Saturday, February 4, 2012

Manusia silang upaya...

Kelihatan mudah untuk dilafazkan, Mencipta juara!. Tanpa meletakkan sudut pandang yang spesifik, apa sahaja jenis kejuaraan dalam konteks yang normal, memerlukan usaha yang bukan mudah. Juara dalam bidang sukan, juara akademik malah juara apa sahaja, rukunnya adalah berusaha. Laluannya mungkin boleh ’dilukiskan’ dan digambarkan dengan mudah. Namun usaha menjadi juara, jauh lebih berliku daripada laluan itu.


Larian Merentas Desa mungkin sekadar aktiviti untuk memenuhi jadual dan aktiviti yang telah dikalendarkan sekolah. Namun, jika kita amati larian merentas desa ini sememangnya proses yang harus diimarahkan oleh semua warga guru atau sesiapa sahaja yang terlibat menganjurkannya di sekolah. Melalui aktiviti ini, peluang ternganga seluas-luasnya untuk pelajar melampiaskan kebolehan dan bakat semulajadi mereka.

Kita semua menyedari betapa bakat dan potensi seseorang tidak mudah untuk kita kenalpasti. Ada pelajar yang cenderung mengaktifkan diri dalam aktiviti yang bersifat sosial. Lebih gemar untuk berinteraksi dengan teman-teman dan mempakarkan diri dalam hal-hal bersosial. Tetapi akhirnya pelajar ini ada yang bermasalah untuk muncul juara kerana gagal dalam lapang yang dipilihnya. Terlebih bersosial mengakibatkannya gagal mengimbangi pencapaian akademiknya. Pada ketika yang lain, ada juga pelajar yang menyerlah dalam kejuaraan akademik. Muncul menjadi pelajar terbaik dalam pelbagai peperiksaan. Namun tanpa dirancang, ada pelajar dari kelompok ini yang menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan khalayak, jauh sekali beraksi tangkas di pentas. Demikian juga mereka yang beraksi menjadi juara sukan, hebat di gelanggang dan balapan, tidak kurang juga dari kalangan mereka yang tersangkut kerana gagal memberi imbangan kepada perkara lain, yang kelihatannya lebih penting.

Namun, antara kesemua pertimbangan ini, akhirnya upaya diri sebagai manusia yang menjadi kata pemutus, siapa yang layak berstatus juara!. Bantuan dan pertolongan yang mampu kita usahakan, mungkin....memberi mereka peluang seluas-luasnya menzahirkan bakat dan kebolehan. Era ’mengawal’ segala-gala hampir pasti, sudah tidak relevan lagi, melainkan jika kita memilih untuk melahirkan manusia yang masih menggunakan ’kuasa bateri’. Agaknya begitu....

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: