Saturday, July 31, 2010

Terbaik.....Cikgu!

Bagaimana agaknya kita mengukur pencapaian kita sebagai seorang guru. Saya timbulkan persoalan ini sebagai santapan berfikir bersempena sambutan Hari Guru peringkat daerah Semporna hari ini. Dalam kalangan rakan-rakan guru juga, ada yang sudah menzahirkan nada yang 'memberontak' lantaran yang sering mendapat pujian dan menjadi guru yang disayangi bos adalah mereka yang mempamerkan hasil yang dapat diukur (menjulang nama baik...! ). Pencapaian dalam peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM khususnya sering mendapat perhatian lebih daripada kalangan bos.

Tetapi saya tidak mahu membicarakan politik dalam pentadbiran sekolah. Pada hemat saya politik dalam pentadbiran sekolah tidak akan kunjung sudah. Saya sering menyarankan pada ruang-ruang yang saya berkesempatan. Tetapi jawapan 'mereka' mudah, "cikgu senang cakaplah...kalau cikgu kena nanti....barulah cikgu tahu !". Demikian teman-teman menzahirkan. Lantas saya memilih untuk membicarakan bagaimana kita tetap bersemangat menggalas tugas kita sungguhpun menghadapi sepak terajang 'politik pentadbiran sekolah' (Ahh.....tak ingin campur la hal ini! )

Melihat apa yang ada di sekolah anak saya, sekali imbas kelihatannya tidak adil untuk kita yang mengajar di sekolah-sekolah harian biasa. Saiz kelas yang kecil, pelajar pula adalah dari kalangan pelajar yang terpilih, tentu sahaja dengan kemudahan yang jauh lebih baik daripada sekolah-sekolah harian biasa. Sebaliknya, di sekolah harian biasa yang biasa dengan saiz pelajar yang ramai dalam satu kelas, kualiti pelajar pula adalah pelbagai (lebih ramai yang lemah daripada yang baik! ) dan kemudahan yang juga agak kurang berbanding sekolah berasrama penuh. Tetapi jika kita membuat perbandingan begini maka sekali lagi......isunya tidak akan kunjung sudah!.

Pada saya, teman-teman seprofesion harus meletakkan sasaran yang realistik sesuai dengan tahap pencapaian pelajar. Adakah wajar kita membuat perbandingan antara pelajar terpilih di sekolah berasrama penuh dengan pelajar kelas hujung di sekolah harian biasa, dengan masalah menguasai asas 3M. Saya meminjam kata-kata Abdul Wahub (P. Ramlee) dalam filem 3 Abdul (lupa sudah...), "Ini tidak adil! ". Lantas, kita sebenarnya harus berasa sangat bangga sungguhpun mengajar di sekolah yang memiliki pelajar-pelajar yang berprestasi rendah.

Anda bayangkan sahaja jika kita berjaya mengajar anak murid yang tidak pandai membaca dan mengira, menjadikan mereka boleh membaca dan mengira dengan baik. Pencapaian itu adalah jauh lebih baik daripada melibatkan mereka dalam statistik pencapaian peperiksaan, secara sengaja atau tanpa sedar menjerumuskan mereka dengan harapan palsu. Jika kefahaman kita hanya terhad meletakkan pencapaian dalam peperiksaan awam sebagai ukuran prestasi kerja kita.....saya tidak heran jika ramai pendukung profesion ini yang kecewa. Pencapaian dalam peperiksaan awam sebegitu terlalu banyak faktor pembolehubahnya.

Namun jika kita luwes dan sedikit bebas mentafsirkan kejayaan dan pencapaian kita dalam profesion keguruan ini, berjaya mengenalkan abjad dan nombor sehingga membolehkan anak-anak didik kita mampu membaca, menulis dan mengira adalah pencapaian yang jauh lebih hebat dan 'evergreen'. Saya istilahkan 'evergreen' kerana kemahiran asas itulah yang memberi peluang luas kepada setiap anak didik untuk mendepani dunianya. Sekurang-kurangnya menulis nama sendiri dan mengira usianya!. Bagi saya......itu adalah yang terbaik dari kita,.....sekurang-kurangnya berhadapan dengan jenis anak didik begini.

Maka selayaknya kita tidak sedikitpun berasa kerdil dan kecewa jika 'ukuran biasa' digunakan tidak mampu kita penuhi. Sungguhpun.....mungkin hanya kita seorang yang menggunakan skala ini, tetapi percayalah......pencapaian mencelikkan anak didik dengan ilmu kira baca adalah pencapai yang luar biasa!. Apa sangatlah......pencapaian peperiksaan jika kita mampu menyediakan 'peralatan wajib' untuk manusia menjayakan hidupnya. Ayuh.......jangan sesekali mudah kecewa!.

( Tulisan ini didedikasikan untuk guru-guru yang tabah berhadapan dengan anak didik walau dengan seribu satu cabaran! Sabar......Geng! )

P/s : Catatan ini sepatutnya diapungkan kelmarin, terlewat kerana masalah teknikal.

Journey for SMS!

Baru sebentar tadi saya melabuhkan badan selepas perjalanan seharian ke Lahad Datu. Hari ini adalah jadual lawatan mengunjungi kakak Anis disekolahnya. Sesampai di sekolah kakak jarum jam menunjukkan 11.45 pagi. Hampir tengahari!. Terus makan tengahari bersama-sama di Pondok Rehat di sekitar sekolah kakak.

Rindu juga suasana makan tengahari bersama-sama kakak. Semua pun cukup berselera......menikmati masakan ummi hari ini. Ibu memasak seawal pagi sebelum bertolak ke sini, tentu sahaja masakan adalah mengikut selera kegemaran kakak. Minggu ini mereka tak boleh 'outing' kerana banyak program sekolah yang perlu mereka langsaikan.

Selesai solat Dzohor, si Amo memohon diri untuk balik ke bilik kerana ingin membuat persediaan. Ada perlawanan hoki jam 2 petang ini....menentang pasukan pelajar dari sekolah yang melawat sekolah mereka hari ini. Kakak Anis pula mesti menyambung latihan koir mereka sempena dengan Festival Filem peringkat sekolah mereka. Tanpa banyak soal, saya mengiyakan sahaja laporan mereka. Berilah mereka peluang berdikari dan menceburi apa-apa yang mereka minati. Sekurang-kurangnya menambahkan koleksi pengalaman mereka. Yakin sahaja akan adalah satu dua perkara yang 'mengajar' mereka tentang hidup.

Selesai berpelukan dengan adik-adik, ibu....saya turut melepaskan kerinduan pada kakak dengan pelukan erat sambil membisikkan beberapa pesanan. Kami meninggalkan sekolah kakak lebih kurang jam 1.45 petang. Program mereka petang ini bermula seawal jam 2 petang. Sungguhpun berat kaki melangkah ( tayar berputar sebenarnya..... ) saya meninggalkan kakak dan si Amo dengan harapan menggunung.....moga mereka berjaya mengharungi 'perjalanan' hari-hari mendatang...Insya-Allah!. 2 jam berikutnya masa dihabiskan dengan menelusuri perjalanan balik ke Seri Ilham!. Dari kejauhan kawasan Silam kelihatan kelam dan berbalam....isyarat hujan akan menyirami bumi sekejap lagi.

Friday, July 30, 2010

Another Beautiful Scene from Easter Island....


As the New Moon's shadow slid across the southern Pacific on July 11, people gathered along the white, sandy Anakena Beach on the north side of Easter Island to watch a total solar eclipse. Further information...visit this site!

Simulasi Ijtimak Planet Menjelang Ramadhan...



Video Simulasi yang dihasilkan En. Shah di Falak Online ini dapat memberikan gambaran awal kedudukan planet-planet dari 27 Julai hingga 15 Ogos nanti. Dapatkan maklumat lanjut di Falak Online. Selamat Mengembara ke Angkasaraya!
Sumber : Falak Online

Apa lagi....

Pagi ini saya ke sekolah untuk menyempurnakan aktiviti Hari Iktiraf 2010. Hari kedua Hari Iktiraf 2010 masuk hari kedua dengan aktiviti Menandatangani Buku Rekod Kemajuan Akademik dan Buku Laporan Adab Belajar. Sebagaimana suasana kelmarin, suasana hari juga tidak kurang meriahnya. Malah kehadiran ibubapa pada sesi kali ini amat menggalakkan. Namun ada perkara menarik yang menjadi bahan bual bicara antara rakan-rakan guru, semasa minum bersarapan pagi di kantin sekolah. Forum terbuka ini juga turut dihadiri sama guru-guru kanan di sekolah.

Sedang guru-guru asyik minum dan berbual-bual, lalu seorang pelajar yang cukup terkenal terutamanya dikalangan guru-guru sidang petang. Istimewanya pelajar ini kerana dia seorang pelajar yang bermasalah penglihatan, duduk pula di 'kelas hujung'. Sebenarnya dari segi akademik, pelajar ini tidaklah teruk sangat. Malah dalam sesetengah subjek menunjukkan pencapaian yang jauh lebih baik daripada rakan-rakan sekelasnya. Malangnya, pelajar ini juga tidak kurang hebatnya dari segi pencapaian disiplin. Dalam kepayahan penglihatan yang dialaminya, tahu dan pandai pula dia 'melarikan diri' melalui pintu haram ( pagar sekolah ) untuk melarikan diri dari menghadiri persekolahannya.

Mungkin susuk wajah pelajar ini mengingatkan rakan-rakan guru kepada kenangan semasa persekolahan masing-masing. Cikgu Sahidin menceritakan pengalaman menghafal sifir dan abjad pada masanya sekolah suatu ketika
dahulu. Desakan belajar pada masa itu banyak didorong oleh rasa takut pada guru yang akan merotan mana-mana pelajar yang gagal menghafal sifir dan abjad yang telah ditetapkan. Pelajar menurut Cikgu Sahidin lagi sebenarnya bukanlah sangat mahu belajar, tetapi lebih disebabkan takut yang amat sangat pada guru-guru yang garang pada ketika itu. Kesannya, pelajar cepat menguasai kemahiran yang ingin diterapkan. Apatah lagi kepercayaan penuh yang diberikan oleh ibubapa pada masa itu sememangnya cukup tinggi.

Seorang lagi rakan guru menceritakan bagaimana bilik darjah pada masa itu adalah cukup terhad. Sekolah di kampung pada masa itu memuatkan tiga darjah dalam satu bilik darjah. Kebiasaanya, darjah 1, darjah 2 dan darjah 3 diletakkan dalam satu bilik darjah. Kedudukan papan hitam darjah 1 dan darjah 2 selalunya bersebelahan menghadap dinding yang sama. Sementara itu kedudukan papan hitam darjah 3 menghadap ke dinding yang bertentangan. Meja tulisnya pula adalah jenis yang bersambung dengan kerusinya. Satu meja biasanya boleh memuatkan 3 atau 4 orang bergantunglah kepada saiz pelajar. Manakala darjah 4, 5 dan 6 dalam bilik darjah berasingan dan kebiasaanya dalam formasi yang sama. Apa yang lucunya menurut teman itu lagi adalah apabila ada pelajar yang didenda dalam salah satu darjah itu, maka semua pelajar dari darjah lain dalam kelas yang sama akan memerhatikan 'secara langsung' kejadian itu. Mana tidaknya jika pelajar hanya perlu menoleh!. Tetapi ramai juga yang telah berjaya daripada sistem pembelajaran begini.

Bos saya pula menceritakan bagaimana beliau tidak sanggup ponteng sekolah. Rajin ke sekolahpun bukan disebabkan mahu belajar, tetapi ke sekolah itu mempunyai banyak keseronokan. Bertemu dengan kawan-kawan sebaya, adalah antara sebab yang paling utama selain disediakan duit poket sebagai bekalan dan banyak lagi sebab lain. Pernah satu ketika menurut bos, ibu mahu membawanya ke pekan untuk membeli kasut. Tetapi bos tidak mahu ponteng sekolah. Ibunya bertegas membawanya, dengan berhujah "Kalau kau ponteng sekolahpun hari ini.....tidak juga kau terus jadi guru!". Gambaran yang diberikan ibunya adalah ponteng satu hari, tidaklah akan terus menjadikan dirinya bodoh atau tidak pandai. Namun ironinya, kata bos lagi....hari ini gurulah yang menjadi kerjayanya.

Semua senario di atas mempunyai tafsiran makna yang pelbagai. Dalam konteks membandingkan pencapaian pelajar hari ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan serta pencapaian pelajar pada masa dahulu dengan segala serba-serbi kekurangan....antara yang boleh kita fikirkan!. Anda mungkin mempunyai tafsiran sendiri. Namun pada saya, kombinasi guru dan ibubapa adalah amat penting. Dalam kehidupan pelajar, hanya dua destinasi akhir dalam aktiviti kehidupan mereka. Di rumah dan di sekolah!. Jika di rumah...ibubapalah yang menjadi guru dan jika di sekolah gurulah yang menjadi ibubapanya!. Jika ini benar, maka hampir mustahil berlaku kegagalan....!. Ketirisan salah satunya, memungkinkan senario yang songsang berlaku!. Demikian halnya.....pada hemat saya!. Apa lagi ?.

Thursday, July 29, 2010

Hari Iktiraf 2010






Pagi tadi sekolah saya telah meraikan Sambutan Hari Iktiraf 2010, hari anugerah pelajar cemerlang sebagai kemuncak kepada pengiktirafan dan apresiasi kepada pelbagai pencapaian pelajar dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan pelbagai lagi. Pelbagai aktiviti telah diaturkan sepanjang program ini dijalankan, antaranya adalah Pameran Kerjaya yang dijayakan dengan kerjasama TLDM dan PDRM. Saya sendiri tidak ketinggalan untuk memperkenalkan dunia teleskop dan bidang astronomi kepada pelajar-pelajar sekolah.

Apa yang dapat saya nyatakan, sambutan sungguh menggalakkan dengan minat dan keterujaan pelajar ingin melihat objek di angkasaraya. Sayang sekali, cuaca agak tidak mengizinkan. Langit dipenuhi awan, cuma sekali sekala dapat meneropong matahari, itupun dengan permukaan yang sedikit kabur kerana lapisan awan. Saya sendiri berasa cukup kecewa kerana tidak dapat merakamkan gambar matahari yang mengandungi titik hitam ( sunspot ) pada pagi ini.

Walaupun sekejap, saya beri peluang anak-anak murid saya meneropong matahari disamping membuat sedikit penerangan tetang beberapa fenomena alam yang pelajar-pelajar musykilkan. Saya berpuashati.........walau tidak semua berkesempatan meneropong matahari, tetapi ada juga yang memilih meneropong objek di bumi. Asal dapat meneropong kata mereka...!. Ibubapa pelajarpun ada yang join sekali dengan pelajar cuba melihat matahari...!

Sunday, July 25, 2010

Yang arif....

Saya teringat dialog Wahid senario, dalam salah satu babak Wahid mengajar orang berenang, filem Senario yang mana satu...lupa sudah. "Untuk belajar berenang, kita mestilah tahu berenang!". Demikian lebih kurang dialog Wahid kepada peserta yang baru hendak belajar berenang. Kelihatan lucu ( memangpun filem Senario mana ada yang tak lucu.. ), tetapi jika difikirkan dalam-dalam, dari sudut yang membina dan membangun, kata-kata Wahid itu sedikit bertenaga dan mendorong!.

Logik akal, orang yang baru hendak belajar berenang, tentu sahajalah tidak tahu berenang!. Saya tidaklah mentafsirkannya begitu, tetapi melihat dari sudut positif, agaknya suatu yang pasti....untuk kita terlibat dalam sesuatu perkara kita mestilah mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita akan ceburi. Berapa ramai kalangan kita yang tidak menyedari posisi kita yang sebegini, tetapi sedang berada dalam posisi itu. Saya maksudkan, khususnya dalam konteks berkerjaya. Bekerja sebagai kakitangan awam tetapi tugas-tugas yang dilakukannya mempamerkan yang sebaliknya.....

Ada yang berperanan tetapi tidak memainkan peranannya yang sebenar. Bahasa mudahnya, membuat kerja orang lain, sedang kerja sendiri tidak disempurnakan!. Pada tahap inilah timbul masalah. Bertugas sebagai pengajar tetapi tidak membuat kerja-kerja mengajar. Bertugas sebagai pegawai pentadbir tetapi mempamer susuk tubuh orang politik. Bekerja sebagai usahawan tetapi bertugas bagai raja yang menguasai segalanya.

Pemandangan yang mungkin kerap kita perhatikan, pemandu kereta yang perasan berada di litar lumba Formula One. Guru yang menyangka pelajarnya serba tahu dan pelajar yang perasan dirinya lebih pandai daripada gurunya. Banyak lagi situasi sebegini yang mungkin berada dihadapan mata kita. Terserahlah kepada tafsiran diri kita masing-masing menanggapi situasi ini, tetapi pada saya......sekiranya kita berusaha untuk menceburi sesuatu bidang, maka selayaknya kita mengarifi bidang tersebut walaupun amat kurang pengetahuan tentangnya. Tetapi di satu sudut yang lain, janganlah kita berlagak serba tahu sesuatu hal, sedang sebenarnya......kita tahu kulitnya sahaja!.

Benar atau tidak.....lu fikirlah sendiri!.

Saturday, July 24, 2010

Friday, July 23, 2010

See it, learn it and don't do it..!

8.20 pagi tepat berada di Ruang Menunggu, Toyota Services, Tawau. Nak service MyVios. Bertolak seawal pagi, hasrat hati nak sampai awal dan boleh corat-coret sesuatu dalam blog pagi ini. Tetapi dalam perjalanan tadipun….dapat menyaksikan gelagat manusia yang terkejar-

kejar ( termasuk saya la juga... ) agaknya untuk sampai tepat pada masanya ke destinasi masing-masing. Saya yakin ada kalangan mereka adalah kakitangan kerajaan yang bekerja dari daerah sekitar dan datang ke pejabat yang berada di Tawau. Jadi tak heranlah jika suasananya meriah seawal pagi begini.

Tetapi apa yang cukup menarik perhatian saya adalah wajah-wajah manusia yang terlalu mementingkan diri. Dalam usaha hendak cepat sampai, terpamer watak sebenar segelintir manusia yang hanya tahu mementingkan diri sendiri. Walau apapun alasan yang diberikan, berpada-padalah apabila mengambil kesempatan. Saya tidak berniat menghalalkan watak manusia sebegini.

Cuma...... janganlah sehingga hampir memudaratkan orang lain. Sudahlah memotong jalan orang lain, memotong pula tidak menggunakan tanda isyarat. Dah la tu.....muka selamba saja, langsung tak terpamer wajah rasa bersalah dan memohon kemaafan. Atau paling common pun....angkat tangan sebgaai tanda mohon kebenaran kerana nak cepat dan seumpamanya. Terkadang.....saya cuba memujuk diri untuk berilah 'peluang' kepada orang begini, namun tidak kurang juga rasa 'meluat' melihat manusia jenis 'mementingkan diri sendiri' ini.

Akhirnya, saya teringat kata pengetua saya, 'tidak semua perkara yang boleh kita selesaikan!'. Ada juga benarnya.....dan pengalaman pagi ini adalah antara 'yang tak boleh kita selesaikan itu'. Saya hanya meyakini suatu perkara dalam hal ini. 'See it, learn it and don't do it.......sekurang-kurangnya pada diri sendiri!. Orang lain akan mungkin akan 'mencontohi' agaknya, kalaupun tidak merasa malu melakukan perbuatan 'mementingkan diri sendiri'. Ok...

Thursday, July 22, 2010

Itjimak planet-planet di langit menjelang Ramadhan!

Saya berkongsi keterujaan Falak Online menyaksikan fenomena planet yang sedang 'terkinja-kinja' di angkasaraya, yang sedang melalui peredaran mengelilingi matahari. Kemeriahan angkasaraya menjelang tibanya bulan mulia, Ramadhan Al-Mubarak seolah-olah turut sama meraikan kehadiran bulan penuh barakah ini.

Tentu sahaja bagi para penggemar dunia ini, hari-hari mendatang 'menjanjikan' peluang melihat kehadiran planet dalam posisi yang cukup menarik. Saya sendiri......dalam teraba-raba mencari info tentang fenomena ini, tentu sahaja menantikan maklumat berharga dari En. Shah di Falak Online!

Nasib baiklah ada Stellarium yang boleh memberi gambaran awal fenomena angkasaraya dari semasa ke semasa. Dengan bantuan perisian yang informatif dan boleh dipercayai ini, dalam saya......mengharapkan sesuatu....untuk di teropong!.

Jom...teropong angkasaraya!

Thursday, July 15, 2010

Easter Island Solar Eclipse

Misteri Ahu Tongariki....




Lokasi Gerhana Penuh Matahari yang berlaku semalam membawa saya menjelajahi Kepulauan Easter yang terletak di hemisfera selatan. Kepulauan Easter yang mempunyai 885 patung gergasi yang dibina daripada batuan keras membawa saya menjelajah kepulauan ini melalui Google Earth. Penuh misteri!. Pulau Easter ini hanya boleh dimasuki melalui Chile dengan populasi lebih kurang 4000 orang. Saban tahun, pelancong yang mengunjungi pulau ini lebih ramai daripada penduduk asal pulau. Jom....cari maklumatnya di Wikipedia....dan sumber iternet lainnya.

Gerhana Matahari & Easter Island!

Gambar yang diambil dari Laman Astronomy Picture of the day tentang fenomena semalam yang berlaku di kawasan kepulauan Easter menuju ke selatan Chile dan Argentina. Fenomena gerhana penuh matahari ini adalah yang kedua berlaku pada tahun ini. Fenomena alam yang berlaku di pulau yang mengandungi 885 patung besar ini berlaku lebih 4 minit.

Hidup...Guru Tuisyen!

Semalam saya menonton sebuah filem lama lakonan dan arahan Denzel Washington, Antwone Fisher. Mengisahkan seorang pemuda kulit hitam yang dilahirkan oleh ibu yang sedang merengkok dalam penjara. Tetapi plot ceritanya banyak berkisar pada perjalanan watak pemuda berkenaan, Antwone Fisher yang sudahpun menjadi anggota tentera laut ( Navy ). Soal keyakinan dan harga diri menghadapi masyarakat sekeliling yang dipaparkan melalui watak Antwone sungguh mengesankan. Tidak mudah sebenarnya untuk kita berhadapan situasi Antwone, melalui perjalanan hidupnya yang sentiasa berada dalam keadaan kalah dan bertahan.


Digambarkan lewat watak Antwone, dari zaman kanak-kanak maruah dan harga dirinya cuba diragut dari dalam dirinya. Tinggal pula dengan keluarga angkat, Puan Tate yang tidak pernah menghargai dirinya sebagai manusia yang sedang meningkat dewasa. Sehinggalah Antwone memasuki alam pekerjaan sebagai anggota tentera laut, Antwone berjaya mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa kehilangan harga diri. Semasa menjalani latihan disinilah, Antwone bertemu dengan Komander Tentera yang bertugas sebagai doktor Psikiatri.


Watak doktor psikiatri lakonan Danzel Washington inilah yang banyak mengubah dan memperteguh beberapa nilai dan pegangan Antwone terhadap banyak perkara. Doktor ini berjaya menyelami dan memahami diri Antwone sehinggalah mendorong nya uuntuk mencari keluarga sebenarnya di Cleveland. Tetapi tanpa disedari Antwone, doktor psikiatri berkenaanpun rupa-rupanya ‘mempelajari’ sesuatu daripada kepayahan Antwone. Salah satu dialog yang saya terkesan dalam filem ini adalah kata-kata doktor berkenaan kepada Antwone, “Jangan biarkan duniamu dipenuhi dendam, sungguhpun dunia berlaku kejam kepadamu”. Pada akhirnya, Antwone berjaya menemui keluarga sebenarnya dan berjaya mengharungi kepayahan dan kesukaran hidup yang dilaluinya.


Mungkin itu sekadar suatu cerita pada kebanyakan kita. Tetapi sebagai manusia, selayaknya kita mempelajari sesuatu daripada cerita ini. Perbincangan dengan rakan-rakan forum beberapa ketika yang lalu berpadanan dengan cerita Antwone Fisher ini. Pada saya, watak Antwone Fisher mengusung mesej yang sarat dengan penghargaan kepada maruah dan harga diri. Sungguhpun kita merasakan diri kita kerdil dan hina, tetapi selayaknya kita tidak mengkhianati diri dengan terus membiarkan diri terjerumus dalam keadaan dan situasi gagal.


Kita beraksilah selayaknya sesuai dengan keadaan diri kita. Kalau kita merasakan diri kita insan yang malang, percayalah ada lagi yang lebih malang dari keadaan kita. Demikian sebaliknya, jika kita merasakan diri kita adalah manusia yang cukup bertuah, sekali lagi, percayalah ada lagi manusia yang cukup bertuah. Kenyataan ini bukanlah bermaksud, tidak payahlah kita memiliki rasa bertuah atau tidak bertuah itu. Sebagai manusia biasa, naluri itu juga ada nilai dan harganya dalam kita membina kualiti dan harga diri…….menjadikan kita manusia sederhana!. Namun yang lebih penting lagi, setiap tapak kaki yang telah kita tinggalkan dalam perjalanan kita menghadapi hidup mendatang, tetap memberikan kesan, sungguhpun kesan tapak kaki itu sudah hilang dari pandangan.


Sebab itulah….pengalaman lalu adalah universiti yang cukup mendewasakan!. Lantas, jangan menyalahkan diri atas segala apa yang telah berlaku…pada masa lalu. Hargailah….pengalaman itu, ‘guru tuisyen’ yang pernah kita singgahi dan antara rancangan yang tidak pernah kita rancang!. Pengalamanlah yang banyak menyumbang kepada watak kita hari ini. Kita fikirlah bersama....

Tuesday, July 6, 2010

Akukah......Ayah..!

Malam tadi saya isi masa dengan bermain badminton bersama rakan-rakan sepejabat. Bos pun ikut bermain malam ini. Saya sendiri turun bersama dengan anak-anak. Sebagaimana kelaziman sebelum ini, saya memang menjadikan jadual saya bermain badminton sebagai ‘reward’ kepada anak-anak kerana kerja keras mereka bersekolah. Kecuali jika mereka mempunyai kerja sekolah yang banyak, kebiasaannya saya membenarkan mereka ‘joint’ main sekali. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka berseronok bersama teman-teman mereka di dewan permainan, dan menghilangkan sedikit suasana buku dan sekolah. Demikian saya mengiakan pemergian mereka.

Tiba-tiba juga saya merindui anak sulung saya, kakak Anis. Begitu cepatnya masa berlalu. Masih terasa seolah-olah baru semalam kakak beralih remaja. Saya terfikir sendiri, betapa saya telah membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Wajah kanak-kanak kakak Anis seakan masih terbayang. Saya sebak……mengenangkannya!. Seakan sukar untuk saya mempercayai….saya telah kehilangan ‘masa kanak-kanak’ anak sulung saya itu. Dalam nada sebak ini, saya cuba mencari butir-butir kenangan yang pernah saya lalui bersama kakak anis. Sukar rasanya……menzahirkan butiran kisah itu.

Mungkin juga disebabkan dalam sehari dua ini, dalam perbincangan dengan teman-teman antara topik yang sering disentuh adalah anak-anak yang sebenarnya ‘amanah’ yang perlu dijayakan!. Sedar atau tidak, saya mengakui betapa anak sulung saya inilah juga ‘guru’ yang mendewasakan saya dalam seni mendidik dan mendewasakan anak-anak. Karenah kakak Anis pada masa kecilnya sehinggalah membesar…….tentu sahaja banyak mencabar kesabaran. Apatah lagi dengan dirinya…..saya mengalami pengalaman pertama dalam kampus Universiti Keibubapaan. Cabaran dan kesabaran itulah tentunya menghidangkan pelbagai resepi yang mematangkan gaya keibubapaan yang saya anuti kini.

Tentu sahaja ‘kerinduan’ ini terjelma dengan suatu kisah. Sehingga ke saat inipun saya masih tidak mampu menyatakan dengan yakin, apakah saya telah melakukan yang terbaik kepada kakak Anis. Berkeliaran persoalan. Betapa seni keibubapaan itu suatu yang banyak bunga silatnya. Betapa setiap detik bersama anak-anak itu rupanya adalah lembaran-lembaran kerja yang perlu kita siapkan. Betapa persefahaman dengan sang pasangan kita itu adalah melewati batasan……’makna pasangan’ dan banyak lagi persoalan-persoalan lain yang menyangkut masa depan dan kehidupan dewasa mereka kelak.

Benar kata teman saya, mengapa kita begitu cuai menanggapi anak-anak dan pasangan kita, sedangkan mereka inilah yang akan ‘setia’ menghantar kita ke liang lahat. Mereka ini jugalah yang boleh kita harapkan untuk menghantar 'bekalan dan bantuan' dalam menuju penghisaban-Nya. Bagaimana mengukur usaha kita…..mungkin bukan persoalan yang perlu dijawab. Secara peribadi….kita lakukanlah yang terbaik untuk anak-anak. Kebaikan kepada mereka itu boleh sahaja dalam pelbagai rupa dan wajah.

Pada kerinduan ini, melihat anak orang bagai anak sendiri……..mungkin antara kebaikan yang boleh kita titipkan untuk anak-anak kita sendiri. Di angin lalu……..mari kita berseru, moga-moga kebaikan itu menyapa mesra anak-anak kita!. Terima kasih…..anak-anakku! Kehadiran kalian…….memperkayakanku. Ummi anak-anakku! Terima kasih kerana kesiap-siagaan mendepani bola tanggung dan pukulan pancung yang silang menyilang. Tanpamu….rasanya sudah lama saya terkeluar dari pertandingan!. Terima kasih Ayah dan Mak!. Teristimewa untuk Kakak Anis…..selamat belajar menjadi manusia!.

Monday, July 5, 2010

Apa maknanya...!

Berpendirian........

Semalam, sekembali dari SMS Lahad Datu, selepas melepaskan lelah sesantapan hidangan mengatur pula pertemuan bersama teman-teman. Pertemuan pagi semalam dirasakan tidak maksima. Sebelum meninggalkan Seri Ilham, sempat juga isteri menzahirkan rasa hatinya, ramadhan tahun ini nanti…..adalah ramadhan pertama kali kakak Anis tidak bersama-sama berpuasa dan berbuka di Seri Ilham. Saya mengiyakan dalam hati, tetapi segera ‘membunuh’ rasa bersalah itu kerana saya meyakini kakak sedang dalam proses ujian universiti pengalaman.

Pertemuan semalam juga menghasilkan pelbagai gagasan yang juga menarik untuk dibahaskan.

Seringkali mudah untuk kita berkata ‘berlapang dada, terbuka, memberi kritikan membina dan seumpamanya’. Tetapi menyatakan kata-kata itu tidak semudah kita melafazkan. Sememangnyalah perbincangan dan perbahasan terbuka turut sama mengundang pertentangan pendapat. Sebagaimana kelaziman dalam berbahas unsur pro dan kontra menjadi fakta perdebatan.

Tetapi dalam menyempurnakan kitaran lengkap sebuah perbincangan dan perdebatan, suatu yang patut kita hormati adalah ‘kemandirian’ pendapat orang lain terhadap diri kita atau apa sahaja subjek perbincangan yang menjadi ‘punching bag’. Jika kita ingin sampai ke tahap ‘kesempurnaan’ agaknya kita harus menghamparkan ‘gelanggang’ yang lebih luas dan selesa untuk membolehkan sesuatu perkara itu dibahas semasak-masaknya. Semacam sudah menjadi rukun, pada ketika kita mahu kritikan tajam dan bernas, maka selayaknya kita membiarkan diri berada dalam posisi ‘bola tanggung’.

Sebab itulah, bukan calang-calang orang yang boleh menerima kritikan tetapi masih mampu mengukirkan senyuman. Apatah lagi yang menerima kritikan itu sendiri adalah diri dan keperibadiannya. Namun bagi seorang yang berjiwa besar, tentunya perkara ini ada modul dan formulanya. Secara peribadi, sampai pada satu tahap kita harus berani mengisytiharkan ‘keterbukaan’ kita menerima teguran dan kritikan. Tetapi pada masa yang sama, tentu sahaja kita telahpun ‘meyakini’ satu set pendapat atau pendirian kita sendiri.

Tanpa perlu untuk kita ‘menzahirkan’ pendirian tegas kita terhadap apa yang kita yakini, adalah suatu ‘bonus’ sekiranya perbincangan dan perbahasan itu cukup tajam dan bernas, sehingga sampai ke tahap kita menilai semula set pendirian dan kefahaman kita. Natijah daripada keadaan ini tentu sahaja memberikan kelebihan kepada kita. Pertamanya, kita tidak perlu bertegang leher menegakkan pendapat masing-masing, dan memungkinkan teman-teman yang menjadi rakan forum kita tidak akan menjauhkan diri.

Kedua, sudah tentu subjek perbincangan itu akan melalui fasa muhasabah diri, yang tentu sahaja akan lebih menyempurnakannya lagi. Atau selemah-lemahnya berlaku proses penambahbaikan. Perkara ketiga, perdebatan itu sendiri memperkaya sudut pandang atau perspektif kita masing-masing. Pada hemat saya, perkara inilah yang akan menjurus kepada lahirnya medan makna ‘berpendirian’. Tentu sahaja ada beza antara ‘berpendirian’ yang telah melalui fasa bahas dan debat dengan ‘berpendirian’ yang tidak disandarkan kepada kepelbagaian sudut pandang. Berpendirian yang melalui fasa bahas dan debat itulah yang rasanya berupaya menerbitkan beberapa nilai baik seperti berlapang dada, berfikiran positif, istiqamah dan seumpamanya. Anda setuju atau tidak bukan persoalannya, tetapi bagaimana ‘pendirian’ anda terhadap perkara itu……anda sahajalah yang tafsir dan fahamkannya.

Sunday, July 4, 2010

Relevankah.....

Pagi ini agak kecewa berikutan kekalahan pasukan pilihan Argentina kepada Germany semalam. Jaringan padang 4-0 bukanlah penangan yang mudah untuk diterima. Tetapi saya menyedari kekecewaaan saya tidaklah seberapa berbanding kekecewaan yang ditanggung oleh Diego Armando Maradona. Ha..ha….. pada saya akhirnya, ……saya terpaksa mencari team baru untuk disokong. Daripada empat pasukan yang layak beraksi di peringkat separuh akhir, nampaknya saya memilih untuk bersama pasukan yang membelasah ‘pasukan saya’ semalam. Germany!. Agaknya…….

Sebelum bertolak ke SMS Lahad Datu, sempat juga bersarapan pagi bersama sahabat saya, Dr. Minda Ilmu. Perbincangan yang mengisi pertemuan kami menyangkut daerah perbincangan yang luas. Pembangunan diri, ilmu, politik, selera makan dan banyak lagi. Tetapi saya tertarik dengan istilah ‘merelevankan diri’ yang digunakan dalam perbincangan pagi tadi. Tetapi sudut aplikasinya mungkin berbeza.

Pada saya ‘merelevankan diri’ adalah suatu perkara yang harus dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira tingkat dan darjat seseorang. Saya tekankan ‘tanpa mengira tingkat dan darjat’ kerana ia bersangkutan dengan tahap tafsiran seseorang ‘melihat’ sesuatu. Berapa ramai dikalangan kita yang terkesan melihat seorang kanak-kanak yang berkeadaan tidak terurus sedang ‘tekun’ menyelongkar sesuatu ditempat pembuangan sampah. Pasti…..ada sesuatu yang ingin dicarinya.

Demikian juga berapa ramai dikalangan kita yang membuat ‘penghormatan’ apabila mendengar lagu Negaraku atau melihat bendera Jalur Gemilang sungguhpun dalam keadaan diluar kebiasaan!. Tidak rasa terpanggilkah kita untuk menegur ‘orang lain’ yang kelihatan memperlekeh orang lain yang membuat penghormatan kepada lambang-lambang kebesaran dan kemegahan Negara ini.

Pada kedua-dua situasi diatas, apakah ‘reaksi’ kita menghadapinya. Tentu sahaja jika kita mempunyai ‘autoriti’, ada kemungkinan kita menegur atau menasihat atau sekonyong-konyong mencampuri ‘urusan’ berkenaan. Tetapi….. pada kebanyakan situasi kita tidak mempunyai ‘autoriti’. Lantas, wajarkah kita membiarkan sahaja ‘peristiwa’ itu berlalu begitu sahaja. Bagaimana pendirian anda ?.

Mungkin, selemah-lemahnya kita ‘memanfaatkan’ peristiwa itu dengan ‘mengkisahkannya’ kepada anak-anak kita. Saya tegaskan, bukan selemah-lemahnya, tetapi sebijaknya. Mengapa anak-anak kita?. Alasannya mudah, kemungkinannya…..kerana dengan merekalah kita mempunyai ‘autoriti’. Apa mesej setiap peristiwa ini….terserah sahaja kepada tafsiran dan perspektif masing-masing. Tetapi yang jelas, setiap ‘peristiwa’ yang berlaku disekeliling kita harus direlevankan dengan diri dan medan pengaruh kita!. Saya sendiri tidak pasti sama ada sudut pandang ini relevan dengan anda. Tetapi…mari kita relevankan diri masing-masing!.