Tuesday, February 28, 2012

Perspektif Tingkat 6

Diskusi pagi ini agak sarat dengan gagasan. Namun perbincangan dipermudahkan sesuai dengan hadirin yang terlibat yang kelihatannya berat berasimilasi dengan idea-idea yang ’kelihatan’ agak terpisah dari rutin kerja harian mereka. Sebenarnya, bukanlah berat mana sangat, tetapi kita harus akur juga kepada kepelbagaian sudut pandang individu yang berbeza-beza. Pada hemat saya, kepelbagaian tidak seharusnya menjadi penghalang kepada suburnya budaya berdiskusi. Malah dari satu segi perbezaan pendapat itu kekadang mencetuskan idea-idea yang teruji dan masak!, tentu sekali ia akan mencambahkan ranting manfaat yang lebih melebardan meluas.


Beberapa penegasan saya lontarkan khususnya dalam rangka membina perspektif teman-teman diskusi. Tentunya akan berlaku pertembungan idea dan pendapat. Saya merasakan kita tidak harus berasa gusar dengan perbezaan sebegini. Asal sahaja kita masih menghormati adab dan tatasusila perbincangan, rasanya tiada sebab untuk kita tidak memanfaatkan kesempatan ini. Bukankah lebih elok kita meraikan perbezaan pendapat kerana natijah dari kontradiksi ini nanti adalah tercetusnya idea dan pemikiran yang telah melalui perbahasan panjang dan kritikal. Sebaliknya memilih untuk terus mengusung obor keegoan bukan sahaja menjadikan lahir gagasan yang jumud dan tertutup, malah risiko besar menanti mereka yang mendukung pendekatan ini adalah membuka lompang-lompang kosong dalam diri yang cenderung mengarah kepada unsur ’katak dibawah tempurung’.

Kedua, ditegaskan juga perihal potensi dan peluang yang sentiasa kita usung bersama. Sebagai individu manusia yang diiktiraf sebagai khalifah, tentunya janggal untuk kita melihat khalifah melakukan perbuatan yang melanggar norma-norma masyarakat normal. Apatah lagi andai perbuatan itu jauh dibawah aras pemikiran manusia normal berkenaan. Lantas, kita harus sentiasa mengingati bahawa setiap tindak laku kita adalah menjadi tontonan mata masyarakat umum lainnya. Selemah-lemahnya, mata anak-anak dan isteri kita dirumah. Kapasiti ini menuntut semua individu untuk memperagakan ’cerita’ yang konstruktif bukan sahaja untuk diri semata-mata, malah juga menginspirasikan orang lain. Sekaligus, gagasan ini menjadikan hidup kita sentiasa sarat dengan perbuatan dan tingkah laku yang sopan. Apakah lagi yang boleh kita harapkan sebagai individu manusia selain ’batang tubuh’ kita itu sendiri boleh menjadi bahan yang difotostat oleh orang lain, khususnya anak-anak dan keluarga kita!.

( Penaakulan diskusi ini sebenarnya dibuat semalam, seusai diskusi! )

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: