Friday, December 26, 2008

Return Back Journey!

Tarikh : 23 Disember 2008 ( Selasa )
Lokasi : Taman Puterajaya, Telipok, Kota Kinabalu.
Destinasi : Seri Ilham, Semporna.
Masa Bertolak : 12.00 Tengahari.
Masa Tiba : 12.30 Malam.
Check-point :
  • Kg. Taginambur, Kota Belud.
  • Restoran Annisa, Telupid.
  • Batu 32, Sandakan.
  • SM. Teknik Lahad Datu, Lahad Datu.

Mungkin jiwa saya agak sentimental, tapi saya amat pasti ‘rasa’ ini adalah normal bagi saya…. . Tengahari itu seperti sukar untuk saya menapak kaki meninggalkan rumah 'istana hinggap' saya. Rasa ini sering menjengah jiwa sentimental, terutama jika bersama keluarga. Saya tidak menafikan rumah ini terlalu banyak nostalgia. Dalam kereta, saya hanya sempat meluahkan ‘rasa’ ini kepada orang rumah sambil memandu. Saya mengambil pendirian positif, situasi ini mungkin latihan kepada jiwa. Saya tak tahu apa pengajaran darinya, tetapi saya amat pasti…..ada mesej yang terhampar disana!.

Rasa’ ini akhirnya terbawa-bawa sambil memandu dengan iringan lagu Search – Kejoraku Bersatu, dalam perjalanan balik ke ‘based camp’. Saya sengaja melayan ‘rasa’ ini untuk mendorong jiwa saya merasa kerdil dengan segala apa yang berlaku. Seperti yang saya nyatakan dalam Journey for Change, sudah hampir 2 tahun saya tidak membuat perjalanan jauh bersama keluarga.
Return Back Journey ini sengaja memilih laluan Kota Kinabalu – Kota Belud – Kundasang – Ranau – Telupid – Beluran – Lahad Datu – Kunak & Semporna. Saya merasakan sepanjang Journey for Change 1-5 dan Return Back Journey ini seperti kehilangan sesuatu. Tetapi apa……???

Bagi saya secara peribadi, terlalu banyak yang saya kehilangan. Secara fizikal, badanpun sudah tidak seslim dulu. Anak-anakpun sudah 4 orang. Saya mengimbau nostalgia silam zaman kanak-kanak dan remaja saya. Datang ke sekolah dengan segala macam kepayahan. Ke sekolah hanya berjalan kaki sejauh 15 km setiap hari melalui jalan denai dan berlopak. Kasut getah atau nama klasiknya ‘adidas kalia-mong’ digalas bersama beg sekolah dan hanya dipakai sesampai di kawasan sekolah. ‘Adidas’ ini cukup disayang!.

Bekal ke sekolah hanya jagung rebus dan minuman pula hanya diambil dari air tangki sekolah. Sangat jarang mendapat bekalan duit poket untuk berbelanja di kantin, walau cukup cuma 20 sen!. Paling menggores hati, bilik darjah saya adalah berkongsi dengan 2 lagi kelas lain dari darjah yang berlainan. Paling menyeronokkan adalah apabila diberi bekalan susu bantuan sekolah terutama pada hari isnin ( sebab hari isnin, diberi perisa coklat!, hari lain perisa jagung, strawberry dan susu putih…. ).

Masa remaja, kalau boleh.... saya tak mahu ada cuti sekolah. Bukan sebab mahu sangat belajar!. Tetapi hanya pada masa persekolahanlah saya akan terselamat dari ‘tugasan’ mengisi beg plastik hitam dengan tanah untuk menanam koko. Mengangkat air berbaldi-baldi banyaknya. Mengambil kayu api untuk memasak dan pelbagai tugas lain. Itu tugas sebelah siang. Tugasan waktu malam pula adalah berjaga dihujung kebun jagung ayah, preskripsi tugas ialah menghalau babi hutan dari memakan dan memusnahkan kebun jagung ayah saya! Aduh…….

Banyak lagi nostalgia silam yang tak mampu saya nukilkan pada blog ini. Mungkin…. ada diluar sana beranggapan macam-macam tentang saya selepas membaca catatan ini. Bagi saya tidak sukar dan payah untuk saya mengakui segala kepayahan ini. Mungkin saya pemalas kerja berat, atau beribu lagi kemungkinan lain……. Saya terima sejujurnya!. Tetapi, anda tahu.......segala keperitan dan kepayahan inilah yang 'mendorong' saya mencapai apa yang saya ada hari ini!.

Bezanya....apa ?. Sangat banyak bezanya, kalau dulu kita mudah sangat 'berterima kasih' dengan apa sahaja yang ada. Dulu sungguhpun kita merungut, tetapi kita buat juga..... Dulu kita mudah sangat menolong dan membantu orang...... Dulu hati-hati kita mudah sangat merasa kerdil..... Dulu sungguhpun makanan tidak seenak makan kita hari ini, tetapi....menu itulah yang kita cari-cari hari ini.... Dulu kita tersangatlah positifnya, sehingga apapun kepayahan, kita memacak keyakinan, Allah s.w.t. akan 'membayar' setiap titik peluh yang mengalir dari usaha dan kerja kuat kita..... itu dulu....

Kini....... kini kita mudah sangat memperlekeh kerja orang lain. Kini kita banyak sangat 'complaint', dan langsung bertindak memprotes!. Kini kita terlalu berkira untuk membantu orang lain. Kini kita mudah sangat 'besar kepala' dan mempertonton keegoan!. Kini makan kita macam-macam ada, hingga berlebihan dan buang begitu sahaja. Kini, kita mudah sangat alpa memanjatkan syukur dan terima kasih kita kepadaNya....... apa sudah jadi!.

Catatan ini hanya.....renungan peribadi 'pentaakulan' terhadap makna diri, yang saya nak kongsikan dengan orang lain ( yang sudi...terima kasih ! ). Catatan ini mula dinukilkan pada 11.43 pm, 25 Disember 2008 dan saya rasa cukup! pada jam 1.28 am, 26 Disember 2008!. Dua hari !. Lebih penting yang saya nak lontarkan......menjelang beberapa hari lagi, 1 Muharram 1430 dan 1 Januari 2009........... 2 persoalan yang saya lontarkan kepada diri, dimana saya hari ini dan kemana saya hari esok!. Rasanya masih tidak terlewat untuk kita menghisab diri!.

1 comment:

Anonymous said...

Muhasabah di ambang tahun baru

BEBERAPA hari lagi kita akan menyingkap tirai tahun baru Masihi dan tahun Hijrah. Saban tahun, apabila menjelangnya mentari pagi tahun baru, manusia mulalah menanam pelbagai azam tahun baru adakalanya tanpa sempat menilai semula apa yang berlaku pada tahun sudah.

Tidak kurang juga pelbagai persiapan diadakan sempena menyambut tahun baru. Yang paling jelas ialah acara menanti detik 12 malam yang saban tahun diadakan tanpa muhasabah tentang kebaikan yang diperoleh daripadanya. Ia berlaku hampir saban tahun tanpa ketinggalan dan menjadi rutin tahunan. Malah ada yang menganggapnya sebagai suatu kemestian untuk menyambut tahun baru.

Cuma pada tahun berlakunya tsunami 2004, upacara itu telah dinasihatkan oleh Perdana Menteri supaya tidak diadakan bagi menghormati perasaan mangsa-mangsa tsunami yang baru sahaja ditimpa musibah. Namun, pada tahun-tahun berikutnya, ia menjadi seperti daun keladi yang padanya air dicurah.

Walaupun kebaikan yang akan diperolehnya tidak begitu jelas, namun masih ramai yang mengunjunginya. Apa yang ketara pada pandangan mata ialah jamuan pelbagai bentuk hiburan kepada ribuan khalayak yang menanti detik 12 malam. Pada kebiasaannya, ia diadakan di tempat terbuka dengan sesiapa sahaja boleh masuk dengan percuma. Sesiapa sahaja boleh masuk dan berada di samping sesiapa sahaja yang mereka suka, tanpa mengira batas jantina, umur, jauh sekali untuk memikirkan soal mahram dan kawalan susila. Cara berpakaian pula asalkan enak mata memandang.

Menyambut

Keesokan paginya padang keramat akan penuh dengan sampah sarap. Bungkusan plastik, tin minuman, alas duduk dan segalanya pasti memenuhi saujana mata memandang. Pada saat golongan yang menyambut tahun baru ini sedang enak tidur kerana mengantuk akibat pulang lewat, pekerja majlis perbandaran dan dewan bandar raya terpaksa berkerja pada hari cuti umum semata-mata untuk mencuci sampah yang dibuang oleh terlalu ramai pelawat yang mencuci mata dan telinga.

Sesungguhnya tiada apa yang istimewa pada sambutan menjelangnya tahun baru. Keseronokan yang dicari di padang hanyalah bersifat amat sementara dan pada harga tinggi yang perlu dibayar. Masa berharga wajar digunakan untuk bersama keluarga bagi menjalin hubungan mesra serta beristirehat menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.

Kita seharusnya menggunakan peluang masa di ambang tahun baru untuk menilai semula sejauh mana prestasi kita pada sepanjang tahun lama. Adakah kita telah mencapai sasaran yang ditetapkan, jika tidak mengapa dan bagaimana harus kita memperbaikinya. Jika sebaliknya, bagaimanakah kita dapat mempertingkatkan lagi kualiti hidup kita sejajar dengan objektif hidup sebagai seorang khalifah di muka bumi. Manusia yang beruntung ialah mereka yang hari ini lebih baik berbanding hari semalam dan hari esok lebih baik dari keadaan sekarang.

Kita juga harus sedar dengan amaran-amaran yang telah diberikan baik berbentuk kegawatan ekonomi, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, rebut salji dan sebagainya. Kesemuanya itu adalah ujian dan petanda untuk mengukur prestasi diri sendiri pada skala pandangan pemilik alam ini. Berhibur jika kena pada tempat dan caranya akan menzahirkan sifat peribadi hamba yang bersyukur, tetapi jika tidak pastinya lambat laun kita akan tersungkur.