Tuesday, January 31, 2012

Tomorrow is the Last Day....

Terpacul seketika dari daerah fikir saya, tanpa sedar esok rupanya adalah hari terakhir!. Jangan silap tafsir, bukan hari terakhir dalam dimensi 'no more days after tomorrow'. Rasanya saya pernah menukilkan perkara ini sebelumnya....mungkin tahun lalu!. Tapi saya memperihalkan perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza.


Hari beralih pasti akan bertemu ketika bulan beranjak. Kini, ketika catatan ini dicoretkan sudah 30 hari usia kita ditahun 2012. Terlintas dalam benak fikiran, apakah yang dijanjikan lewat perjalanan panjang yang sudah usai 30 hari ini. Selain angka usia yang tidak pernah berhenti kiraannya, hari-hari berlalu ini tiada makna apa-apa tanpa kita melakukan sesuatu dengan penuh tujuan dan cita-cita, walau sebagaimana rupa dan saiz sekalipun, bukan soalnya.

Boleh sahaja kita mengambil ukuran mudah, untuk apa kita perlu menyusahkan diri melakukan perkara itu dan ini. Bukankah lebih membahagiakan jika kita melalui sahaja hari-hari kita tanpa perlu menyusahkan diri dengan melakukan pelbagai perkara. Namun, agaknya benar pepatah 'lain padang, lain belalang'. Pada hemat saya, sama ada kita memilih untuk melakukan atau menekuni sesuatu perkara atau pekerjaan bukan persoalan besar.

Hakikat bahawa hari tetap akan berganti hari, dan putaran ini tidak menanti sesiapa, maka selayaknya kita mengambil serius akan hal ini. Saya amat pasti ada bezanya......melakukan sesuatu hari ini untuk mengharapkan 'sesuatu' pada suatu masa kelak. Rasanya sedikit bijak untuk kita memilih pendirian yang sedemikian berbanding hanya menanti dan melalui hari-hari mendatang tanpa apa-apa agenda. Pening kepala yang kita alami hari ini untuk melangsaikan tugasan kita saban kali adalah proses yang mesti dilalui oleh setiap manusia.


Sekurang-kurangnya hari-hari mendatang seolah-olah menjanjikan sesuatu, lantas menjadikan kita sentiasa penuh harapan dan cita-cita. Natijahnya, tiada perkara yang kita ambil mudah, melainkan segalanya difikirkan sebagai beban tugas yang mesti digalas. Rasa tertekan, sedih, gembira dan sebagainya hanyalah secubit rasa yang akan menambah 'kelazatan' kehidupan kita. Bayangkan sahajalah kalau esok adalah hari terakhir, pasti tiada apa yang kita tinggalkan, melainkan segala apa yang telah kita kerjakan selama ini.

Maka, selayaknya kita positif memilih untuk melakukan sesuatu setiap hari, kelak sepeninggalan hari esok, ada 'perkara' yang akan diwarisi, kalaupun legasi kita tidak ditangisi. Jangan jadikan hari esok adalah hari terakhir kita, walau selepas kita benar-benar.....telah menghabiskan usia hari ini!

( Coretan ini dibuat pada 30 minit terakhir 30 Januari 2012 )

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: