Pada pengamatan saya, bila disebutkan institusi pendidikan, elemen lain yang menyangkut makna pendidikan itu adalah juga komponen yang terlibat. Bila memperihalkan pendidikan, komponennya adalah penggubal dasar ( kementerian ), kepimpinan pendidikan ( para pentadbir sekolah ), sekolah ( sekolah, staf & guru, murid ), guru ( pengajaran dan pembelajaran ), ibubapa ( anak-anak & pelajar ) serta komponen pelajar itu sendiri.
Tentu sahaja guru mengambil wajaran perhatian yang besar kerana posisi guru yang menjadi 'jambatan penghubung' kepada pelbagai lapisan dan komponen yang lain dalam institusi pendidikan ini. Segala dasar dan kandungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah diperturunkan kepada guru-guru untuk direalisasikan. Di sudut oposisi, ibubapa pula menyorong anak-anak mereka ke bilik-bilik darjah untuk 'diproses' melalui makmal dan ramuan yang telah diformulasikan oleh guru.
Polemik dan dilema timbul apabila ramuan dan resipi yang disusun oleh guru untuk anak-anak berkenaan tidak seperti yang diharapkan. Guru berdilema kerana formula itu tentunya berdasarkan 'kehendak dasar dan kandungan kurikulum' yang disediakan kementerian. Tetapi situasi sebaliknya berlaku dilapangan sebenar, kerana hambatan yang bersifat tempatan dan budaya spesifik. Guru keseorangan menghadapi dua dimensi berbeza, yang juga mempunyai budaya desakan dan tekanan yang juga berbeza!. Lantas, apakah pilihan guru.....
Pada hemat saya, di titik inilah yang akan menzahirkan perbezaan antara guru. Seorang guru yang prolifik dan optimistik, tentunya kaya dan sarat dengan inisiatif menghampirkan dua aliran pertembungan keperluan. Sebaliknya guru pesimistik, tentu sahaja kreatif memantulkan alasan dan justifikasi menghalalkan 'kegagalan' fungsi dan peranan. Sungguhpun kelihatan berlaku dualisme keperluan antara kehendak dasar dan kurikulum dari satu arah dan kejayaan anak-anak pelajar dari arah bertentangan, sebenarnya 'pertembungan' itu adalah pada landasan yang sama dan boleh disatukan!.
Tinggal lagi......guru mesti mencipta satu resepi yang bersifat tempatan. Segala perencah dan bahannya adalah berjenama tempatan. Mungkin...sedikit diluar kebiasaan dan melanggar mana-mana pantang larang. Namun guru berkenaan mempunyai alasan konkrit terhadap keluarbiasaan tersebut, iaitu jenama tempatan. Ciri abnormal itulah yang menjenamakannya bersifat tempatan, dan mungkin resepi itu hanya sesuai ditempat itu sahaja. Tetapi yang penting, resepi ini berjaya berfungsi meskipun dengan gaya tersendiri!.
Dengan kata lain, sebagai seorang guru, sewajarnya kita lebih berinisiatif menjayakan posisi kita sendiri. Gunakan bahan mentah yang sedia ada, inovasikan 'kekurangan' yang kita miliki untuk menjelmakan suatu perubahan yang lebih bermakna, saiz bukan isunya, yang penting ada. Iktiraf kejayaan kecil itu untuk mendorong diri sendiri melakar kejayaan yang besar daripada asal....... Rasanya itu lebih bermakna!.
Posted using BlogPress from My iPad's
Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna
No comments:
Post a Comment