Monday, February 20, 2012

Petakan Minda Anda....

Rasa penat perjalanan panjang semalam kembali ke Kota Pengkalan, masih terasa. Namun saya mesti memulihkan kembali tenaga untuk cergas melakukan tugasan yang lain. Semasa berpergian ke ibu negeri selama 4 hari, saya menerima panggilan telefon dari seorang rakan guru sebuah sekolah menengah di Kota Pengkalan. Memang saya sudah menjangkakan rasa penat dan keletihan ini, pada hari saya menerima undangan itu lagi. Namun semua itu harus ditolak ketepi kerana kesempatan berdiskusi dengan anak-anak lebih mengujakan. Lantas, pagi tadi seawal jam 8 pagi, saya cuba menyempurnakan hasrat undangan itu dengan harapan menggunung akan ada kalangan anak-anak ini yang terkesan dengan diskusi yang dijalankan.


Sama sebagaimana di SMK. Abdullah minggu lepas, perbincangan kemahiran belajar yang saya kendalikan cuba mencerahkan pemahaman pelajar tentang potensi yang mereka miliki. Saya perihalkan perbincangan pagi ini dengan paparan kisah Nick Vujicic, manusia tanpa tangan dan kaki, namun berkat usaha dan inisiatifnya yang bersungguh-sungguh, Nick mampu berdikari. Saya tegaskan kepada anak-anak pelajar musuh kita yang paling utama adalah melawan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Pada kebiasaannya, kita hanya bersungguh untuk berkorban melakukan perkara yang kita nampak hasilnya pada hari ini. Amat sukar untuk kita sanggup mengorbankan diri kita sendiri pada hari ini, untuk kesenangan kita pada hari esok ( masa depan kita ).


Sungguhpun tajuk yang diberikan kepada saya adalah konsep dan kaedah peta minda dalam pembelajaran, namun sedikit sahaja masa yang saya gunakan untuk membuat sedikit bengkel dan pencerahan bagaimana menghasilkan peta minda. Berbekalkan nota-nota ringkas yang pernah saya gunakan semasa bersekolah suatu ketika dahulu, saya cuba untuk memberi gambaran betapa kemahiran belajar yang betul membantu kita melalui proses pembelajaran yang santai dan menyeronokkan. Tunjuk cara menjadi lebih mudah dengan penggunaan iPad dan Noteself, membantu saya memberi pemahaman kepada 150 orang pelajar yang menghadiri Seminar Kemahiran Belajar ini.

Fasa penutup pagi tadi saya akhiri dengan sedikit tayangan video tentang perbandingan saiz planet dan matahari yang ada dalam sistem angkasaraya, yang lazimnya tidak ramai yang mengetahui hatta kalangan rakan-rakan guru sekalipun. Sebagaimana lazimnya, anak-anak pelajar mempamer rasa heran dan termanggu lantaran tidak mengetahui perkara ini. Namun saya tegaskan diakhirnya, usah kita merasa bongkak andai kita merasa kitalah yang hebat. Sebaliknya usah kita merasa kerdil, andai kita merasa kitalah yang paling corot dalam kelas, kerana yang paling penting antara kesemuanya itu adalah usaha dan ikhtiar kita untuk berjaya, bukan sahaja peperiksaan di sekolah, tetapi juga berjaya sebagai manusia.

Agaknya begitu yang dapat saya simpulkan. Moga usaha ini mendapat hasil sebagaimana yang diharapkan oleh semua yang terlibat menjayakannya!. Amiin.

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: