Berkesempatan bertemu dengan teman-teman lama, tentunya jarang-jarang bertemu akan mengundang cerita panjang. Saling bertanya khabar, dan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam kehidupan masing-masing. Ada perkara yang berlaku tidak seperti yang saya jangkakan selama ini. Sebaliknya, ada juga perkara yang saya jangkakan tetapi tidak berlaku sebenarnya.
Apa yang saya pasti, daripada apa yang kami bualkan, masing-masingpun mahu melakar kejayaan peribadi masing-masing. Caranya dan pendekatan sahaja yang berbeza. Perspektif tentunya juga berbeza. Sudut pandang itu pulalah yang akan mempengaruhi gaya berfikir dan bertindak. Harga dan saiz kejayaan dicapai juga diukur dengan cara-cara dan pendekatan masing-masing. Bukan berniat untuk membanding diri dan teman-teman. Namun, kelihatannya ada perkara yang akan membawa kita membandingkan diri dengan orang lain. Apatah lagi perkara yang kita jangkakan untuk kita capai, tetapi teman ini sudahpun berganjak dua tiga tapak kaki ke hadapan. Terasa amat tertinggal!.
Seketika saya merasakan mengapa harus begitu. Bukankah sewajarnya kita membuat lorong dan laluan sendiri. Hakikat bahawa setiap individu mempunyai keistimewaan dan kekurangan masing-masing segera saya perteguhkan. Baik pada orang lain, belum tentu baik pada saya, demikian sebaliknya, baik pada saya belum tentu baik pada orang lain. Kita wajar untuk melakar lorong dan laluan sendiri kerana yang penting pada hemat saya adalah keupayaan kita memberi makna kepada apa yang kita rencanakan.
Tentulah amat kurang bijaksana andai meletakkan matlamat akhir dilorong dan laluan yang dipilih itu, sesuatu yang tidak baik apa lagi sesuatu perkara yang memudaratkan. Jika pencuri yang ’terpaksa’ mencuri walaupun dia menyedari perbuatannya mencuri itu memberi kesan yang tidak baik atau memudaratkan orang kena curi hartanya itu, namun seburuk-buruk si pencuri itupun masih meletakkan harapan yang baik sebagai justifikasi kenapa dia mencuri. Selemah-lemahnya....memikirkan sesuap nasi untuk mengalas perutnya kalaupun tidak keluarganya. Kalau si pencuri terfikir begitu, maka selayaknya bagi manusia yang waras terfikir lebih baik daripada itu. Agaknya begitu selayaknya!.
Saya konklusikan catatan ini dengan meletakkan keyakinan bahawa setiap inci kebaikan yang berjaya kita pakukan, pasti ada kebaikan yang menanti meski sebesar zarah cuma!. Suatu yang pasti, cari dan binalah lorong dan laluan kehidupan masing-masing kerana kita lebih arif daripada sesiapapun jua manusia di muka bumi ini, sekurang-kurangnya dalam hal ’apa yang kita mahu’. Agaknya benar begitu, anda fikirlah sendiri....
No comments:
Post a Comment