Semalam saya menonton sebuah filem lama lakonan dan arahan Denzel Washington, Antwone Fisher. Mengisahkan seorang pemuda kulit hitam yang dilahirkan oleh ibu yang sedang merengkok dalam penjara. Tetapi plot ceritanya banyak berkisar pada perjalanan watak pemuda berkenaan, Antwone Fisher yang sudahpun menjadi anggota tentera laut ( Navy ). Soal keyakinan dan harga diri menghadapi masyarakat sekeliling yang dipaparkan melalui watak Antwone sungguh mengesankan. Tidak mudah sebenarnya untuk kita berhadapan situasi Antwone, melalui perjalanan hidupnya yang sentiasa berada dalam keadaan kalah dan bertahan.
Digambarkan lewat watak Antwone, dari zaman kanak-kanak maruah dan harga dirinya cuba diragut dari dalam dirinya. Tinggal pula dengan keluarga angkat, Puan Tate yang tidak pernah menghargai dirinya sebagai manusia yang sedang meningkat dewasa. Sehinggalah Antwone memasuki alam pekerjaan sebagai anggota tentera laut, Antwone berjaya mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa kehilangan harga diri. Semasa menjalani latihan disinilah, Antwone bertemu dengan Komander Tentera yang bertugas sebagai doktor Psikiatri.
Watak doktor psikiatri lakonan Danzel Washington inilah yang banyak mengubah dan memperteguh beberapa nilai dan pegangan Antwone terhadap banyak perkara. Doktor ini berjaya menyelami dan memahami diri Antwone sehinggalah mendorong nya uuntuk mencari keluarga sebenarnya di Cleveland. Tetapi tanpa disedari Antwone, doktor psikiatri berkenaanpun rupa-rupanya ‘mempelajari’ sesuatu daripada kepayahan Antwone. Salah satu dialog yang saya terkesan dalam filem ini adalah kata-kata doktor berkenaan kepada Antwone, “Jangan biarkan duniamu dipenuhi dendam, sungguhpun dunia berlaku kejam kepadamu”. Pada akhirnya, Antwone berjaya menemui keluarga sebenarnya dan berjaya mengharungi kepayahan dan kesukaran hidup yang dilaluinya.
Mungkin itu sekadar suatu cerita pada kebanyakan kita. Tetapi sebagai manusia, selayaknya kita mempelajari sesuatu daripada cerita ini. Perbincangan dengan rakan-rakan forum beberapa ketika yang lalu berpadanan dengan cerita Antwone Fisher ini. Pada saya, watak Antwone Fisher mengusung mesej yang sarat dengan penghargaan kepada maruah dan harga diri. Sungguhpun kita merasakan diri kita kerdil dan hina, tetapi selayaknya kita tidak mengkhianati diri dengan terus membiarkan diri terjerumus dalam keadaan dan situasi gagal.
Kita beraksilah selayaknya sesuai dengan keadaan diri kita. Kalau kita merasakan diri kita insan yang malang, percayalah ada lagi yang lebih malang dari keadaan kita. Demikian sebaliknya, jika kita merasakan diri kita adalah manusia yang cukup bertuah, sekali lagi, percayalah ada lagi manusia yang cukup bertuah. Kenyataan ini bukanlah bermaksud, tidak payahlah kita memiliki rasa bertuah atau tidak bertuah itu. Sebagai manusia biasa, naluri itu juga ada nilai dan harganya dalam kita membina kualiti dan harga diri…….menjadikan kita manusia sederhana!. Namun yang lebih penting lagi, setiap tapak kaki yang telah kita tinggalkan dalam perjalanan kita menghadapi hidup mendatang, tetap memberikan kesan, sungguhpun kesan tapak kaki itu sudah hilang dari pandangan.
Sebab itulah….pengalaman lalu adalah universiti yang cukup mendewasakan!. Lantas, jangan menyalahkan diri atas segala apa yang telah berlaku…pada masa lalu. Hargailah….pengalaman itu, ‘guru tuisyen’ yang pernah kita singgahi dan antara rancangan yang tidak pernah kita rancang!. Pengalamanlah yang banyak menyumbang kepada watak kita hari ini. Kita fikirlah bersama....
No comments:
Post a Comment