Friday, July 17, 2009

Ciptalah Peluang !

Pernahkah kita terfikir tentang medan makna 'mencipta peluang'. Fikiran umum kalangan kita mendukung fahaman yang sempit dan terbatas tentang 'mencipta peluang'.
Situasi 'mencipta peluang' terbatas pada pemain bola yang mengelecek dan mengawal bola semahu mungkin, bagi memberinya peluang 'menjaringkan gol'. Bersusah-payahnya peluang dicipta kerana matlamat akhirnya adalah menjaringkan gol dan memenangi pelawanan itu.......tentunya sebagai juara!


Demikian halnya pada seorang kontraktor, berusaha untuk 'mencipta peluang' dengan mengadakan hubungan dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam perniagaannya secara langsung. Hubungan yang diwujudkan, dibahas dan disediakan adalah untuk matlamat akhirnya....mendapat habuan 'kontrak'. Saya berani menyatakan demikian kerana 'mencipta peluang' dalam tafsiran kebanyakkan kita adalah dengan 'melihat orang lain' sebagai elemen yang membutirkan peluang-peluang itu. Akhirnya.......hubungan itu dicabar oleh beberapa situasi sukar, yang memungkinkan pelbagai amalan tidak sihat dalam konteks berorganisasi.


Saya tidak menafikan 100% akan hakikat ini. Tetapi dari sudut dan perspektif alternatif, rasanya tafsiran kita tentang 'mencipta peluang' harus lebih luas dan melangkaui batasan kefahaman seperti yang saya nyatakan diatas. Apa dan Mengapa?. Pada hemat saya, 'mencipta peluang' harus diletakkan pada daerah pengaruh diri kita sendiri.


Meningkatkan kompetensi diri adalah sebaik-baik 'mencipta peluang' yang boleh kita lakukan!. Mana tidaknya, dengan berlakunya penambahbaikan kepada amalan, sikap dan sahsiah diri, sudah tentu akan turut mengundang 'peluang' yang bukan sedikit. Saya amat yakin akan hal ini!. Belajar adalah antara usaha 'mencipta peluang' yang paling baik. Belajar akan menjadikan kita tahu apa yang tidak kita ketahui.........dan dengan kita mengetahui itu, bukankah akan membenihkan peluang untuk diri kita!. Iya...ka......lu fikir la dulu!

No comments: