Saturday, December 20, 2008

Lok Kawi Wildlife Park...

Masa senggang hari khamis lalu diisi dengan membawa anak-anak ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi. Anak-anak yang ingin sangat lihat harimau dan gajah dalam 'real'nya. Anis Ilyana dan Anis Sofiah mahu naik gajah!. Rupanya, sesi menunggang gajah itu hanya dibuat pada setiap hujung minggu sahaja. Melepas..... .

Tapi mereka cukup seronok kerana dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai binatang liar yang ada di taman ini. Harimau, gajah, kuda belang, beruang, badak, rusa, kijang dan beberapa spesies pelanduk. Sempat juga bercerita kepada anak-anak tentang pengalaman memburu pelanduk pada masa saya kanak-kanak, suatu ketika dahulu. Daging Sang Kancil ini memang sedap dimasak rebus berserai begitu sahaja..... .

Berliur la juga tengok sang kancil ini seperti jinak sahaja. Langsung tidak menunjukkan reaksi takut kepada manusia yang datang memerhatikan mereka. Mungkin juga kesan dari kebiasaan mereka menerima kunjungan dari para pelawat membuatkan mereka lali dengan semua situasi itu.

Sesi lawatan ke Aviari Burung, cukup menarik. Pelbagai spesies burung terdapat disini. Jenuh rasanya menjadi pemandu pelancong kepada anak-anak yang banyak bertanya nama-nama burung yang ada disana. Spesies Burung Merak dan burung Tiung adalah antara yang menarik!.

Memang benar...... kita perlu sama-sama menjaga kemudahan taman seperti Lok Kawi Wildlife Park ini, kerana generasi hari ini tidak mungkin akan tahu pelbagai fauna dan flora jika kita tidak meninggalkan warisan lengkap seperti ini. Benarlah dunia sudah semakin tua!.




Tuesday, December 16, 2008

PGC & Air Panas Poring !

Semalam ( isnin ) kami menghabiskan masa di 2 lokasi yang cukup menarik untuk membawa keluarga dan anak-anak bercuti, PGC & Air Panas Poring. Philip Garden Chalet ( PGC ), sebenarnya bukan lokasi pilihan untuk penginapan. Tetapi sesampai sahaja di Kundasang ( Journey for Change 4 ), hotel dan resort yang biasa tempat menginap telah penuh. Memang sahlah orang semua bercuti sakan.

Lantas, kamipun cuba menghubungi resort lain. Salah satu papan tanda yang ada ditepi jalan dekat Pasar Sayur Kundasang ialah papan tanda PGC. Masa tu dah menunjukkan dekat pukul 4 petang. Kami bernasib baik masih ada lagi chalet yang kosong. Kamipun mula mencari PGC, yang dimaklumkan bersebelahan Pusat Latihan Dakwah Kundasang. Memang jauh la ni…!. Terdetik dalam hati!.

Sesampai di PGC, rasa cukup puas hati, sungguhpun sewanya bagi saya agak mahal, RM350.00!. Tetapi chaletnya mempunyai 2 bilik tidur, ruang tamu yang luas, dapur yang lengkap dan yang paling menarik adalah pemandangan yang sungguh cantik, pemandangan gunung kinabalu dan sekitarnya yang jelas kelihatan dari sini. Cuma….sejuknya bukan kepalang le…..bagi kita yang tak biasa kesejukkan !.















































Petangnya, kami pergi pula ke Poring Hot Spring!. Kali terakhir saya ke sini lebih kurang 10 tahun lalu. Masa tu ‘honeymoon’ bersama orang rumah. Terkenang kisah la juga….! Poring ini banyak sangat sudah perubahannya. Selain kolam mandi terbuka dan tab mandi ( ada atap sudah…! ), sudah kolam mandi berbayar yang kelihatannya seperti taman tema air. Selain itu, banyak sudah kemudahan disediakan. Tandaspun nampaknya sudah dipertingkatkan kualitinya. Anak-anakpun, apa lagi bila sudah nampak kolam…….!. Tapi perlu diingat, tempat parking keretapun tidak cukup, apa lagi kolam didalam. Kami menunggu lebih kurang 30 minit untuk dapat tab mandi tu!

Selain itu, sudah ada Taman Rama-rama ( Butterfly Farm ) dan Titian Kanopi ( Canopy Walk ). Saya terasa nak juga menghirup udara segar dihutan ( sudah agak lama tak merasai suasana itu…. ). Titian Kanopi, itu yang paling mencabar..! Jumpa lagi dalam updated yang seterusnya !














Sunday, December 14, 2008

Siri Journey for Change 4!

Tarikh : 14 Disember 2008 ( Ahad )
Lokasi : SM. Teknik Lahad Datu
Destinasi : Philip Garden Resort, Kundasang
Masa Bertolak : 10.00 Pagi
Masa Tiba : 03.22 Petang
Check-point : Hutan Simpan Pinangah, Telupid.

Semalam ( sabtu ) sengaja digunakan untuk berehat, selain untuk diri dan 'ahli rombongan', juga untuk kereta saya, Vios ( mestilah disayang juga.... ). Hari ini perjalanan pula sengaja dimulakan lewat dan santai. Perjalanan kami hanya dalam 90 km/j, malam tadi orang rumah sibuk menyiapkan masakan untuk santapan dalam perjalanan nanti. Rancangannya tak payahlah singgah dimana-mana untuk makan.

Perjalanan seperti biasa juga, tiada apa-apa yang menarik. Tetapi suatu yang pasti, jalan raya yang kami lalui semakin elok nampaknya. Tidak seperti biasa, lopak sana lopak sini. Terkenang kisah la juga.... pengalaman sebelum ini yang selalu 'travel' dengan jalan darat, banyak betul lokasi jalan yang rosak.

Perubahan !. Memang banyak perubahan. Pekan Kota Kinabatangan kini sudah mempunyai masjid daerahnya sendiri. Indah tersergam di atas bukit bersebelahan Hospital Kinabatangan. Saya akan ulas dalam updated mesej saya yang akan datang. Banyak sangat idea sehinggakan tak tahu mana satu yang nak dimasukkan......

Kami berhenti makan ditepi jalan dikawasan Hutan Simpan Pinangah, Telupid. Anak-anak memang seronok sungguh makan dalam keadaan begini. Hinggakan makan berhamparkan newspaper pun dipanggil restoran juga ( he...he.... ). Selepas itu,terus menyambung perjalanan ke Kundasang dan mencari dimana lokasi Philip Garden Resort ( PGR ). Saya akan masukan 'entry' khas untuk PGR ini dalam updated akan datang. I just can say, PGR is a nice place for family holiday!.

Updated inipun dah 3 kali cuba di'published' dalam blog dari malam tadi lagi, tetapi ini sahaja masalah nampaknya. Gambar-gambar saya akan masukkan kemudian. Line tak berapa baik!.

















Mengajar Secara Berkesan !

Menjelang lebih kurang 3 minggu lagi sebelum buka sekolah, untuk sesiapa sahaja rakan seprofesion, saya menganjurkan miliki dan bacalah buku 'Mengajar Secara Efektif' yang diterjemahkan dari teks asal bertajuk 'Successful Teaching'.

Buku ini membicarakan dengan padat aspek kemahiran asas pengajaran dan panduan mengenai keperluan sumber yang terhad. Secara ringkas tetapi padat, penulis juga membicarakan bagaimana menjelmakan motivasi untuk pelajar, perancangan mata pelajaran, organisasi dan pengurusan bilik darjah, penggunaan bahan pengajaran, penglibatan pelajar, kerja rumah dan persediaan untuk peperiksaan.
Secara ringkas, buku kecil ini memberikan segaran kepada sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam profesion ini. Perbincangan secara ringan dan bersahaja, tetapi mencukupi untuk memahami mesej yang cuba disampaikan. Buku karya asal Bryan Coombs ini diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia ( ITNM ), sesuai dibaca oleh para guru dan bakal guru untuk meningkatkan kemahiran mengajar di dalam bilik darjah.

Buku ini boleh dibeli secara on-line di http://www.e-kedai.net pada harga RM 25.00 sahaja, atau menempah terus dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia di http://www.itnm.com.my. Selamat membaca dan membuat segaran sebagai persediaan mengajar anak bangsa untuk sesi 2009 !.

Saturday, December 13, 2008

Siri Journey for Change 3!

Tarikh : 12 Disember 2008 ( Jumaat )
Lokasi : Sahabat Beach Resort, Bandar Sahabat 16.
Destinasi : SM. Teknik Lahad Datu
Masa Bertolak : 11.00 Pagi
Masa Tiba : 05.45 Petang
Check-point : Bandar Anjung Teduh.

Semalaman saya melayari internet menjelajah banyak laman web yang menarik. Favourite Folder saya penuh berselerak dengan bookmark website yang entah boleh dibuka lagi atau tidak. Antaranya yang menarik perhatian saya adalah laman Free e-book. Saya bookmark 4 – 5 laman berkaitan e-book ini. Hasrat hati nak login as a member!.

Pagi ini, anak-anak memulakan aktiviti dengan pergi ke taman permainan kanak-kanak. Sarapan pagi ringkas hanya diambil dibilik sahaja. Terasa malas nak bergerak ke cafĂ© resort. Saya sendiri mengambil kesempatan berendam dalam kolam seawal jam 8.45 pagi lagi. Siraman cahaya mentari pagi ‘cukup’ sesuai untuk saya berendam. Jam 10.15 pagi barulah saya meninggalkan kolam untuk persiapan balik. Rancangan asalnya nak ‘stay here’ sehari lagi, tapi ‘ahli-ahli rombongan’ saya mahu ke destinasi lain pula!.

Perjalanan balik kami singgah di Bandar Anjung Teduh. Ziarah sanak saudara disini. Anak-anak sangat gembira bertemu dengan sepupu mereka. Selesai sembahyang Jumaat dan makan tengahari disini, ambil kesempatan terlelap sedikit ( semalam tak tidur….. ) dan memulakan perjalanan balik ke destinasi pada jam 3.55 petang. Sepanjang perjalanan, adalah juga ambil gambar disamping menikmati suasana perjalanan. Sempat singgah sekejap membeli ikan segar digerai tepi jalan dekat Tungku sambil menikmati pemandangan laut lepas dan Pulau Bohey Dulang yang berbalam-balam dari jalan utama ke Lahad Datu ini.

Sambil menunggu ikan disiang, penjual ikan sempat jua bercerita tentang ‘business’ jual ikan mereka yang kadang-kadang membawa mereka sehingga ke Tambisan untuk menangkap ikan. Perjalanan diteruskan, singgah di Bandar sekejap sebelum sampai ke destinasi tepat pada jam 5.45 petang. Penat dan nak berehat sungguh!. Mesej dari Journey for Change 1 – 3 ini saya masukkan kemudian!.

Thursday, December 11, 2008

Siri Journey for Change 2!

Tarikh : 11 Disember 2008 ( Khamis )
Lokasi : SM. Teknik Lahad Datu
Destinasi : Sahabat Beach Resort, Bandar Sahabat 16
Masa Bertolak : 10.00 Pagi
Masa Tiba : 12.30 Tengahari
Check-point : Pantai Bandar Sahabat 16.

Sama seperti perjalanan semalam, perjalanan hari ini diiringi hujan yang kadang kala lebat atau renyai-renyai silih berganti sehingga tiba ke destinasi. Sebelum meneruskan perjalanan singgah sebentar di Guardian, Lahad Datu membeli sedikit barang keperluan untuk perjalanan hari ini. Rasanya kali terakhir berkunjung ke Bandar Sahabat 16 ini lebih kurang 4 – 5 tahun yang lalu. Memang saya menjangkakan terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh itu. Pola perubahan yang dapat dilihat tentunya hanya pada perubahan fizikal. Azam saya untuk melihat agaknya, apa-apa perubahan yang lain dari yang lain dan memberi impak yang bukan sedikit mungkin!.

Perjalanan melewati Bandar Lahad Datu, kelihatannya tiada apa-apa perubahan yang ‘fantastik’, melainkan perkembangan pesat Bandar Seri Perdana. Perjalanan sedikit perlahan tetapi lancar akhirnya melewati kawasan Tungku yang memang banyak yang sudah berubah !. Sambil memandu saya menganjurkan kepada 'ahli-ahli rombongan' untuk melihat-lihat kawasan sekitar tetapi mereka mencadangkan pula perjalanan balik nanti barulah 'menjelajah'.
Simpang terakhir ke Bandar Sahabat 16, hampir juga tersesat. Sesampai sahaja terus check-in di Sahabat Beach Resort. Sejurus kemudian bergegas terus ke pantai. Terasa lapar, makan sedikit sebagai alas perut sebelum memulakan proses bakar sayap ayam dan daging lembu ( habis semua proses diet yang diamalkan sebelum ini...he he.. ). Seronok juga melihat anak-anak mandi laut sambil 'mengipas' ayam bakar. Sekitar jam 3.45 petang pergi pula ke bilik dan membawa anak-anak mandi kolam pula. Apa lagi...... 'mereka' bagai lupa diri bila mendapat peluang sebegini. Sejurus itu, berkemas ke bilik dan saya terus membuat catatan ini. Rasanya, malam nanti saya akan membuat coretan mesej Journey for Change...sehingga setakat inilah....... !






Siri Journey for Change !

Tarikh : 10 Disember 2008 ( Rabu )
Lokasi : Seri Ilham
Destinasi : SM. Teknik Lahad Datu.
Masa Bertolak : 3.15 pm
Masa Tiba : 6.30 pm
Check-point : Gerai Buah Simpang Lembah Danum, Silam.

Sepanjang perjalanan yang santai dengan iringan hujan renyai-renyai, saya sengaja memilih perjalanan membawa anak-anak bercuti ini dengan niat untuk mencatatkannya. Tak ada apalah…..sekadar catatan. Tetapi saya merasakan rugi jika saya tidak merencanakan perjalanan ini.

Sudah agak lama saya tidak membuat perjalanan jauh bersama keluarga. Menjadi kebiasaan keluarga saya sebenarnya setiap kali mempunyai masa senggang sebegini, kami akan berbincang. Apatah lagi sudah agak lama kami tidak mengunjungi rumah keluarga saya di Puterajaya. Saya menjangkakan banyak sudah perubahan yang berlaku.

Dalam perjalanan, saya sempat singgah di Gerai Buah Simpang Lembah Danum, Silam. Sempat jugalah bersembang dengan penjual buah, Saudara Anthony. Cerita punya cerita, rupanya dia masih lagi belajar di SMK. Sepagaya, Lahad Datu. Terfikir juga ketabahannya, yang tinggal diperkampungan menuju ke Lembah Danum, tetapi bersekolah jauh di bandar. Tetapi yang paling mahal adalah pengalamannya melalui semua kesukaran ini, dia masih ceria mengisi masa cutinya dengan penuh berharga dan bermanfaat !. Sekurang-kurangnya kita tahu menghargai setiap kesempatan dalam kehidupan kita !




Tuesday, December 9, 2008

Novel Tuhan Manusia !

Saya sedang menekuni karya kreatif Saudara Faisal Tehrani. Karya Nan Indah dan Novel Tuhan Manusia. Saya hanya dapat nyatakan bahawa tulisan-tulisan Faisal Tehrani lewat novel-novelnya bukan merupakan penceritaan karya kreatif semata-mata.
Dalam buku Karya Nan Indah, Faisal Tehrani menjelaskan penulisan baginya adalah juga pentaakulan terhadap peristiwa benar yang terjadi di sekeliling. Fenomena yang melingkari kehidupan sendiri adalah merupakan sumber idea dan bahan penulisan yang cukup luas ‘saujana mata memandang’ untuk dinukilkan.

Novel Tuhan Manusia contohnya, mengkisahkan bagaimana seorang anak muda bernama Ali Taqi berhadapan dengan fenomena pertembungan fikrah dunia barat dan dunia Islam. Bersumberkan satu peristiwa yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu ( yang turut menjadi kebimbangan masyarakat hari ini ), Faisal Tehrani mengolah watak Ali Taqi menelusuri plot novel ini dengan catan watak yang cukup realistik.
Tetapi apa yang membezakan penulisan Faisal Tehrani daripada karya kreatif yang lain adalah penjelasan fakta sebenar yang diselitkan selari dengan perjalanan watak dalam novel ini.

“Masyarakat secara fitrah adalah pengikut kebenaran. Tetapi akan ada yang setia kepada kebatilan bukan kerana kebatilan itu kebenaran. Tetapi lebih kerana antara jambak kebatilan itu engkau cuba selitkan bunga kebenaran. Dan ini namanya fitnah !”. Dialog yang diucapkan Pak Mat, ayah Ali Taqi kepada Aris, watak peguam dalam novel ini ( m.s. 240 )

Jadinya, kita bukan sahaja membaca novel karya kreatif semata-mata, tetapi kita juga dihidangkan dengan penjelasan fakta yang sahih siap bersandar dalil dan penerangan yang komprehensif. Secara peribadi saya menjadikan novel beliau ini untuk bacaan ringan, tetapi nampaknya saya mendapat bonus yang berganda daripada pembacaan novel ini. Novel setebal 345 mukasurat ini boleh dibeli secara on-line di http://www.ujanailmu.com.my/ pada harga RM21.90. Selamat Menjamah Santapan Minda !

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil-Adha !
















Sederhana ada batasnya.
Jika berlebihan....... maka ia adalah kebakhilan.
Keberanian juga ada ukurannya.
Jika melebihi batas........namanya sembarangan !
Bersama menilai darjah pengorbanan.

Selamat Hari Raya Korban!

Friday, December 5, 2008

Pembelajaran Aktif!

Saya baru sahaja menamatkan pembacaan buku Pembelajaran Aktif : 101 Startegi Untuk Mengajar Apa Jua Subjek. Buku tulisan Prof. Dr. Mel Silberman ini telah diterjemahkan oleh Zainab Ahmad dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia ( ITNM ).

Teman-teman yang berminat mendalami profesionalisme keguruan, khususnya yang berada digarisan hadapan ( pengajaran di bilik-bilik darjah ), rasanya perlu dan sangat berbaloi memiliki buku yang sangat informatif ini. Penulis dengan gaya yang santai membicarakan segala langkah tentang teknik pembelajaran aktif. Buku setebal 295 halaman ini memuatkan 101 strategi pengajaran dan pembelajaran aktif, dan setiap satunya diberikan penerangan yang jelas langkah demi langkah. Lebih menarik lagi, penulis menganjurkan idea dan strategi inovatif pembelajaran aktif ini untuk disesuaikan dengan apa sahaja subjek yang ingin diajarkan.

Secara spesifik, buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian utama iaitu, Memperkenalkan Pembelajaran Aktif, Bagaimana Membuat Pelajar Aktif dari mula lagi, Bagaimana membantu pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap secara aktif dan bahagian akhir, bagaimana menjadikan pembelajaran suatu yang tidak dapat dilupakan.

Buku ini boleh dibeli secara on-line di laman sesawang http://www.e-kedai.net/ pada harga RM40.00. Mungkin agak mahal, tetapi rasanya cukup berbaloi dengan segaran idea yang dilontarkan buku kecil ini. Selamat Membaca!

Wednesday, December 3, 2008

Monday, December 1, 2008

Suatu Masa Dahulu....!

Pada 27 Nov. 2008 yang baru lalu, jam 10.09 pagi, saya terima SMS dari pada sahabat lama, Sdr. Roli Aliman. Ringkas dan cukup mengujakan!. “Akum, tuan c Benson tanya saya dan minta u buat program d Semporna untuk kumpul semua member tingkatan 6 90/91, tq”.

Menjelang bulan disember ini, episod 2008 hampir berakhir. Saya sebenarnya sedang menyiapkan satu artikel tentang diri yang hendak dimuatkan dalam blog, buat renungan diri sendiri. Cadangan teman-teman untuk nak buat program pertemuan dengan geng lama ini dah lama terlintas difikiran. Apatah lagi saya sendiri masih berhubungan dengan guru idola, Cikgu Suhaimi. Memang teringin hendak tahu apa dah jadi dengan kawan-kawan lama.

Lantas, sms saudara Roli ibarat ‘bola tanggung’, saya bingkas menghubungi beliau untuk sedikit perbincangan lanjut. Hasilnya kami sepakat menggunakan apa sahaja media yang ada untuk menghubungi teman-teman. Klasik sungguh bunyinya!. Cadangannya adalah seperti pada gambar yang disertakan ( klik aje jika tak berapa jelas ! ). Kepada teman-teman, saya menanti respon dari kalian! Waa....Chaaa !