Sepanjang dua hari berurusan dengan pelbagai watak manusia sarat iktibar dan didikan. Semasa mendaftarkan anak ke sebuah sekolah menengah di luar daerah kelmarin, saya mengamati babak manusia berurusan dengan manusia. Ada ketikanya urusan yang kelihatan sukar dipermudahkan, dan pada ketika yang lain, urusan yang mudah menjadi sukar dan kompleks.
Lewat babak ini, saya terkesan betapa kita lebih perlu menjadi manusia yang lebih perasa. Sama ada kita menjadi manusia yang memberi perkhidmatan atau menerima perkhidmatan, sensitiviti lebih perasa ini selayaknya harus ada. Detik dimana sang memberi khidmat alpa dengan peranannya, mudah saja orang yang melanggani perkhidmatan itu berfikiran serong dan negatif menanggapi peribadinya. Sebaliknya, ketika mana pelanggan perkhidmatan mempamer 'keakuannya' yang tinggi, mudah sahaja pemberi khidmat itu menarik muka masam dan cenderung mempersulit urusan.
Natijahnya, hasrat untuk menyelesaikan segala urusan antara keduanya menemui jalan buntu dan sukar. Jauh lebih parah lagi, kegagalan memahami komunikasi yang baik antara keduanya memungkinkan kedua-duanya terlepas peluang mendapat manfaat dan faedah daripada komunikasi berkenaan. Hasrat menyediakan perkhidmatan berkualiti tercalar hanya oleh komunikasi yang gagal. Demikian sebaliknya, hasrat menyudahkan urusan mudah, juga gagal kerana komunikasi yang capek.
Jelas sekali, keperluan untuk memiliki budaya komunikasi yang baik semasa berhubungan dengan orang lain, atau sesiapa sahaja, adalah faktor yang banyak menyumbang kepada komunikasi berjaya, disamping amanah lain.
Sukar sangatkah untuk membantu orang lain?. Apa yang jelas, kesediaan dan proses saling memahami selayaknya menjadi pembolehubah yang paling relevan jika ingin menjayakan perhubungan sebegini. Bukankah amat membahagiakan jika kita mampu mempermudah urusan dengan orang lain. Bukanlah sukar sangat untuk mudah dan mempermudahkan! Tiada gajet canggih yang boleh mempermudah urusan ini, melainkan 'lapang dada dan 'kepuasan' membantu orang lain. Hendaknya begitu.......
Posted using BlogPress from my iPad
Location:Bilik Guru, SMKT, Semporna
No comments:
Post a Comment