Friday, December 26, 2008

Return Back Journey!

Tarikh : 23 Disember 2008 ( Selasa )
Lokasi : Taman Puterajaya, Telipok, Kota Kinabalu.
Destinasi : Seri Ilham, Semporna.
Masa Bertolak : 12.00 Tengahari.
Masa Tiba : 12.30 Malam.
Check-point :
  • Kg. Taginambur, Kota Belud.
  • Restoran Annisa, Telupid.
  • Batu 32, Sandakan.
  • SM. Teknik Lahad Datu, Lahad Datu.

Mungkin jiwa saya agak sentimental, tapi saya amat pasti ‘rasa’ ini adalah normal bagi saya…. . Tengahari itu seperti sukar untuk saya menapak kaki meninggalkan rumah 'istana hinggap' saya. Rasa ini sering menjengah jiwa sentimental, terutama jika bersama keluarga. Saya tidak menafikan rumah ini terlalu banyak nostalgia. Dalam kereta, saya hanya sempat meluahkan ‘rasa’ ini kepada orang rumah sambil memandu. Saya mengambil pendirian positif, situasi ini mungkin latihan kepada jiwa. Saya tak tahu apa pengajaran darinya, tetapi saya amat pasti…..ada mesej yang terhampar disana!.

Rasa’ ini akhirnya terbawa-bawa sambil memandu dengan iringan lagu Search – Kejoraku Bersatu, dalam perjalanan balik ke ‘based camp’. Saya sengaja melayan ‘rasa’ ini untuk mendorong jiwa saya merasa kerdil dengan segala apa yang berlaku. Seperti yang saya nyatakan dalam Journey for Change, sudah hampir 2 tahun saya tidak membuat perjalanan jauh bersama keluarga.
Return Back Journey ini sengaja memilih laluan Kota Kinabalu – Kota Belud – Kundasang – Ranau – Telupid – Beluran – Lahad Datu – Kunak & Semporna. Saya merasakan sepanjang Journey for Change 1-5 dan Return Back Journey ini seperti kehilangan sesuatu. Tetapi apa……???

Bagi saya secara peribadi, terlalu banyak yang saya kehilangan. Secara fizikal, badanpun sudah tidak seslim dulu. Anak-anakpun sudah 4 orang. Saya mengimbau nostalgia silam zaman kanak-kanak dan remaja saya. Datang ke sekolah dengan segala macam kepayahan. Ke sekolah hanya berjalan kaki sejauh 15 km setiap hari melalui jalan denai dan berlopak. Kasut getah atau nama klasiknya ‘adidas kalia-mong’ digalas bersama beg sekolah dan hanya dipakai sesampai di kawasan sekolah. ‘Adidas’ ini cukup disayang!.

Bekal ke sekolah hanya jagung rebus dan minuman pula hanya diambil dari air tangki sekolah. Sangat jarang mendapat bekalan duit poket untuk berbelanja di kantin, walau cukup cuma 20 sen!. Paling menggores hati, bilik darjah saya adalah berkongsi dengan 2 lagi kelas lain dari darjah yang berlainan. Paling menyeronokkan adalah apabila diberi bekalan susu bantuan sekolah terutama pada hari isnin ( sebab hari isnin, diberi perisa coklat!, hari lain perisa jagung, strawberry dan susu putih…. ).

Masa remaja, kalau boleh.... saya tak mahu ada cuti sekolah. Bukan sebab mahu sangat belajar!. Tetapi hanya pada masa persekolahanlah saya akan terselamat dari ‘tugasan’ mengisi beg plastik hitam dengan tanah untuk menanam koko. Mengangkat air berbaldi-baldi banyaknya. Mengambil kayu api untuk memasak dan pelbagai tugas lain. Itu tugas sebelah siang. Tugasan waktu malam pula adalah berjaga dihujung kebun jagung ayah, preskripsi tugas ialah menghalau babi hutan dari memakan dan memusnahkan kebun jagung ayah saya! Aduh…….

Banyak lagi nostalgia silam yang tak mampu saya nukilkan pada blog ini. Mungkin…. ada diluar sana beranggapan macam-macam tentang saya selepas membaca catatan ini. Bagi saya tidak sukar dan payah untuk saya mengakui segala kepayahan ini. Mungkin saya pemalas kerja berat, atau beribu lagi kemungkinan lain……. Saya terima sejujurnya!. Tetapi, anda tahu.......segala keperitan dan kepayahan inilah yang 'mendorong' saya mencapai apa yang saya ada hari ini!.

Bezanya....apa ?. Sangat banyak bezanya, kalau dulu kita mudah sangat 'berterima kasih' dengan apa sahaja yang ada. Dulu sungguhpun kita merungut, tetapi kita buat juga..... Dulu kita mudah sangat menolong dan membantu orang...... Dulu hati-hati kita mudah sangat merasa kerdil..... Dulu sungguhpun makanan tidak seenak makan kita hari ini, tetapi....menu itulah yang kita cari-cari hari ini.... Dulu kita tersangatlah positifnya, sehingga apapun kepayahan, kita memacak keyakinan, Allah s.w.t. akan 'membayar' setiap titik peluh yang mengalir dari usaha dan kerja kuat kita..... itu dulu....

Kini....... kini kita mudah sangat memperlekeh kerja orang lain. Kini kita banyak sangat 'complaint', dan langsung bertindak memprotes!. Kini kita terlalu berkira untuk membantu orang lain. Kini kita mudah sangat 'besar kepala' dan mempertonton keegoan!. Kini makan kita macam-macam ada, hingga berlebihan dan buang begitu sahaja. Kini, kita mudah sangat alpa memanjatkan syukur dan terima kasih kita kepadaNya....... apa sudah jadi!.

Catatan ini hanya.....renungan peribadi 'pentaakulan' terhadap makna diri, yang saya nak kongsikan dengan orang lain ( yang sudi...terima kasih ! ). Catatan ini mula dinukilkan pada 11.43 pm, 25 Disember 2008 dan saya rasa cukup! pada jam 1.28 am, 26 Disember 2008!. Dua hari !. Lebih penting yang saya nak lontarkan......menjelang beberapa hari lagi, 1 Muharram 1430 dan 1 Januari 2009........... 2 persoalan yang saya lontarkan kepada diri, dimana saya hari ini dan kemana saya hari esok!. Rasanya masih tidak terlewat untuk kita menghisab diri!.

Tuesday, December 23, 2008

Mengapa saya mesti kerja lebih....jika !

Lantaran susah nak melelapkan mata, semalam saya habiskan masa menonton Liga Perdana Inggeris (EPL) pertemuan antara Arsenal dan Liverpool. Pagi inipun saya susah nak melelapkan mata ( artikel ini mula ditulis jam 1.00 pagi ), lantas saya membidang dada laptop dan mula menunjuk hujung jari ke butang-butang papan kekunci untuk menyusun bait kata-kata guna menukilkan coretan ini. Nak kata ini pentaakulan pada diri dan sekeliling….tak juga. Tetapi dengan cukup luwes saya cuba meloloskan diri untuk membuat catatan sejujurnya tentang satu topik yang berkaitan dengan profesion kita.

Petang kelmarin sempat saya berkunjung ke City Tech Sdn. Bhd. di Warisan Square. Asalnya hanya nak melihat teropong yang saya dimaklumkan, mempunyai potongan harga yang menarik. Sesampai disana, saya cukup teruja kerana disana rupanya adalah syurga peralatan ‘outdoor activities’. Dari sekecil-kecil pisau lipat pelbagai fungsi sehinggalah ke teropong telescope seberat 15 kg.

Secara kebetulan juga, saya baru sahaja membeli sebuah kamera digital Canon Powershot A2000 IS dengan kapasiti 10 megapiksel serta 6X zoom. Mr. Lee ( pemilik kedai ) memaklumkan dengan barian teropong yang ditunjukkannya, saya tak perlu lagi membeli kamera SLR yang berharga ribuan ringgit. Apa lagi saya mintalah di’introduce’ dengan beberapa teropong canggih yang ada disana ( sudah tentulah harga yang paling murah ).

Episod ini bagi saya agak sedikit luar biasa. Lazimnya, para peniaga akan hanya melayan 'customer' yang confirm beli barangan kedainya. Tetapi apa yang menarik, Mr. Lee menerangkan secara detail tentang penggunaan mini telescope, bagaimana menjaga ( care ) dan bagaimana menggunakannya....... dengan bersunggh-sungguh, walaupun dia tahu saya tidak akan membeli!.

"Saya berminat dengan aktiviti 'outdoor'. Tetapi lebih penting lagi adalah 'saya suka melakukan kerja-kerja ini ! demikian Mr. Lee menegaskan.. Orang suka atau tidak... itu suatu persoalan yang tidak perlu terlalu dibimbangi. Hakikatnya, kita sering mengskalakan diri kita dengan orang lain. Sedangkan perbandingan sebegitu sungguhpun tidak salah tetapi tidak juga semestinya betul!.

Pada tahap persoalan inilah selalunya akan terzahir rupa diri seseorang. Seorang yang berkeperibadian tinggi, selalunya tidak tergugat dengan segala macam gejolak dan fiil manusia lainnya. Dia tetap konsisten melangsaikan kerja-kerjanya tanpa 'complaint', tetapi lain pula halnya bagi individu kurang keyakinan diri. Tenaganya seolah-olah disimpan oleh orang lain. Kerjanya banyak bertangguh dan sering banyak 'complaint'. Ungkapan, 'sama juga makan gaji, kenapa saya perlu kerja lebih!' adalah antara bait-bait lazim bagi individu sebegini.

Kepuasan tidak semestinya dipenuhi hanya dengan benda-benda yang mahal dan glamour. Ada kalanya kepuasan dapat dicapai sungguhpun dengan material yang murah dan tak berharga. Bezantara keduanya hanyalah pada persoalan bagaimana kita meneropong diri kita dengan fungsi diri pada alam sekeliling. Teropong yang paling jelas dan canggih adalah 'telescope' yang mampu menghadirkan Allah s.w.t. sebagai natijah kepada setiap tindakan kita.
Sori, dah pukul 2.51 pagi ni... yang baik hanya dariNya, yang khilaf adalah kecetekan kanta teropong saya. Qul huwallahu ahad........

Monday, December 22, 2008

Journey for Change 5!

Tarikh : 21 Disember 2008 ( Ahad )
Lokasi : Taman Puterajaya, Telipok, Kota Kinabalu.
Destinasi : Kota Belud.
Masa Bertolak : 11.30 Pagi.
Masa Tiba : 12.40 Petang.
Check-point : Pekan Tuaran.

Rehat panjang yang sekali-sekala diisi dengan ‘mengukur’ keluasan Mega Shopping Complex, One Borneo, terasa cukup meletihkan. Pusat Membeli-belah One Borneo memang boleh menjadikan diri kita 'tak sedar diri'. Mana taknya.......kata Astro, segala-galanya ada disana!. Sekarang ni pula diskaun harga sempena perayaan krismas...... Suasana yang ada disanapun seolah-olah kita bukan berada di KK. Macam kat Mega mall atau Sogo je suasananya ! Oii...hebat, hebat..... tapi....ia le tu !

Ambil kesempatan untuk melakukan kunjungan terhadap keluarga di Kota Belud. Meninjau-ninjau keadaan yang ada disana. Seingat saya, sudah ada jalan alternatif ke Kota Marudu tanpa perlu melalui pekan Kota Belud!. Selain itu, banyaklah lagi pertumbuhan taman perumahan baru menuju ke KB ini. Lebih dari itu, tak ada apa nampaknya! Tak tau...la.....

Singgah makan sekejap di Taman Tun Said, KB. Nak bagi 'can' ahli rombongan tengok panorama
KB dari tempat tinggi sikit. Yang pasti, .......tempat ni tidak lagi seceria dulu. Lebih kurang pukul 3 petang, kami menyambung perjalanan balik ke KK. Rancangannya nak terus pergi ke Taman Awam Teluk Likas ( dulunya....medan selera Tanjung Lipat... ). Kemudahan rekreasi disini sesuai untuk anak-anak.


















Saturday, December 20, 2008

Lok Kawi Wildlife Park...

Masa senggang hari khamis lalu diisi dengan membawa anak-anak ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi. Anak-anak yang ingin sangat lihat harimau dan gajah dalam 'real'nya. Anis Ilyana dan Anis Sofiah mahu naik gajah!. Rupanya, sesi menunggang gajah itu hanya dibuat pada setiap hujung minggu sahaja. Melepas..... .

Tapi mereka cukup seronok kerana dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai binatang liar yang ada di taman ini. Harimau, gajah, kuda belang, beruang, badak, rusa, kijang dan beberapa spesies pelanduk. Sempat juga bercerita kepada anak-anak tentang pengalaman memburu pelanduk pada masa saya kanak-kanak, suatu ketika dahulu. Daging Sang Kancil ini memang sedap dimasak rebus berserai begitu sahaja..... .

Berliur la juga tengok sang kancil ini seperti jinak sahaja. Langsung tidak menunjukkan reaksi takut kepada manusia yang datang memerhatikan mereka. Mungkin juga kesan dari kebiasaan mereka menerima kunjungan dari para pelawat membuatkan mereka lali dengan semua situasi itu.

Sesi lawatan ke Aviari Burung, cukup menarik. Pelbagai spesies burung terdapat disini. Jenuh rasanya menjadi pemandu pelancong kepada anak-anak yang banyak bertanya nama-nama burung yang ada disana. Spesies Burung Merak dan burung Tiung adalah antara yang menarik!.

Memang benar...... kita perlu sama-sama menjaga kemudahan taman seperti Lok Kawi Wildlife Park ini, kerana generasi hari ini tidak mungkin akan tahu pelbagai fauna dan flora jika kita tidak meninggalkan warisan lengkap seperti ini. Benarlah dunia sudah semakin tua!.




Tuesday, December 16, 2008

PGC & Air Panas Poring !

Semalam ( isnin ) kami menghabiskan masa di 2 lokasi yang cukup menarik untuk membawa keluarga dan anak-anak bercuti, PGC & Air Panas Poring. Philip Garden Chalet ( PGC ), sebenarnya bukan lokasi pilihan untuk penginapan. Tetapi sesampai sahaja di Kundasang ( Journey for Change 4 ), hotel dan resort yang biasa tempat menginap telah penuh. Memang sahlah orang semua bercuti sakan.

Lantas, kamipun cuba menghubungi resort lain. Salah satu papan tanda yang ada ditepi jalan dekat Pasar Sayur Kundasang ialah papan tanda PGC. Masa tu dah menunjukkan dekat pukul 4 petang. Kami bernasib baik masih ada lagi chalet yang kosong. Kamipun mula mencari PGC, yang dimaklumkan bersebelahan Pusat Latihan Dakwah Kundasang. Memang jauh la ni…!. Terdetik dalam hati!.

Sesampai di PGC, rasa cukup puas hati, sungguhpun sewanya bagi saya agak mahal, RM350.00!. Tetapi chaletnya mempunyai 2 bilik tidur, ruang tamu yang luas, dapur yang lengkap dan yang paling menarik adalah pemandangan yang sungguh cantik, pemandangan gunung kinabalu dan sekitarnya yang jelas kelihatan dari sini. Cuma….sejuknya bukan kepalang le…..bagi kita yang tak biasa kesejukkan !.















































Petangnya, kami pergi pula ke Poring Hot Spring!. Kali terakhir saya ke sini lebih kurang 10 tahun lalu. Masa tu ‘honeymoon’ bersama orang rumah. Terkenang kisah la juga….! Poring ini banyak sangat sudah perubahannya. Selain kolam mandi terbuka dan tab mandi ( ada atap sudah…! ), sudah kolam mandi berbayar yang kelihatannya seperti taman tema air. Selain itu, banyak sudah kemudahan disediakan. Tandaspun nampaknya sudah dipertingkatkan kualitinya. Anak-anakpun, apa lagi bila sudah nampak kolam…….!. Tapi perlu diingat, tempat parking keretapun tidak cukup, apa lagi kolam didalam. Kami menunggu lebih kurang 30 minit untuk dapat tab mandi tu!

Selain itu, sudah ada Taman Rama-rama ( Butterfly Farm ) dan Titian Kanopi ( Canopy Walk ). Saya terasa nak juga menghirup udara segar dihutan ( sudah agak lama tak merasai suasana itu…. ). Titian Kanopi, itu yang paling mencabar..! Jumpa lagi dalam updated yang seterusnya !














Sunday, December 14, 2008

Siri Journey for Change 4!

Tarikh : 14 Disember 2008 ( Ahad )
Lokasi : SM. Teknik Lahad Datu
Destinasi : Philip Garden Resort, Kundasang
Masa Bertolak : 10.00 Pagi
Masa Tiba : 03.22 Petang
Check-point : Hutan Simpan Pinangah, Telupid.

Semalam ( sabtu ) sengaja digunakan untuk berehat, selain untuk diri dan 'ahli rombongan', juga untuk kereta saya, Vios ( mestilah disayang juga.... ). Hari ini perjalanan pula sengaja dimulakan lewat dan santai. Perjalanan kami hanya dalam 90 km/j, malam tadi orang rumah sibuk menyiapkan masakan untuk santapan dalam perjalanan nanti. Rancangannya tak payahlah singgah dimana-mana untuk makan.

Perjalanan seperti biasa juga, tiada apa-apa yang menarik. Tetapi suatu yang pasti, jalan raya yang kami lalui semakin elok nampaknya. Tidak seperti biasa, lopak sana lopak sini. Terkenang kisah la juga.... pengalaman sebelum ini yang selalu 'travel' dengan jalan darat, banyak betul lokasi jalan yang rosak.

Perubahan !. Memang banyak perubahan. Pekan Kota Kinabatangan kini sudah mempunyai masjid daerahnya sendiri. Indah tersergam di atas bukit bersebelahan Hospital Kinabatangan. Saya akan ulas dalam updated mesej saya yang akan datang. Banyak sangat idea sehinggakan tak tahu mana satu yang nak dimasukkan......

Kami berhenti makan ditepi jalan dikawasan Hutan Simpan Pinangah, Telupid. Anak-anak memang seronok sungguh makan dalam keadaan begini. Hinggakan makan berhamparkan newspaper pun dipanggil restoran juga ( he...he.... ). Selepas itu,terus menyambung perjalanan ke Kundasang dan mencari dimana lokasi Philip Garden Resort ( PGR ). Saya akan masukan 'entry' khas untuk PGR ini dalam updated akan datang. I just can say, PGR is a nice place for family holiday!.

Updated inipun dah 3 kali cuba di'published' dalam blog dari malam tadi lagi, tetapi ini sahaja masalah nampaknya. Gambar-gambar saya akan masukkan kemudian. Line tak berapa baik!.

















Mengajar Secara Berkesan !

Menjelang lebih kurang 3 minggu lagi sebelum buka sekolah, untuk sesiapa sahaja rakan seprofesion, saya menganjurkan miliki dan bacalah buku 'Mengajar Secara Efektif' yang diterjemahkan dari teks asal bertajuk 'Successful Teaching'.

Buku ini membicarakan dengan padat aspek kemahiran asas pengajaran dan panduan mengenai keperluan sumber yang terhad. Secara ringkas tetapi padat, penulis juga membicarakan bagaimana menjelmakan motivasi untuk pelajar, perancangan mata pelajaran, organisasi dan pengurusan bilik darjah, penggunaan bahan pengajaran, penglibatan pelajar, kerja rumah dan persediaan untuk peperiksaan.
Secara ringkas, buku kecil ini memberikan segaran kepada sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam profesion ini. Perbincangan secara ringan dan bersahaja, tetapi mencukupi untuk memahami mesej yang cuba disampaikan. Buku karya asal Bryan Coombs ini diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia ( ITNM ), sesuai dibaca oleh para guru dan bakal guru untuk meningkatkan kemahiran mengajar di dalam bilik darjah.

Buku ini boleh dibeli secara on-line di http://www.e-kedai.net pada harga RM 25.00 sahaja, atau menempah terus dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia di http://www.itnm.com.my. Selamat membaca dan membuat segaran sebagai persediaan mengajar anak bangsa untuk sesi 2009 !.

Saturday, December 13, 2008

Siri Journey for Change 3!

Tarikh : 12 Disember 2008 ( Jumaat )
Lokasi : Sahabat Beach Resort, Bandar Sahabat 16.
Destinasi : SM. Teknik Lahad Datu
Masa Bertolak : 11.00 Pagi
Masa Tiba : 05.45 Petang
Check-point : Bandar Anjung Teduh.

Semalaman saya melayari internet menjelajah banyak laman web yang menarik. Favourite Folder saya penuh berselerak dengan bookmark website yang entah boleh dibuka lagi atau tidak. Antaranya yang menarik perhatian saya adalah laman Free e-book. Saya bookmark 4 – 5 laman berkaitan e-book ini. Hasrat hati nak login as a member!.

Pagi ini, anak-anak memulakan aktiviti dengan pergi ke taman permainan kanak-kanak. Sarapan pagi ringkas hanya diambil dibilik sahaja. Terasa malas nak bergerak ke café resort. Saya sendiri mengambil kesempatan berendam dalam kolam seawal jam 8.45 pagi lagi. Siraman cahaya mentari pagi ‘cukup’ sesuai untuk saya berendam. Jam 10.15 pagi barulah saya meninggalkan kolam untuk persiapan balik. Rancangan asalnya nak ‘stay here’ sehari lagi, tapi ‘ahli-ahli rombongan’ saya mahu ke destinasi lain pula!.

Perjalanan balik kami singgah di Bandar Anjung Teduh. Ziarah sanak saudara disini. Anak-anak sangat gembira bertemu dengan sepupu mereka. Selesai sembahyang Jumaat dan makan tengahari disini, ambil kesempatan terlelap sedikit ( semalam tak tidur….. ) dan memulakan perjalanan balik ke destinasi pada jam 3.55 petang. Sepanjang perjalanan, adalah juga ambil gambar disamping menikmati suasana perjalanan. Sempat singgah sekejap membeli ikan segar digerai tepi jalan dekat Tungku sambil menikmati pemandangan laut lepas dan Pulau Bohey Dulang yang berbalam-balam dari jalan utama ke Lahad Datu ini.

Sambil menunggu ikan disiang, penjual ikan sempat jua bercerita tentang ‘business’ jual ikan mereka yang kadang-kadang membawa mereka sehingga ke Tambisan untuk menangkap ikan. Perjalanan diteruskan, singgah di Bandar sekejap sebelum sampai ke destinasi tepat pada jam 5.45 petang. Penat dan nak berehat sungguh!. Mesej dari Journey for Change 1 – 3 ini saya masukkan kemudian!.

Thursday, December 11, 2008

Siri Journey for Change 2!

Tarikh : 11 Disember 2008 ( Khamis )
Lokasi : SM. Teknik Lahad Datu
Destinasi : Sahabat Beach Resort, Bandar Sahabat 16
Masa Bertolak : 10.00 Pagi
Masa Tiba : 12.30 Tengahari
Check-point : Pantai Bandar Sahabat 16.

Sama seperti perjalanan semalam, perjalanan hari ini diiringi hujan yang kadang kala lebat atau renyai-renyai silih berganti sehingga tiba ke destinasi. Sebelum meneruskan perjalanan singgah sebentar di Guardian, Lahad Datu membeli sedikit barang keperluan untuk perjalanan hari ini. Rasanya kali terakhir berkunjung ke Bandar Sahabat 16 ini lebih kurang 4 – 5 tahun yang lalu. Memang saya menjangkakan terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh itu. Pola perubahan yang dapat dilihat tentunya hanya pada perubahan fizikal. Azam saya untuk melihat agaknya, apa-apa perubahan yang lain dari yang lain dan memberi impak yang bukan sedikit mungkin!.

Perjalanan melewati Bandar Lahad Datu, kelihatannya tiada apa-apa perubahan yang ‘fantastik’, melainkan perkembangan pesat Bandar Seri Perdana. Perjalanan sedikit perlahan tetapi lancar akhirnya melewati kawasan Tungku yang memang banyak yang sudah berubah !. Sambil memandu saya menganjurkan kepada 'ahli-ahli rombongan' untuk melihat-lihat kawasan sekitar tetapi mereka mencadangkan pula perjalanan balik nanti barulah 'menjelajah'.
Simpang terakhir ke Bandar Sahabat 16, hampir juga tersesat. Sesampai sahaja terus check-in di Sahabat Beach Resort. Sejurus kemudian bergegas terus ke pantai. Terasa lapar, makan sedikit sebagai alas perut sebelum memulakan proses bakar sayap ayam dan daging lembu ( habis semua proses diet yang diamalkan sebelum ini...he he.. ). Seronok juga melihat anak-anak mandi laut sambil 'mengipas' ayam bakar. Sekitar jam 3.45 petang pergi pula ke bilik dan membawa anak-anak mandi kolam pula. Apa lagi...... 'mereka' bagai lupa diri bila mendapat peluang sebegini. Sejurus itu, berkemas ke bilik dan saya terus membuat catatan ini. Rasanya, malam nanti saya akan membuat coretan mesej Journey for Change...sehingga setakat inilah....... !






Siri Journey for Change !

Tarikh : 10 Disember 2008 ( Rabu )
Lokasi : Seri Ilham
Destinasi : SM. Teknik Lahad Datu.
Masa Bertolak : 3.15 pm
Masa Tiba : 6.30 pm
Check-point : Gerai Buah Simpang Lembah Danum, Silam.

Sepanjang perjalanan yang santai dengan iringan hujan renyai-renyai, saya sengaja memilih perjalanan membawa anak-anak bercuti ini dengan niat untuk mencatatkannya. Tak ada apalah…..sekadar catatan. Tetapi saya merasakan rugi jika saya tidak merencanakan perjalanan ini.

Sudah agak lama saya tidak membuat perjalanan jauh bersama keluarga. Menjadi kebiasaan keluarga saya sebenarnya setiap kali mempunyai masa senggang sebegini, kami akan berbincang. Apatah lagi sudah agak lama kami tidak mengunjungi rumah keluarga saya di Puterajaya. Saya menjangkakan banyak sudah perubahan yang berlaku.

Dalam perjalanan, saya sempat singgah di Gerai Buah Simpang Lembah Danum, Silam. Sempat jugalah bersembang dengan penjual buah, Saudara Anthony. Cerita punya cerita, rupanya dia masih lagi belajar di SMK. Sepagaya, Lahad Datu. Terfikir juga ketabahannya, yang tinggal diperkampungan menuju ke Lembah Danum, tetapi bersekolah jauh di bandar. Tetapi yang paling mahal adalah pengalamannya melalui semua kesukaran ini, dia masih ceria mengisi masa cutinya dengan penuh berharga dan bermanfaat !. Sekurang-kurangnya kita tahu menghargai setiap kesempatan dalam kehidupan kita !




Tuesday, December 9, 2008

Novel Tuhan Manusia !

Saya sedang menekuni karya kreatif Saudara Faisal Tehrani. Karya Nan Indah dan Novel Tuhan Manusia. Saya hanya dapat nyatakan bahawa tulisan-tulisan Faisal Tehrani lewat novel-novelnya bukan merupakan penceritaan karya kreatif semata-mata.
Dalam buku Karya Nan Indah, Faisal Tehrani menjelaskan penulisan baginya adalah juga pentaakulan terhadap peristiwa benar yang terjadi di sekeliling. Fenomena yang melingkari kehidupan sendiri adalah merupakan sumber idea dan bahan penulisan yang cukup luas ‘saujana mata memandang’ untuk dinukilkan.

Novel Tuhan Manusia contohnya, mengkisahkan bagaimana seorang anak muda bernama Ali Taqi berhadapan dengan fenomena pertembungan fikrah dunia barat dan dunia Islam. Bersumberkan satu peristiwa yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu ( yang turut menjadi kebimbangan masyarakat hari ini ), Faisal Tehrani mengolah watak Ali Taqi menelusuri plot novel ini dengan catan watak yang cukup realistik.
Tetapi apa yang membezakan penulisan Faisal Tehrani daripada karya kreatif yang lain adalah penjelasan fakta sebenar yang diselitkan selari dengan perjalanan watak dalam novel ini.

“Masyarakat secara fitrah adalah pengikut kebenaran. Tetapi akan ada yang setia kepada kebatilan bukan kerana kebatilan itu kebenaran. Tetapi lebih kerana antara jambak kebatilan itu engkau cuba selitkan bunga kebenaran. Dan ini namanya fitnah !”. Dialog yang diucapkan Pak Mat, ayah Ali Taqi kepada Aris, watak peguam dalam novel ini ( m.s. 240 )

Jadinya, kita bukan sahaja membaca novel karya kreatif semata-mata, tetapi kita juga dihidangkan dengan penjelasan fakta yang sahih siap bersandar dalil dan penerangan yang komprehensif. Secara peribadi saya menjadikan novel beliau ini untuk bacaan ringan, tetapi nampaknya saya mendapat bonus yang berganda daripada pembacaan novel ini. Novel setebal 345 mukasurat ini boleh dibeli secara on-line di http://www.ujanailmu.com.my/ pada harga RM21.90. Selamat Menjamah Santapan Minda !

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil-Adha !
















Sederhana ada batasnya.
Jika berlebihan....... maka ia adalah kebakhilan.
Keberanian juga ada ukurannya.
Jika melebihi batas........namanya sembarangan !
Bersama menilai darjah pengorbanan.

Selamat Hari Raya Korban!

Friday, December 5, 2008

Pembelajaran Aktif!

Saya baru sahaja menamatkan pembacaan buku Pembelajaran Aktif : 101 Startegi Untuk Mengajar Apa Jua Subjek. Buku tulisan Prof. Dr. Mel Silberman ini telah diterjemahkan oleh Zainab Ahmad dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia ( ITNM ).

Teman-teman yang berminat mendalami profesionalisme keguruan, khususnya yang berada digarisan hadapan ( pengajaran di bilik-bilik darjah ), rasanya perlu dan sangat berbaloi memiliki buku yang sangat informatif ini. Penulis dengan gaya yang santai membicarakan segala langkah tentang teknik pembelajaran aktif. Buku setebal 295 halaman ini memuatkan 101 strategi pengajaran dan pembelajaran aktif, dan setiap satunya diberikan penerangan yang jelas langkah demi langkah. Lebih menarik lagi, penulis menganjurkan idea dan strategi inovatif pembelajaran aktif ini untuk disesuaikan dengan apa sahaja subjek yang ingin diajarkan.

Secara spesifik, buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian utama iaitu, Memperkenalkan Pembelajaran Aktif, Bagaimana Membuat Pelajar Aktif dari mula lagi, Bagaimana membantu pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap secara aktif dan bahagian akhir, bagaimana menjadikan pembelajaran suatu yang tidak dapat dilupakan.

Buku ini boleh dibeli secara on-line di laman sesawang http://www.e-kedai.net/ pada harga RM40.00. Mungkin agak mahal, tetapi rasanya cukup berbaloi dengan segaran idea yang dilontarkan buku kecil ini. Selamat Membaca!

Wednesday, December 3, 2008

Monday, December 1, 2008

Suatu Masa Dahulu....!

Pada 27 Nov. 2008 yang baru lalu, jam 10.09 pagi, saya terima SMS dari pada sahabat lama, Sdr. Roli Aliman. Ringkas dan cukup mengujakan!. “Akum, tuan c Benson tanya saya dan minta u buat program d Semporna untuk kumpul semua member tingkatan 6 90/91, tq”.

Menjelang bulan disember ini, episod 2008 hampir berakhir. Saya sebenarnya sedang menyiapkan satu artikel tentang diri yang hendak dimuatkan dalam blog, buat renungan diri sendiri. Cadangan teman-teman untuk nak buat program pertemuan dengan geng lama ini dah lama terlintas difikiran. Apatah lagi saya sendiri masih berhubungan dengan guru idola, Cikgu Suhaimi. Memang teringin hendak tahu apa dah jadi dengan kawan-kawan lama.

Lantas, sms saudara Roli ibarat ‘bola tanggung’, saya bingkas menghubungi beliau untuk sedikit perbincangan lanjut. Hasilnya kami sepakat menggunakan apa sahaja media yang ada untuk menghubungi teman-teman. Klasik sungguh bunyinya!. Cadangannya adalah seperti pada gambar yang disertakan ( klik aje jika tak berapa jelas ! ). Kepada teman-teman, saya menanti respon dari kalian! Waa....Chaaa !

Monday, November 24, 2008

Mencipta Kejayaan Kecil !

Malam ini saya merasa cukup segar. Sungguhpun baru masuk 'gym' pada jam 8.00 malam, tanpa berlengah saya terus masuk ‘sauna’. Sambil membaca buku, 42 minit kemudian saya keluar dengan badan basah kuyup. Terasa badan cukup ringan. Entah ‘angin’ apa yang menimpa saya, rasanya saya seperti mula seronok dengan aktiviti baru ini. Bersenam di gymnasium Seafest Hotel ini nampaknya ‘layak’ untuk masuk dalam carta senarai aktiviti harian saya. Insya-Allah, misinya untuk memulih dan mengekalkan kesihatan!.

Jam 11.33 malam saya mula menghadap Acer Aspire saya yang setia ini. Hajat hati ingin mencoretkan sesuatu bagi memenuhi momentum kesegaran saya malam ini. Dalam mencari arah, saya terfikir untuk membicarakan ‘Mencipta Kejayaan Kecil’.

Sudah 17 tahun saya bertugas di sekolah saya sekarang ini. Teman-teman sekelas masa sekolah dahulu, malah rakan setugas saya di sekolah sering mengajukan soalan, ‘tak bosan ke mengajar disini ?, dah lebih 10 tahun’, ‘bila nak pindah sekolah?’, ‘tinggal kau saja disini, orang lain semua dah pindah’ ( Soalan-soalan bernada negatif! ). Atau pertanyaan yang lebih lunak dan positif, ‘Macam mana kau boleh bertahan mengajar disini’, ‘Ada petua ka menjadi orang veteran?’ dan bermacam lagi.

Saya tidak menafikan pernah juga terlintas untuk memohon perpindahan sekolah. Tetapi setiap kali saya berhajat untuk mengisi borang, setiap kali itu juga terbit rasa ‘sayang’ dengan situasi yang saya ada sekarang. Mungkin benar sindrom ‘comfort zone’ itu merbahaya kepada perkembangan diri dan kerjaya. Tetapi saya merasakan ada kekecualiannya, bila mana kita menjadikan diri kita sebagai individu yang sentiasa relevan dengan persekitaran.

Berbalik kepada soalan-soalan lazim daripada teman-teman, setiap kali berbicara tentang tempat bekerjaya. Saya mengambil perspektif positif dalam menanggapinya. Tanpa perlu untuk saya mempamerkan reaksi kepada persoalan teman-teman, saya memacakkan keyakinan bahawa dimana pun kita bekerja, jika kita bekerja dengan rasa cukup gembira, seronok dan menjadikan diri sentiasa relevan dengan persekitaran, seharusnya tidak timbul persoalan ‘berpindah sekolah’.

Bukan niat untuk mengajar sesiapa, jauh sekali untuk bermegah diri. Tetapi secara jujur, saya merasakan masih seronok bekerja di sekolah saya sekarang. Bagaimana?. Saya hanya berani menyatakan sejujurnya, kita mesti mendorong diri kita, agar sentiasa padan dengan persekitaran dan keperluan kerjaya kita. Tanpa terlalu kisah sangat dengan saiz sumbangan kita kepada organisasi, kita mesti meletakkan ‘keseronokkan bekerja’ sebagai prioriti diri kita.

Sebab itu, bila diamanahkan menjadi setiausaha peperiksaan dalaman sekolah, sedapat upaya saya yang mungkin, saya cuba menginovasikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan dalaman sekolah disamping tugas utama saya sebagai guru mata pelajaran. Saya cuba untuk seronok memikul tugas ini kerana saya amat pasti keseronokan itulah yang mencetuskan inovasi dan kreativiti. Hasilnya, beberapa borang pengurusan peperiksaan diperkenalkan untuk memudahkan kerja-kerja guru kelas, guru pengubal soalan, guru pemeriksa soalan, penyelaras tingkatan dan setiausaha peperiksaan sendiri.

Inovasi ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja saya menyediakan analisis peperiksaan yang komprehensif untuk rujukan dan perancangan sekolah keseluruhannya, tetapi yang lebih menyeronokkan adalah apabila kerja-kerja kita itu mampu meringankan kerja-kerja rakan guru yang lain. Bukan niat hati ‘masuk bakul, angkat sendiri’ tetapi komen dan penghargaan daripada teman-teman sekerja!.

Perlu saya tegaskan, sungguhpun inovasi ini tidak pernah mendapat pujian dari ‘big bos’ ( mungkin ada… cuma saya tak dengar agaknya! ), sedikitpun saya tidak rasa terkilan!. Prinsipnya jelas, bagi saya ‘keseronokkan’ bekerja itu tidak patut diletakkan indikatornya kepada orang lain. Bahasa mudahnya, janganlah kita merasa ‘seronok’ itu kerana kita dipuji, atau ‘dikenali’ oleh big bos. Biarlah kita ‘seronok’ kerana kita telah menghasilkan satu kerja yang menyenangkan dan memudahkan orang lain dan diri kita juga.

Natijah juga jelas. Jika kita mengharapkan pujian big bos atau sesiapa sahaja, kita sebenarnya sedang menyediakan ruang untuk kita ‘kecewa’ dan ‘malas bekerja’ terutamanya apabila harapan kita itu tidak menjadi kenyataan!. Sebaliknya, jika kita melakukan kerja itu dengan rasa ‘seronok’ kerana kita ingin melakukannya untuk kepuasan sendiri, kita bukan sahaja menyediakan ‘ruang yang luas dan selesa’ untuk kita bereksperimen dengan kerja kita, malah yang lebih hebat lagi, kita akan sentiasa ‘bertenaga’ melakukan kerja-kerja kita.

Inilah yang saya maksudkan ‘mencipta kejayaan kecil’. Mungkin pada orang lain, kerja saya itu tidaklah seberapa. Tetapi bagi diri saya, saya tetap menghargai ‘sumbangan’ itu. Kejayaan kecil itulah yang sentiasa ‘mendorong’ saya untuk terus ‘seronok’ bekerja. Saya percaya banyak lagi ruang dan peluang inovasi dalam diri kita yang belum diteroka sepenuhnya. Jika ‘seronok’, kejayaan kecil itu akan membenihkan peluang baru untuk kita depani. Akhirnya…episod baru pula muncul, dan rasa teruja kita berkesinambungan……. Ingatlah bahawa rasa ‘seronok’ itu tidak akan terlepas daripada perhitungan pahala daripada Allah s.w.t. . Ayoh !

Thursday, November 20, 2008

Gembira Sepanjang Usia !

Minggu lalu, saya sempat bertemu dengan seseorang yang banyak mempengaruhi gaya berfikir saya. Bagi saya beliau adalah sifu, yang sabar menghadapi ‘kelembapan’ saya. Beliau juga adalah ayah, yang banyak memberi nasihat dan membina gaya berfikir. Biarlah hanya saya yang tahu…..!

Kelaziman setiap kali berkesempatan bertemu dengan beliau, pasti ada ole-ole yang ditinggalkan berupa nasihat dan pandangan atau perspektif terhadap sesuatu. Kali inipun kelaziman itu berulang lagi. Tetapi penegasan beliau bertumpu kepada persoalan ‘dendam’.

Tidak kiralah atas alasan apa sekalipun, perbuatan dendam ini mesti dihapuskan dari kamus kehidupan kita. Memang tepat mengambarkan ‘dendam’ umpama kita sendiri meminum racun tetapi mengharapkan dengan kita meminum racun itu, orang yang kita dendam itu akan mati. Anda fikirlah sendiri bagaimana mungkin, lain yang minum racun, lain pula yang mati oleh racun itu.

Amat pasti bahawa berdendam hanya akan menjadikan kita seperti mengusung tong sampah yang penuh dengan sampah sarap ke mana sahaja kita pergi. Mana tidaknya, rasa dendam yang kita pendam itu akan sentiasa tersimpan dalam benak pemikiran kita sama ada orang yang kita dendam itu berada dihadapan kita atau tiada. Rasa dendam kesumat itu akan sentiasa bermain difikiran dan mengakibatkan kita asyik terfikirkan bagaimana hendak ‘mengenakan’ dia.

Akibatnya, produktiviti kita mungkin akan terganggu. Sebab itulah, seseorang yang ingin maju kehadapan dalam hidupnya mesti mengambil jalan dan pandangan positif. Sudah tentu memilih antara berdendam atau berlapang dada bukanlah tindakan yang mudah untuk dilakukan. Tetapi jika kita memilih untuk berlapang dada, sebenarnya kita membuat pilihan positif dan bijak!. Kita bukan sahaja membebaskan bebanan fikiran kita dari perkara yang tiada faedahnya, tetapi yang lebih penting lagi, kita menjadikan dunia ini seronok untuk kita diami.

Sangat jarang kita temui individu yang sentiasa gembira sungguhpun ia berhadapan dengan pelbagai masalah. Orang positif selalunya cenderung melihat masalah yang dihadapinya sebagai cabaran-cabaran yang hanya akan mendewasakan dirinya untuk berjaya. Perlu ditegaskan, hari ini dan hari-hari yang telah berlalu hanya tinggal sebagai sejarah kehidupan kita. Sama ada sejarah itu penuh dengan kegembiraan atau kedukaan, kita tidak boleh lagi mengubah apa-apa. Tetapi percayalah bahawa hari esok tetap menjanjikan kebahagiaan jika kita mempermudah tafsiran kepada perkara-perkara negatif. Walau besar mana sekalipun saiz cabaran atau halangan yang merempuh kehidupan kita, janganlah sehingga menjadikan halangan itu sebagai perkara yang mengganggu dan mengusutkan pemikiran kita.

Biarlah kita menjadikan hari-hari yang kita lalui ini sentiasa dilatari oleh suasana gembira dan ceria. Esok dan hari-hari mendatang adalah tidak pasti untuk kita, tetapi tidaklah keterlaluan jika kita sentiasa ‘menjangkakan’ yang baik untuk kita. Yang paling hebat, jikapun kita mengalami apa-apa ‘musibah atau masalah’, biarlah kita tenang dan redha – cuba untuk senyum dan gembira walau cukup berat memikulnya. Jangan biarkan hari-hari berlalu tanpa senyuman mekar dan kuntuman kegembiraan!