Monday, July 27, 2009

Beri dulu...baaa

Ketika menulis artikel ini, saya sedang menanti flight ke Tawau. Ambil kesempatan membuat sedikit catatan aktiviti saya pada hasri semalam. Sekadar mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya, Cikgu Ramesh, Cikgu Simon, Jennifer, Cikgu Jet, Cikgu Is, Cikgu Syah, Cikgu Yus, Cikgu Suria, Cikgu Armah, Asmi dan Richard. Terima kasih kerana kesudian berkongsi pengalaman dan cerita hidup masing-masing, walau dalam kepayahan lantaran keletihan menjalani program. Syabas dan tahniah juga kerana berjaya menamatkan kursus kali ini dengan jayanya.



Keghairahan kita mempersiapkan diri untuk menghadapi kehidupan terkadang menyebabkan kita sedikit alpa dan lupa kepada beberapa perkara lain...yang juga penting. Sedar atau tidak....seringkali kita mengambil tindakan membohongi diri. Kita sanggup untuk menafikan realiti kehidupan kita hanya kerana sesuatu yang lain. Saya tidak berniat untuk membuat huraian lebih lanjut tentang perkara ini pada masa ini.



Tetapi dengan penuh yakin, saya menganjurkan kepada kita semua untuk sentiasa memperbanyakkan sumbangan kita kepada orang lain, tanpa terlalu menghitung apa yang orang lain buat kepada kita. Stop dulu.....aku dah nak 'boarding'.......

Mimpian Jadi..lagi
















Saturday, July 25, 2009

Mimpian Jadi…..Perubahan !

Benarlah kata pepatah Melayu, sekali air bah, sekali pantai berubah. Perjalanan dari Airport Terminal 2 terus ke Restoran Pak Din di Sinsuran untuk melunaskan kerinduan kepada tempat yang selalu dikunjungi ketika berada di Kota Kinabalu ini. Kemudiannya, meneruskan perjalanan ke Mimpian Jadi Resort, Tuaran. Sungguhpun sedikit keletihan, tetapi gejolak rasa ‘terkinja-kinja’ menjejaki tempat yang pernah selalu dikunjungi suatu masa dahulu ‘menghilangkan’ seperti rasa keletihan itu.

Sesampai sahaja di Mimpian Jadi Resort…..saya seakan disapa ‘angin kelesuan’. Seolah-olah isyarat awal yang memaklumkan perubahan yang sudah banyak berlaku di Resort ini. Saya tidak mahu membuat telahan yang terlalu awal, lantaran jarum jam dan minit yang hampir selari menuding angka 12 sesampainya saya di Mimpian Jadi Resort. Bersalaman dengan sahabat-sahabat lama, saya terus ‘memanjakan diri’ dengan melabuhkan badan di atas sofa di ruang lobi resort. Terasa betul nikmatnya berehat!

Selepas minum malam, saya menghadiri sedikit taklimat urusetia berkaitan demografi peserta dan ‘mengatur’ bilik tidur. Saya dan sahabat ditempatkan di Chalet 119. Sah…..sememangnya banyak yang berubah!. Saya bukanlah sangat hendak memperkatakan perubahan yang berlaku itu. Apatah lagi jika perubahan itu lebih kepada perubahan fizikal…….memang sudah begitu fitrahnya. Lantas, alam fikir saya ligat ‘memproses’ suatu ketetapan bahawa ‘perubahan adalah satu putaran yang tidak dapat diberhentikan’.

Tiba-tiba saya teringat, Dr. HM. Tuah dalam kolum Catatan Pengembara, Majalah Siswa ( entah tahun bila…..lupa sudah ), yang menceritakan Suku Kaum Amish, yang masih mengekalkan tradisi warisan nenek moyang mereka…..termasuk tidak mahu menggunakan peralatan elektrik moden. Sekali lagi saya menegaskan, keperluan kepada kehidupan kita yang sememangnya sentiasa berubah!. Hatta….umur kita sekalipun tetapi akan berubah, kedatipun kita tidak mahu melakukan apa-apa perubahan.


Tegasnya, kalaupun kita tidak bersedia untuk berubah, jangan lupa dan alpa, kerana mungkin perubahan itu sendiri yang akan memaksa kita melakukan perubahan. Jika ini benar, rasanya lebih bijak untuk kita bersedia menanggapi iklim perubahan daripada menopang dagu ‘menanti’ perubahan!. We make the road, others will journey!. Betulkaaa……………..

Friday, July 24, 2009

Journey.....

Baru sebentar tadi 'landing' di Terminal 2, Airport Kota Kinabalu. Menaiki flight AirAsia AK6127, saya mengambil kesempatan sekejap untuk lena dan rehat. Rencananya.....agar menghadiri program di Mimpian Jadi Resort nanti dengan tenaga 'full charge'. Perjalanan dari Semporna ke Airport menaiki RAV4 teman, Saudara Ikram, dan kami bersembang banyak tentang hobi 'photografi'. Banyak juga pengetahuan baru yang saya perolehi dari teman yang telah lama 'bermain' dengan hobi ini. Lebih istimewa bila sahabat ini meminjamkan saya CD Photografi..... mengandungi banyak panduan katanya. Ok.......sambung nanti! Tak tahu lagi siapa yang jemput kami di Airport ni.......

Pecutan Akhir.....

Pagi tadi.....sekali lagi saya berkesempatan berkongsi pengalaman dengan kumpulan pelajar-pelajar PMR dan SPM di SMK. Kabogan 2, Semporna. Sama seperti perjumpaan dengan para pelajar tahun 6 UPSR di SK. Bugaya kelmarin, saya mengambil kesempatan ini untuk membuat beberapa penegasan kepada beberapa perkara.

Kuasa membuat pilihan sememangnya ada ditangan para pelajar sekalian, tetapi akibat langsung daripada pilihan itu juga 'ditangggung' oleh diri sendiri.

Gambaran tentang jauhnya kita ketinggalan dalam pelbagai hal, lantas kita perlu melipat-gandakan usaha untuk boleh seiringan dengan mereka yang telah menghampiri 'garisan penamat'.

Saya tegaskan juga bahawa tiada istilah 'sudah terlambat' untuk mencipta dan melakarkan kejayaan.

Semoga usaha yang sedikit ini mampu menerbikan hasil dan anjakan kepada anak-anak pelajar dalam program Pecutan Akhir PMR dan SPM, pelajar-pelajar SMK. Kabogan 2 ini. Ayuh ....jangan kenal putus asa !.

Thursday, July 23, 2009

Mencari bintang di angkasa!

Pagi tadi saya berkesempatan berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak-anak pelajar tahun 6 di SK.Bugaya, yang bakal menduduki UPSR september akan datang. Saya akui agak sukar juga mengendalikan program seumpama ini dengan anak-anak di usia tahun 6. Namun saya gagahkan diri untuk memberi penegasan terhadap beberapa perkara;
Pencapaian akademik yang cemerlang harus seiring dengan kecantikkan akal dan budi. Tiada maknanya pencapaian akademik yang baik dan cemerlang, jika memiliki susuk akal budi yang rosak dan bobrok.
Saya menyelitkan juga sedikit rangsangan pengetahuan berkaitan angkasa dan dunia astronomi, tentunya dengan niat memberkan perspektif baru melihat cabaran mendatang dunia hari ini. Saya meyakinkan diri, jika tidak kesemua apa yang saya perkatakan itu diterima anak-anak pelajar, sekurang-kurangnya saya sudah melakukan sesuatu seupaya saya yang mungkin untuk anak bangsa saya. Segalanya.....tentunya ketentuan dari-Nya jua.

Wednesday, July 22, 2009

Live : Total Solar Eclipse....

How it is happen.....

Ilustrasi dibawah ( klik untuk imej lebih besar ) menggambarkan dengan jelas bagaimana gerhana penuh matahari berlaku, seperti yang berlaku pada jam 8.29 pagi tadi. Fenomena gerhana yang berlaku pada hari ini di India dan China mencatat sejarah tersendiri sebagai antara gerhana penuh matahari yang paling lama berlaku iaitu selama 6 minit.

Bagaimana ianya berlaku, sama-sama kita mencari jawapannya. Harap anda mendapat manfaat dari pendedahan ini!. Maklumat lebih lanjut, anda layari laman Science: Mechanics of Solar Eclipses. Selamat Menjelajah!

Total Solar Eclipse....


http://www.youtube.com/watch?v=ThLg7b0kHuE

Tuesday, July 21, 2009

Ibu & Nasi kuning..

Perjalanan pagi ini saya terserempak dengan seorang ibu yang sedang mengerah kudrat empat kerat mengangkat beberapa sisir buah pisang yang telah siap diikat, diangkat menggunakan kereta sorong, menyusuri denai untuk diletakkan di tepi jalan raya. Telahan saya kemungkinan ibu yang tabah ini sedang membuat persiapan unuk membawa hasil jualannya ke pasar tani. Saya sedikit terusik dengan pemandangan pagi ini melihat peristiwa yang saya sendiri pernah lalui.

Terkenang kisah semasa zaman kanak-kanak saya, seawal pagi,......ibu selalunya akan membuat persiapan mengumpulkan bahan-bahan jualannya termasuk hasil-hasil pertanian seperti buah pisang, nenas, betik malah daun pisang dan serai. Ibu akan mengumpulkannya di satu tempat. Tugasan saya adalah mengangkat semua hasil jualan itu ke tempat yang telah ibu tetapkan. Ibupun mulalah mencongak harga dan berapa hasil daripada jualan itu setelah menolak kos pengangkutan dan sebagainya. Pada sebelah petangnya pula, ibu akan menghubungi kenderaan yang boleh membawa hasil jualan ibu ke pasar tani. Van-van dikampung adalah yang paling popular dikalangan para penjual hasil tani seperti ibu saya.

Keesokannya, seawal jam 3.00 pagi, saya akan bangun menolong ibu mengangkut hasil jualan ibu ke tepi jalan raya dan mengisi semua jualan ibu ke dalam perut van yang telah sedia ternganga bonetnya. Di kegelapan malam itu, ibu akan lenyap bersama deruan enjin van membelah kesunyian suasana kampung, dan saya kembali ke rumah menanti kepulangan ibu membawa hasil jualannya. Harapan yang masih tidak pasti, mungkinkah jualan ibu habis terjual atau tidak. Atau lebih malang lagi jika terpaksa melelongnya sahaja dipasar daripada membawanya balik ke kampung.

Kegembiraan yang bukan kepalang apabila ibu pulang dari pekan dengan 'kompek' ( beg plastik ) penuh di tangan. Saya amat pasti salah satu darinya adalah nasi kuning berbungkus daun pisang. Itu sajalah bahagian saya secara peribadi.....hasil saya menolong ibu menyediakan jualannya hari itu, hasil yang lain akan dikongsi bersama adik-beradik saya yang lain. Sungguhpun begitu, kami tetap merasa bahagia !

Terdetik di hati saya, ibu yang saya perhatikan di jalan raya itu......... bagaimana saya hendak menolongnya. Saya hanya berdoa, moga-moga ibu ini mempunyai anak yang sedang bersekolah, walau bukan di sekolah saya. Saya memasang azam untuk menceritakan kisah ini kepada anak murid saya, dan kepada sesiapa sahaja agar mungkin kisah ini boleh mencetuskan semangat untuk kita bangkit dan berusaha mencipta kejayaaan!. Khamis ini saya, dijemput ke SK. Bugaya untuk membuat sedikit 'pengisian' kepada anak-anak UPSR, yang mungkin salah seorangnya anak ibu yang saya perhatikan pagi tadi. I'll never give up......!.

Monday, July 20, 2009

Manusia di bulan.....

Pada hari ini, 40 tahun yang lalu tercatat sejarah dalam peradaban manusia, penjejakan kaki pertama di permukaan bulan oleh dua orang angkasawan. Gambar-gambar yang menarik ini cukup signifikan dengan sejarah penerokaan angkasa lepas.
Selepas pengembaraan paling terkenal pada zaman moden membuktikan bahawa manusia mempunyai keupayaan untuk melampaui batas lingkungan planet Bumi.
Manusia pertama yang menjejakkan kaki dipermukaan bulan, Neil Armstrong dan Buzz Aldrin, terbang kembali menggunakan modul bulan mereka untuk bergabung kembali dengan Michael Collins yang mengorbit bulan pada kapal angkasa.
Pada 21 Julai 1969, kapal angkasa yang dipandu Collins berjaya membuat pendekatannya dan gambar dalam posisi bulan di bawah, dan Bumi dalam jarak jauh menjadi latar gambar yang cukup terkenal ini. Komuniti astronomi sedunia meraikan ulang tahun ke-40 manusia pertama menjejakkan kaki dipermukaan bulan, yang mencetuskan pelbagai usaha dan inisiatif menjelajah angkasa lepas sehingga ke hari ini.

Sunday, July 19, 2009

Gerhana Penuh Matahari !

Anda sedar atau tidak!, .............menjelang 22 Julai 2009, Gerhana penuh matahari yang akan berlaku di China ( Laluan gerhana penuh boleh dimuat-turun disini! ).

Gambar ( klik gambar untuk lebih besar ) dalam entry ini adalah gambaran yang sering berlaku pada setiap kali gerhana penuh matahari. Planet-planet lain dalam cakerawala matahari ini akan lebih mudah diperhatikan berbanding hari-hari biasa yang tidak berlaku gerhana penuh. Fenomena alam ini adalah kejadian yang jarang-jarang berlaku.
Peluang melakukan pemerhatian seumpama ini seharusnya tidak disia-siakan. Namun apakan daya, lokasi gerhana penuh pada 22 Julai ini adalah di China. Bagi penduduk Malaysia, sekali lagi fenomena gerhana matahari separuh akan berlaku, cuma tidak berapa pasti lokasi-lokasi yang terlibat. Untuk maklumat lebih lanjut, kunjungi laman Falak Online !.
Namun, kita boleh mengikutinya melalui beberapa laman sesawang di internet. Insya-Allah, saya akan paparkan dalam masukan saya yang seterusnya. Salah satu yang saya cadangkan adalah di shadowandsubstance dan total lunar eclipse . Selamat Mencerap Fenomena Gerhana Penuh Matahari!.

Sempornaku Sempurna 10...











Friday, July 17, 2009

My Vios.....so tired!

Pagi ini saya berada di Toyota Showroom Tawau, nak servis my Vios. Kesian kereta saya, dalam dua bulan terakhir ni.......my vios agak 'terseksa' kerana perjalanan yang panjang. Kesibukan dengan pelbagai urusan, my vios adalah teman yang paling setia bersama dengan saya.

Pagi ni juga berkesempatan melihat Vios Sportivo.... tak banyak sangat bezanya, hanya pada persembahan luaran sahaja. Apapun.....saya cukup berterima kasih kepada sahabat setia ini.
Sekali sekala memberikan rasa manusia kepada kereta kita......ada juga baiknya. Apa yang jelas...saya lebih menghargai kereta yang banyak berbakti kepada saya dan keluarga!. It's is a part of my family!

Ciptalah Peluang !

Pernahkah kita terfikir tentang medan makna 'mencipta peluang'. Fikiran umum kalangan kita mendukung fahaman yang sempit dan terbatas tentang 'mencipta peluang'.
Situasi 'mencipta peluang' terbatas pada pemain bola yang mengelecek dan mengawal bola semahu mungkin, bagi memberinya peluang 'menjaringkan gol'. Bersusah-payahnya peluang dicipta kerana matlamat akhirnya adalah menjaringkan gol dan memenangi pelawanan itu.......tentunya sebagai juara!


Demikian halnya pada seorang kontraktor, berusaha untuk 'mencipta peluang' dengan mengadakan hubungan dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam perniagaannya secara langsung. Hubungan yang diwujudkan, dibahas dan disediakan adalah untuk matlamat akhirnya....mendapat habuan 'kontrak'. Saya berani menyatakan demikian kerana 'mencipta peluang' dalam tafsiran kebanyakkan kita adalah dengan 'melihat orang lain' sebagai elemen yang membutirkan peluang-peluang itu. Akhirnya.......hubungan itu dicabar oleh beberapa situasi sukar, yang memungkinkan pelbagai amalan tidak sihat dalam konteks berorganisasi.


Saya tidak menafikan 100% akan hakikat ini. Tetapi dari sudut dan perspektif alternatif, rasanya tafsiran kita tentang 'mencipta peluang' harus lebih luas dan melangkaui batasan kefahaman seperti yang saya nyatakan diatas. Apa dan Mengapa?. Pada hemat saya, 'mencipta peluang' harus diletakkan pada daerah pengaruh diri kita sendiri.


Meningkatkan kompetensi diri adalah sebaik-baik 'mencipta peluang' yang boleh kita lakukan!. Mana tidaknya, dengan berlakunya penambahbaikan kepada amalan, sikap dan sahsiah diri, sudah tentu akan turut mengundang 'peluang' yang bukan sedikit. Saya amat yakin akan hal ini!. Belajar adalah antara usaha 'mencipta peluang' yang paling baik. Belajar akan menjadikan kita tahu apa yang tidak kita ketahui.........dan dengan kita mengetahui itu, bukankah akan membenihkan peluang untuk diri kita!. Iya...ka......lu fikir la dulu!

Wednesday, July 15, 2009

Sejarah Matematik...

Sejarah Matematik, buku tulisan Carl. B. Boyer dan diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad ( ITNMB ). Buku kecil ini memaparkan sejarah perkembangan matematik mengikut zaman.
la bukan sahaja menyentuh tentang pembangunan matematik Eropah tetapi juga perkembangan yang disumbangkan oleh tamadun China, India dan Arab. Sesungguhnya buku ini merupakan khazanah klasik sejarah matematik dan ahli matematik.

Buku ini telah disemak semula untuk disesuaikan dengan khalayak umum. la telah dikemas kini dan diperluas untuk mencakupi perkembangan kemajuan abad kedua puluh dalam bidang kebarangkalian dan komputer. Ciri menarik buku ini adalah lampirannya yang mengandungi jadual kronologi perkembangan matematik dan sejarah yang memudahkan pembaca untuk membuat rujukan.

Bagi anda yang berminat, buku ini boleh diperolehi di laman e-kedai.net pada harga RM75.00. Selamat Membaca !.

Tuesday, July 14, 2009

Misteri Alam......











Misteri Alam yang mengundang rasa kerdil...... mengajak manusia berfikir........ meneka sesuatu untuk melakukan sesuatu, pastinya...... penuh mengharapkan sesuatu...... hanya pada-Nya, segalanya berpunca!

Tuesday, July 7, 2009

Kunak Today !

Perjalanan pada pagi Jumaat yang baru lalu bersama dua orang kawan ke Kunak memberikan beberapa segaran terhadap perjalanan masa yang begitu cepat dan pantas. Apatah lagi perjalanan awal pagi dari Tawau ke Kunak cukup lancar dan selesa, lantaran kurang kenderaan yang sedang menyusuri jalan raya pada ketika itu.

Sepanjang perjalanan banyak bual bicara yang kami perkatakan bertiga. Sambil memandu sekali sekala saya menzahirkan buah fikiran, tetapi lebih banyak saya mematungkan diri mendengar perbincangan tersebut. Bual bicara berlegar dalam banyak lapangan. Tentang pembangunan diri, tentang perubahan massa, tentang profesion, tentang pembangunan bangsa dan perubahan masyarakat, malah tentang kemajuan pesat sepanjang menyusuri perjalanan ke Kunak. Tidak ketinggalan juga sedikit bahas tentang politik semasa dan dasar-dasar yang sangat hampir dengan persekitaran diri dan masyarakat.

Namun saya lebih terkesan dengan isu pembangunan diri yang sering menghambat banyak perkara termasuk semua yang dibicarakan dalam perjalanan ini. Perjalanan ‘kunak today’ memang menerbitkan banyak input dan manfaat ilmiah. Perjalanan masa sememangnya tidak pernah menunggu sesiapa. Pandai-pandailah kita menyisipkan diri pada mana-mana ruang untuk menjadikan diri berjaya dan bermanfaat pada sekeliling. Finally……semuanya kembali kepada usaha penyempurnaan diri!. This is the big massage that I have learn from this journey!. Let’s think it!




































Penanda Wacana Diri...

Pernahkah anda berfikir tentang watak diri. Atau mungkin bertanya, apakah kekuatan yang ada pada diri? Atau mungkin kita, telah sedia meyakini bahawa inilah diri saya. Lebih malang lagi, jika merasakan diri kita tiada apa-apa untuk dibicarakan!.

Saya memilih untuk melihat dari perspektif positif dan dinamik. Mungkinkah kita sedia mengenali watak diri kita. Dalam perjalanan pulang dari kuliah semalam, perbincangan menarik dengan saudara Yani menelurkan beberapa gagasan peribadi. Perbincangan secara akademik, saya mulakan dengan melontarkan soalan, Apakah kekuatan yang ada pada diri kita, yang menyebabkan orang mempunyai sebab yang baik untuk berkawan dengan kita.

Mungkin pelbagai jawapan yang boleh kita berikan!. Namun hakikat bahawa kekuatan yang kita miliki sememangnya berkait dengan watak diri kita yang sebenarnya……mungkin agak kurang disedari. Ya…mungkin kita digemari rakan dan teman atas sebab-sebab tertentu. Mungkin disebabkan kita suka menolong orang, atau mungkin kerana kita suka menzahirkan perspektif dan gagasan segar menanggapi hidup. Atau mungkin juga kerana kita seorang yang gemarkan ilmu dan buku. Atau mungkin kita seorang yang mahir menggunakan komputer dan gajet-gajet lain.

Atau mungkin juga kita mempunyai kemahiran tertentu, menyebabkan kita ‘dikawan’. Walau apapun sebab yang kita berikan, secara peribadi saya melihat asas yang mendasari watak diri kita. Pertamanya, alasan humanistik atau kemanusiaan. Kita mungkin dikenali sebagai seorang yang suka menolong, baik hati, suka menepati masa, berbaik sangka dan pelbagai lagi sebab kemanusiaan lainnya. Keduanya, alasan teknikal dan kemahiran. Kita mungkin dikenali sebagai seorang yang mahir membaiki kereta, atau mahir menggunakan komputer, mahir menggunakan kamera dan seumpamanya.

Sebab itulah agaknya, dua aspek berkenaan sangat berkait rapat dengan watak diri kita. Bila disebut sahaja diri kita, semacam ada ‘penanda wacana’ tentang watak kita. Persoalan inilah yang hendak saya jadikan gagasan pada diri ( dan kepada orang-orang yang sama waktu dengannya……. ). Sama ada kita seorang humanistik atau teknikalistik ( ……boleh ka istilah ni? ) hanya kita yang tahu. Feedback dari teman-teman mungkin dapat membantu kita mengenalpasti domain watak kita itu. Salah satu daripadanya atau kedua-duanya sekali, pada saya bukan lagi isunya.

Isunya, marilah kita mengenalpastinya, jika nilai watak diri kita adalah positif maka perteguh dan perkasakan lagi watak diri berkenaan. Jika sebaliknya, maka marilah kita memperbaiki nilai watak diri kita. Pilihan ada pada diri kita, memperteguh yang positif atau negatif. Anda fikirlah sendiri…!

Monday, July 6, 2009