Baru sebentar tadi saya melabuhkan badan selepas perjalanan seharian ke Lahad Datu. Hari ini adalah jadual lawatan mengunjungi kakak Anis disekolahnya. Sesampai di sekolah kakak jarum jam menunjukkan 11.45 pagi. Hampir tengahari!. Terus makan tengahari bersama-sama di Pondok Rehat di sekitar sekolah kakak.
Rindu juga suasana makan tengahari bersama-sama kakak. Semua pun cukup berselera......menikmati masakan ummi hari ini. Ibu memasak seawal pagi sebelum bertolak ke sini, tentu sahaja masakan adalah mengikut selera kegemaran kakak. Minggu ini mereka tak boleh 'outing' kerana banyak program sekolah yang perlu mereka langsaikan.
Selesai solat Dzohor, si Amo memohon diri untuk balik ke bilik kerana ingin membuat persediaan. Ada perlawanan hoki jam 2 petang ini....menentang pasukan pelajar dari sekolah yang melawat sekolah mereka hari ini. Kakak Anis pula mesti menyambung latihan koir mereka sempena dengan Festival Filem peringkat sekolah mereka. Tanpa banyak soal, saya mengiyakan sahaja laporan mereka. Berilah mereka peluang berdikari dan menceburi apa-apa yang mereka minati. Sekurang-kurangnya menambahkan koleksi pengalaman mereka. Yakin sahaja akan adalah satu dua perkara yang 'mengajar' mereka tentang hidup.
Selesai berpelukan dengan adik-adik, ibu....saya turut melepaskan kerinduan pada kakak dengan pelukan erat sambil membisikkan beberapa pesanan. Kami meninggalkan sekolah kakak lebih kurang jam 1.45 petang. Program mereka petang ini bermula seawal jam 2 petang. Sungguhpun berat kaki melangkah ( tayar berputar sebenarnya..... ) saya meninggalkan kakak dan si Amo dengan harapan menggunung.....moga mereka berjaya mengharungi 'perjalanan' hari-hari mendatang...Insya-Allah!. 2 jam berikutnya masa dihabiskan dengan menelusuri perjalanan balik ke Seri Ilham!. Dari kejauhan kawasan Silam kelihatan kelam dan berbalam....isyarat hujan akan menyirami bumi sekejap lagi.
No comments:
Post a Comment