Semalam, sekembali dari SMS Lahad Datu, selepas melepaskan lelah sesantapan hidangan mengatur pula pertemuan bersama teman-teman. Pertemuan pagi semalam dirasakan tidak maksima. Sebelum meninggalkan Seri Ilham, sempat juga isteri menzahirkan rasa hatinya, ramadhan tahun ini nanti…..adalah ramadhan pertama kali kakak Anis tidak bersama-sama berpuasa dan berbuka di Seri Ilham. Saya mengiyakan dalam hati, tetapi segera ‘membunuh’ rasa bersalah itu kerana saya meyakini kakak sedang dalam proses ujian universiti pengalaman.
Pertemuan semalam juga menghasilkan pelbagai gagasan yang juga menarik untuk dibahaskan.
Seringkali mudah untuk kita berkata ‘berlapang dada, terbuka, memberi kritikan membina dan seumpamanya’. Tetapi menyatakan kata-kata itu tidak semudah kita melafazkan. Sememangnyalah perbincangan dan perbahasan terbuka turut sama mengundang pertentangan pendapat. Sebagaimana kelaziman dalam berbahas unsur pro dan kontra menjadi fakta perdebatan.
Tetapi dalam menyempurnakan kitaran lengkap sebuah perbincangan dan perdebatan, suatu yang patut kita hormati adalah ‘kemandirian’ pendapat orang lain terhadap diri kita atau apa sahaja subjek perbincangan yang menjadi ‘punching bag’. Jika kita ingin sampai ke tahap ‘kesempurnaan’ agaknya kita harus menghamparkan ‘gelanggang’ yang lebih luas dan selesa untuk membolehkan sesuatu perkara itu dibahas semasak-masaknya. Semacam sudah menjadi rukun, pada ketika kita mahu kritikan tajam dan bernas, maka selayaknya kita membiarkan diri berada dalam posisi ‘bola tanggung’.
Sebab itulah, bukan calang-calang orang yang boleh menerima kritikan tetapi masih mampu mengukirkan senyuman. Apatah lagi yang menerima kritikan itu sendiri adalah diri dan keperibadiannya. Namun bagi seorang yang berjiwa besar, tentunya perkara ini ada modul dan formulanya. Secara peribadi, sampai pada satu tahap kita harus berani mengisytiharkan ‘keterbukaan’ kita menerima teguran dan kritikan. Tetapi pada masa yang sama, tentu sahaja kita telahpun ‘meyakini’ satu set pendapat atau pendirian kita sendiri.
Tanpa perlu untuk kita ‘menzahirkan’ pendirian tegas kita terhadap apa yang kita yakini, adalah suatu ‘bonus’ sekiranya perbincangan dan perbahasan itu cukup tajam dan bernas, sehingga sampai ke tahap kita menilai semula set pendirian dan kefahaman kita. Natijah daripada keadaan ini tentu sahaja memberikan kelebihan kepada kita. Pertamanya, kita tidak perlu bertegang leher menegakkan pendapat masing-masing, dan memungkinkan teman-teman yang menjadi rakan forum kita tidak akan menjauhkan diri.
Kedua, sudah tentu subjek perbincangan itu akan melalui fasa muhasabah diri, yang tentu sahaja akan lebih menyempurnakannya lagi. Atau selemah-lemahnya berlaku proses penambahbaikan. Perkara ketiga, perdebatan itu sendiri memperkaya sudut pandang atau perspektif kita masing-masing. Pada hemat saya, perkara inilah yang akan menjurus kepada lahirnya medan makna ‘berpendirian’. Tentu sahaja ada beza antara ‘berpendirian’ yang telah melalui fasa bahas dan debat dengan ‘berpendirian’ yang tidak disandarkan kepada kepelbagaian sudut pandang. Berpendirian yang melalui fasa bahas dan debat itulah yang rasanya berupaya menerbitkan beberapa nilai baik seperti berlapang dada, berfikiran positif, istiqamah dan seumpamanya. Anda setuju atau tidak bukan persoalannya, tetapi bagaimana ‘pendirian’ anda terhadap perkara itu……anda sahajalah yang tafsir dan fahamkannya.
No comments:
Post a Comment