Pagi ini saya ke sekolah untuk menyempurnakan aktiviti Hari Iktiraf 2010. Hari kedua Hari Iktiraf 2010 masuk hari kedua dengan aktiviti Menandatangani Buku Rekod Kemajuan Akademik dan Buku Laporan Adab Belajar. Sebagaimana suasana kelmarin, suasana hari juga tidak kurang meriahnya. Malah kehadiran ibubapa pada sesi kali ini amat menggalakkan. Namun ada perkara menarik yang menjadi bahan bual bicara antara rakan-rakan guru, semasa minum bersarapan pagi di kantin sekolah. Forum terbuka ini juga turut dihadiri sama guru-guru kanan di sekolah.
Sedang guru-guru asyik minum dan berbual-bual, lalu seorang pelajar yang cukup terkenal terutamanya dikalangan guru-guru sidang petang. Istimewanya pelajar ini kerana dia seorang pelajar yang bermasalah penglihatan, duduk pula di 'kelas hujung'. Sebenarnya dari segi akademik, pelajar ini tidaklah teruk sangat. Malah dalam sesetengah subjek menunjukkan pencapaian yang jauh lebih baik daripada rakan-rakan sekelasnya. Malangnya, pelajar ini juga tidak kurang hebatnya dari segi pencapaian disiplin. Dalam kepayahan penglihatan yang dialaminya, tahu dan pandai pula dia 'melarikan diri' melalui pintu haram ( pagar sekolah ) untuk melarikan diri dari menghadiri persekolahannya.
Mungkin susuk wajah pelajar ini mengingatkan rakan-rakan guru kepada kenangan semasa persekolahan masing-masing. Cikgu Sahidin menceritakan pengalaman menghafal sifir dan abjad pada masanya sekolah suatu ketika
dahulu. Desakan belajar pada masa itu banyak didorong oleh rasa takut pada guru yang akan merotan mana-mana pelajar yang gagal menghafal sifir dan abjad yang telah ditetapkan. Pelajar menurut Cikgu Sahidin lagi sebenarnya bukanlah sangat mahu belajar, tetapi lebih disebabkan takut yang amat sangat pada guru-guru yang garang pada ketika itu. Kesannya, pelajar cepat menguasai kemahiran yang ingin diterapkan. Apatah lagi kepercayaan penuh yang diberikan oleh ibubapa pada masa itu sememangnya cukup tinggi.
Seorang lagi rakan guru menceritakan bagaimana bilik darjah pada masa itu adalah cukup terhad. Sekolah di kampung pada masa itu memuatkan tiga darjah dalam satu bilik darjah. Kebiasaanya, darjah 1, darjah 2 dan darjah 3 diletakkan dalam satu bilik darjah. Kedudukan papan hitam darjah 1 dan darjah 2 selalunya bersebelahan menghadap dinding yang sama. Sementara itu kedudukan papan hitam darjah 3 menghadap ke dinding yang bertentangan. Meja tulisnya pula adalah jenis yang bersambung dengan kerusinya. Satu meja biasanya boleh memuatkan 3 atau 4 orang bergantunglah kepada saiz pelajar. Manakala darjah 4, 5 dan 6 dalam bilik darjah berasingan dan kebiasaanya dalam formasi yang sama. Apa yang lucunya menurut teman itu lagi adalah apabila ada pelajar yang didenda dalam salah satu darjah itu, maka semua pelajar dari darjah lain dalam kelas yang sama akan memerhatikan 'secara langsung' kejadian itu. Mana tidaknya jika pelajar hanya perlu menoleh!. Tetapi ramai juga yang telah berjaya daripada sistem pembelajaran begini.
Bos saya pula menceritakan bagaimana beliau tidak sanggup ponteng sekolah. Rajin ke sekolahpun bukan disebabkan mahu belajar, tetapi ke sekolah itu mempunyai banyak keseronokan. Bertemu dengan kawan-kawan sebaya, adalah antara sebab yang paling utama selain disediakan duit poket sebagai bekalan dan banyak lagi sebab lain. Pernah satu ketika menurut bos, ibu mahu membawanya ke pekan untuk membeli kasut. Tetapi bos tidak mahu ponteng sekolah. Ibunya bertegas membawanya, dengan berhujah "Kalau kau ponteng sekolahpun hari ini.....tidak juga kau terus jadi guru!". Gambaran yang diberikan ibunya adalah ponteng satu hari, tidaklah akan terus menjadikan dirinya bodoh atau tidak pandai. Namun ironinya, kata bos lagi....hari ini gurulah yang menjadi kerjayanya.
Semua senario di atas mempunyai tafsiran makna yang pelbagai. Dalam konteks membandingkan pencapaian pelajar hari ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan serta pencapaian pelajar pada masa dahulu dengan segala serba-serbi kekurangan....antara yang boleh kita fikirkan!. Anda mungkin mempunyai tafsiran sendiri. Namun pada saya, kombinasi guru dan ibubapa adalah amat penting. Dalam kehidupan pelajar, hanya dua destinasi akhir dalam aktiviti kehidupan mereka. Di rumah dan di sekolah!. Jika di rumah...ibubapalah yang menjadi guru dan jika di sekolah gurulah yang menjadi ibubapanya!. Jika ini benar, maka hampir mustahil berlaku kegagalan....!. Ketirisan salah satunya, memungkinkan senario yang songsang berlaku!. Demikian halnya.....pada hemat saya!. Apa lagi ?.
No comments:
Post a Comment