Saya teringat dialog Wahid senario, dalam salah satu babak Wahid mengajar orang berenang, filem Senario yang mana satu...lupa sudah. "Untuk belajar berenang, kita mestilah tahu berenang!". Demikian lebih kurang dialog Wahid kepada peserta yang baru hendak belajar berenang. Kelihatan lucu ( memangpun filem Senario mana ada yang tak lucu.. ), tetapi jika difikirkan dalam-dalam, dari sudut yang membina dan membangun, kata-kata Wahid itu sedikit bertenaga dan mendorong!.
Logik akal, orang yang baru hendak belajar berenang, tentu sahajalah tidak tahu berenang!. Saya tidaklah mentafsirkannya begitu, tetapi melihat dari sudut positif, agaknya suatu yang pasti....untuk kita terlibat dalam sesuatu perkara kita mestilah mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita akan ceburi. Berapa ramai kalangan kita yang tidak menyedari posisi kita yang sebegini, tetapi sedang berada dalam posisi itu. Saya maksudkan, khususnya dalam konteks berkerjaya. Bekerja sebagai kakitangan awam tetapi tugas-tugas yang dilakukannya mempamerkan yang sebaliknya.....
Ada yang berperanan tetapi tidak memainkan peranannya yang sebenar. Bahasa mudahnya, membuat kerja orang lain, sedang kerja sendiri tidak disempurnakan!. Pada tahap inilah timbul masalah. Bertugas sebagai pengajar tetapi tidak membuat kerja-kerja mengajar. Bertugas sebagai pegawai pentadbir tetapi mempamer susuk tubuh orang politik. Bekerja sebagai usahawan tetapi bertugas bagai raja yang menguasai segalanya.
Pemandangan yang mungkin kerap kita perhatikan, pemandu kereta yang perasan berada di litar lumba Formula One. Guru yang menyangka pelajarnya serba tahu dan pelajar yang perasan dirinya lebih pandai daripada gurunya. Banyak lagi situasi sebegini yang mungkin berada dihadapan mata kita. Terserahlah kepada tafsiran diri kita masing-masing menanggapi situasi ini, tetapi pada saya......sekiranya kita berusaha untuk menceburi sesuatu bidang, maka selayaknya kita mengarifi bidang tersebut walaupun amat kurang pengetahuan tentangnya. Tetapi di satu sudut yang lain, janganlah kita berlagak serba tahu sesuatu hal, sedang sebenarnya......kita tahu kulitnya sahaja!.
Benar atau tidak.....lu fikirlah sendiri!.
No comments:
Post a Comment