Perjalanan pagi ini saya terserempak dengan seorang ibu yang sedang mengerah kudrat empat kerat mengangkat beberapa sisir buah pisang yang telah siap diikat, diangkat menggunakan kereta sorong, menyusuri denai untuk diletakkan di tepi jalan raya. Telahan saya kemungkinan ibu yang tabah ini sedang membuat persiapan unuk membawa hasil jualannya ke pasar tani. Saya sedikit terusik dengan pemandangan pagi ini melihat peristiwa yang saya sendiri pernah lalui.
Terkenang kisah semasa zaman kanak-kanak saya, seawal pagi,......ibu selalunya akan membuat persiapan mengumpulkan bahan-bahan jualannya termasuk hasil-hasil pertanian seperti buah pisang, nenas, betik malah daun pisang dan serai. Ibu akan mengumpulkannya di satu tempat. Tugasan saya adalah mengangkat semua hasil jualan itu ke tempat yang telah ibu tetapkan. Ibupun mulalah mencongak harga dan berapa hasil daripada jualan itu setelah menolak kos pengangkutan dan sebagainya. Pada sebelah petangnya pula, ibu akan menghubungi kenderaan yang boleh membawa hasil jualan ibu ke pasar tani. Van-van dikampung adalah yang paling popular dikalangan para penjual hasil tani seperti ibu saya.
Keesokannya, seawal jam 3.00 pagi, saya akan bangun menolong ibu mengangkut hasil jualan ibu ke tepi jalan raya dan mengisi semua jualan ibu ke dalam perut van yang telah sedia ternganga bonetnya. Di kegelapan malam itu, ibu akan lenyap bersama deruan enjin van membelah kesunyian suasana kampung, dan saya kembali ke rumah menanti kepulangan ibu membawa hasil jualannya. Harapan yang masih tidak pasti, mungkinkah jualan ibu habis terjual atau tidak. Atau lebih malang lagi jika terpaksa melelongnya sahaja dipasar daripada membawanya balik ke kampung.
Kegembiraan yang bukan kepalang apabila ibu pulang dari pekan dengan 'kompek' ( beg plastik ) penuh di tangan. Saya amat pasti salah satu darinya adalah nasi kuning berbungkus daun pisang. Itu sajalah bahagian saya secara peribadi.....hasil saya menolong ibu menyediakan jualannya hari itu, hasil yang lain akan dikongsi bersama adik-beradik saya yang lain. Sungguhpun begitu, kami tetap merasa bahagia !
Terdetik di hati saya, ibu yang saya perhatikan di jalan raya itu......... bagaimana saya hendak menolongnya. Saya hanya berdoa, moga-moga ibu ini mempunyai anak yang sedang bersekolah, walau bukan di sekolah saya. Saya memasang azam untuk menceritakan kisah ini kepada anak murid saya, dan kepada sesiapa sahaja agar mungkin kisah ini boleh mencetuskan semangat untuk kita bangkit dan berusaha mencipta kejayaaan!. Khamis ini saya, dijemput ke SK. Bugaya untuk membuat sedikit 'pengisian' kepada anak-anak UPSR, yang mungkin salah seorangnya anak ibu yang saya perhatikan pagi tadi. I'll never give up......!.
No comments:
Post a Comment