Tuesday, July 6, 2010

Akukah......Ayah..!

Malam tadi saya isi masa dengan bermain badminton bersama rakan-rakan sepejabat. Bos pun ikut bermain malam ini. Saya sendiri turun bersama dengan anak-anak. Sebagaimana kelaziman sebelum ini, saya memang menjadikan jadual saya bermain badminton sebagai ‘reward’ kepada anak-anak kerana kerja keras mereka bersekolah. Kecuali jika mereka mempunyai kerja sekolah yang banyak, kebiasaannya saya membenarkan mereka ‘joint’ main sekali. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka berseronok bersama teman-teman mereka di dewan permainan, dan menghilangkan sedikit suasana buku dan sekolah. Demikian saya mengiakan pemergian mereka.

Tiba-tiba juga saya merindui anak sulung saya, kakak Anis. Begitu cepatnya masa berlalu. Masih terasa seolah-olah baru semalam kakak beralih remaja. Saya terfikir sendiri, betapa saya telah membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Wajah kanak-kanak kakak Anis seakan masih terbayang. Saya sebak……mengenangkannya!. Seakan sukar untuk saya mempercayai….saya telah kehilangan ‘masa kanak-kanak’ anak sulung saya itu. Dalam nada sebak ini, saya cuba mencari butir-butir kenangan yang pernah saya lalui bersama kakak anis. Sukar rasanya……menzahirkan butiran kisah itu.

Mungkin juga disebabkan dalam sehari dua ini, dalam perbincangan dengan teman-teman antara topik yang sering disentuh adalah anak-anak yang sebenarnya ‘amanah’ yang perlu dijayakan!. Sedar atau tidak, saya mengakui betapa anak sulung saya inilah juga ‘guru’ yang mendewasakan saya dalam seni mendidik dan mendewasakan anak-anak. Karenah kakak Anis pada masa kecilnya sehinggalah membesar…….tentu sahaja banyak mencabar kesabaran. Apatah lagi dengan dirinya…..saya mengalami pengalaman pertama dalam kampus Universiti Keibubapaan. Cabaran dan kesabaran itulah tentunya menghidangkan pelbagai resepi yang mematangkan gaya keibubapaan yang saya anuti kini.

Tentu sahaja ‘kerinduan’ ini terjelma dengan suatu kisah. Sehingga ke saat inipun saya masih tidak mampu menyatakan dengan yakin, apakah saya telah melakukan yang terbaik kepada kakak Anis. Berkeliaran persoalan. Betapa seni keibubapaan itu suatu yang banyak bunga silatnya. Betapa setiap detik bersama anak-anak itu rupanya adalah lembaran-lembaran kerja yang perlu kita siapkan. Betapa persefahaman dengan sang pasangan kita itu adalah melewati batasan……’makna pasangan’ dan banyak lagi persoalan-persoalan lain yang menyangkut masa depan dan kehidupan dewasa mereka kelak.

Benar kata teman saya, mengapa kita begitu cuai menanggapi anak-anak dan pasangan kita, sedangkan mereka inilah yang akan ‘setia’ menghantar kita ke liang lahat. Mereka ini jugalah yang boleh kita harapkan untuk menghantar 'bekalan dan bantuan' dalam menuju penghisaban-Nya. Bagaimana mengukur usaha kita…..mungkin bukan persoalan yang perlu dijawab. Secara peribadi….kita lakukanlah yang terbaik untuk anak-anak. Kebaikan kepada mereka itu boleh sahaja dalam pelbagai rupa dan wajah.

Pada kerinduan ini, melihat anak orang bagai anak sendiri……..mungkin antara kebaikan yang boleh kita titipkan untuk anak-anak kita sendiri. Di angin lalu……..mari kita berseru, moga-moga kebaikan itu menyapa mesra anak-anak kita!. Terima kasih…..anak-anakku! Kehadiran kalian…….memperkayakanku. Ummi anak-anakku! Terima kasih kerana kesiap-siagaan mendepani bola tanggung dan pukulan pancung yang silang menyilang. Tanpamu….rasanya sudah lama saya terkeluar dari pertandingan!. Terima kasih Ayah dan Mak!. Teristimewa untuk Kakak Anis…..selamat belajar menjadi manusia!.

1 comment:

for my children said...

salam...
masa cepat berlalu. tak terasa anak membesar didepan mata. yg tinggal kesan2 nostalgi.(framekan gambar mereka masa kecil)
namun begitu...
perlu kita memberikan yg amat terbaik utk anak kita...
emosi, agama, kematangan, ilmu...
utk kita dan dia berjaya...
fauzul kabir...
putra avanza