebagai seorang guru...ligat berfikir, ya......dimana seninya seorang guru!.
Seninya seorang guru adalah terletak pada 'kemampuan' mengenali keunikan setiap seorang anak-anak muridnya. Kenapa?. Cantiknya......atau lebih tepat, seninya....seorang guru itu adalah dapat mengenalpasti tahap kemampuan dan pencapaian setiap seorang anak muridnya. Tentunya........ragam yang pelbagai yang dizahirkan setiap seorang anak muridnya menghidangkan pelbagai jenis masalah. Sudah tentu.......kepelbagaian ini memerlukan pendekatan dan cara penyelesaian yang berbeza-beza, tetapi tetap dengan matlamat yang sama, iaitu mendidik anak-anak murid berkenaan untuk menguasai kemahiran yang dihasratkan.
Kreativiti, inovasi dan dedikasi guru menangani setiap seorang muridnya untuk mendidik dan mengajar mereka itulah 'seni' seorang guru. Sudah tentu......guru yang 'asyik' adalah guru yang tidak mati akal mencari penyelesaian kepada keunikan setiap murid berkenaan. Kesibukan, masa, pendekatan, kreativiti malah 'kehilangan' material mungkin sebahagian daripada rukun menyelesaikan setiap 'keunikan' itu. Pada tahap inilah agaknya yang membezakan guru dengan pendidik.
Guru seolah-olah terhad kepada hanya memberi ilmu, tanpa ada belaian humanistik. Tetapi pendidik bukan semata-mata memberi ilmu, tetapi juga mempunyai sentuhan kemanusiaan sehingga melewati batasan bilik darjah dalam mencari penyelesaian kepada 'keunikan' pelajar berkenaan. Stop....!

( Saya akan murnikan nanti, jam 10.00 ni nak ke PC Fair di 1Borneo, dan memulakan perjalanan balik sejurus itu...... tungguuu! )

Epilog 1 : Oh..anakku!


Hari ini adalah hari ke-5 dalam Journey for The Big Picture. Rencananya, hari ini saya akan kembali ke Seri Ilham, Semporna. Suatu yang jelas pada saya, sepanjang berada di sini…..terasa seperti cukup bertenaga. Mana tidaknya, hampir setiap malam saya tidur melepasi jam 2 atau 3 pagi!. Tetapi tidak pula mengganggu jadual siang saya. Mungkin kerana telah agak lama tidak menghadiri perbincangan yang ‘agak berat’, maka ‘bateri’ saya berfungsi dengan cukup maksimum. Impak maksimum nampaknya!.

Saya ingin berkongsi sebagai seorang ‘reflektif’ kepada beberapa siri Segaran Minda yang saya lalui sepanjang berada disini. Sebagai seorang ayah, sebagai seorang penjawat awam dan sebagai seorang manusia. Saya dilontarkan pertanyaan oleh kak lestari, untuk apa perlu sibuk menjaga anak, mendidik anak, memastikan persekolahannya berjaya, risau dengan masa depannya dan sebagainya ?. What for all of this?

Rupanya persoalan yang dilontarkan ini berkisar kepada persoalan tanggungjawab!. Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, sudah tentulah kapasiti yang perlu saya lakukan adalah ‘menjayakan’ anak-anak saya dalam pelbagai hal. Akhlak dan moralnya, gaya pemikirannya, perspektifnya menghadapi masalah, potensinya dalam pelbagai lapangan, akademiknya dan sebagainya. Sifu mengistilahkan semua kerangka ini sebagai ‘menjadikan anak-anak kita sebagai manusia’.

Rupanya…..untuk menjadikan seorang manusia itu ‘berinisiatif dan kreatif’ menangani kehidupan sesuai dengan fungsinya, sedarkan sahaja ia dengan soal tanggungjawab. Bagaimana elemen bertanggungjawab itu diterapkan….mungkin satu persoalan yang perlu diperhalusi. Tetapi yang jelas, kerana saya merasakan bertanggungjawab, lantas menjadi kerisauan saya apabila memikirkan bagaimana nasib anak-anak saya, pencapaian akademik mereka, tafsiran dan pandangan mereka tentang kehidupan, keupayaan mereka menghadapi cabaran dan seumpamanya.
Maka dengan itu, saya perlu mencukupkan diri saya dengan pelbagai inisiatif untuk ‘melangsaikan’ tanggungjawab saya. Persoalan hak anak-anak yang perlu saya tunaikan, dan hak saya sebagai ayah yang perlu anak-anak tunaikan, satu ‘komunikasi’ yang melengkapi persoalan tanggungjawab!. Yakini sahaja….bahawa setiap anak kita mempunyai ‘keunikan’ diri masing-masing. Lantas, tidak bijak untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain!. Jangan risaulah !……. demikian sifu meyakinkan saya!.

Friday, December 11, 2009

Why we should catch Geminids !



Kini trend menunjukkan ia semakin aktif dan jumlah meteor bertambah dari setahun ke setahun. Ini disebabkan Bumi sedang meluncur ke 'lorong tengah' laluan debu-debu bekas peninggalan sebuah komet yang sudah pupus, iaitu Komet 3200 Phaethon. Malah saintis menganggapkan Phaethon lebih bercirikan sebuah asteroid berbanding sebuah komet. Setiap tahun, Bumi akan bergerak semakin dalam ke kawasan debu yang lebih padat, dan ini akan menghasilkan pertambahan meteor yang banyak setiap tahun.
Klik disini untuk maklumat lanjut.

Another Meteor event!



Klik disini untuk maklumat lanjut.

Thursday, December 10, 2009

Journey for Big Picture !

Saya mengisi catatan ini sambil menunggu kereta myVios dicuci di Puterajaya, Kota Kinabalu. Entry ini sepatutnya diapungkan semalam, tetapi tidak berkesempatan kerana jadual program yang agak padat....chehhhh !. Perjalanan kelmarin dari Seri Ilham bertolak sekitar jam 9.00 pagi. Sesampai di Lahad Datu, bertemu dengan saudara Dahari di Restoran Novus ( sayapun tak pasti namanya......macam Davos, Switzerland saja bunyinya! ).
Selepas makan tengahari, meneruskan perjalanan tanpa henti sehingga sampai di Stesen Minyak Shell Batu 32, Sandakan. Berehat sambil mengumpul tenaga untuk menyudahkan baki perjalanan menuju ke Istana Hinggap di Agathis Apartmen, Puterajaya. Sesampai di Ranau, sekali lagi berehat sambil menghayati masakan sup perut campur daging. Amat terasa perjalanan kali ini kerana telah agak lama tidak melakukan perjalanan jauh sebegini.
Meneruskan perjalanan dengan singgah di Stesen Minyak Petronas Ranau. Sempat berkenalan dengan Lucy, gadis di stesen pam minyak, menjadikan hati berbunga-bunga.......kerana Lucy banyak maklumat tentang penginapan dan seumpamanya, murah dan mudah tentunya. Apatah lagi Lucy sendiri menawarkan diri menjadi 'agen'. Bukan apa....perancangan untuk membawa anak-anak dan keluarga 'cuti-cuti satu Malaysia' kelak.
Pendakian myVios menyelusuri jalan Kundasang - Tamparuli 'dikejutkan' oleh deringan telefon rakan-rakan forum yang sedia menanti di lapangan. Sampai sahaja di Istana Hinggap, merehatkan diri sekejap.....membersihkan diri, lantas terkinja-kinja bergegas ke gelanggang foum terbuka di Anjung Selera. Ahli-ahli panel sedia menanti disana. Apakah 'mahalnya' perbincangan ini....seakan-akan menyamai Copenhagen Climate Change 2009. Namun kepuasan tetap seperti dijanjikan, sungguhpun perjalanan sejauh lebih 500 kilometer.......kerana nikmat bertemu teman-teman dengan agenda dan isu 'mengelilingi dunia' tetap merupakan kepuasan yang tidak dapat diukur dengan pembaris apalagi dengan depaan jari jemari. Apa dianya......tungggu entry saya yangakan datang!. Ingat......tunggguuu...!