Saturday, July 31, 2010

Terbaik.....Cikgu!

Bagaimana agaknya kita mengukur pencapaian kita sebagai seorang guru. Saya timbulkan persoalan ini sebagai santapan berfikir bersempena sambutan Hari Guru peringkat daerah Semporna hari ini. Dalam kalangan rakan-rakan guru juga, ada yang sudah menzahirkan nada yang 'memberontak' lantaran yang sering mendapat pujian dan menjadi guru yang disayangi bos adalah mereka yang mempamerkan hasil yang dapat diukur (menjulang nama baik...! ). Pencapaian dalam peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM khususnya sering mendapat perhatian lebih daripada kalangan bos.

Tetapi saya tidak mahu membicarakan politik dalam pentadbiran sekolah. Pada hemat saya politik dalam pentadbiran sekolah tidak akan kunjung sudah. Saya sering menyarankan pada ruang-ruang yang saya berkesempatan. Tetapi jawapan 'mereka' mudah, "cikgu senang cakaplah...kalau cikgu kena nanti....barulah cikgu tahu !". Demikian teman-teman menzahirkan. Lantas saya memilih untuk membicarakan bagaimana kita tetap bersemangat menggalas tugas kita sungguhpun menghadapi sepak terajang 'politik pentadbiran sekolah' (Ahh.....tak ingin campur la hal ini! )

Melihat apa yang ada di sekolah anak saya, sekali imbas kelihatannya tidak adil untuk kita yang mengajar di sekolah-sekolah harian biasa. Saiz kelas yang kecil, pelajar pula adalah dari kalangan pelajar yang terpilih, tentu sahaja dengan kemudahan yang jauh lebih baik daripada sekolah-sekolah harian biasa. Sebaliknya, di sekolah harian biasa yang biasa dengan saiz pelajar yang ramai dalam satu kelas, kualiti pelajar pula adalah pelbagai (lebih ramai yang lemah daripada yang baik! ) dan kemudahan yang juga agak kurang berbanding sekolah berasrama penuh. Tetapi jika kita membuat perbandingan begini maka sekali lagi......isunya tidak akan kunjung sudah!.

Pada saya, teman-teman seprofesion harus meletakkan sasaran yang realistik sesuai dengan tahap pencapaian pelajar. Adakah wajar kita membuat perbandingan antara pelajar terpilih di sekolah berasrama penuh dengan pelajar kelas hujung di sekolah harian biasa, dengan masalah menguasai asas 3M. Saya meminjam kata-kata Abdul Wahub (P. Ramlee) dalam filem 3 Abdul (lupa sudah...), "Ini tidak adil! ". Lantas, kita sebenarnya harus berasa sangat bangga sungguhpun mengajar di sekolah yang memiliki pelajar-pelajar yang berprestasi rendah.

Anda bayangkan sahaja jika kita berjaya mengajar anak murid yang tidak pandai membaca dan mengira, menjadikan mereka boleh membaca dan mengira dengan baik. Pencapaian itu adalah jauh lebih baik daripada melibatkan mereka dalam statistik pencapaian peperiksaan, secara sengaja atau tanpa sedar menjerumuskan mereka dengan harapan palsu. Jika kefahaman kita hanya terhad meletakkan pencapaian dalam peperiksaan awam sebagai ukuran prestasi kerja kita.....saya tidak heran jika ramai pendukung profesion ini yang kecewa. Pencapaian dalam peperiksaan awam sebegitu terlalu banyak faktor pembolehubahnya.

Namun jika kita luwes dan sedikit bebas mentafsirkan kejayaan dan pencapaian kita dalam profesion keguruan ini, berjaya mengenalkan abjad dan nombor sehingga membolehkan anak-anak didik kita mampu membaca, menulis dan mengira adalah pencapaian yang jauh lebih hebat dan 'evergreen'. Saya istilahkan 'evergreen' kerana kemahiran asas itulah yang memberi peluang luas kepada setiap anak didik untuk mendepani dunianya. Sekurang-kurangnya menulis nama sendiri dan mengira usianya!. Bagi saya......itu adalah yang terbaik dari kita,.....sekurang-kurangnya berhadapan dengan jenis anak didik begini.

Maka selayaknya kita tidak sedikitpun berasa kerdil dan kecewa jika 'ukuran biasa' digunakan tidak mampu kita penuhi. Sungguhpun.....mungkin hanya kita seorang yang menggunakan skala ini, tetapi percayalah......pencapaian mencelikkan anak didik dengan ilmu kira baca adalah pencapai yang luar biasa!. Apa sangatlah......pencapaian peperiksaan jika kita mampu menyediakan 'peralatan wajib' untuk manusia menjayakan hidupnya. Ayuh.......jangan sesekali mudah kecewa!.

( Tulisan ini didedikasikan untuk guru-guru yang tabah berhadapan dengan anak didik walau dengan seribu satu cabaran! Sabar......Geng! )

P/s : Catatan ini sepatutnya diapungkan kelmarin, terlewat kerana masalah teknikal.

No comments: