Sunday, January 22, 2012

Bergelut!

Pernahkah anda bergelut?. Masa kanak-kanak suatu ketika dahulu, saya ada pengalaman dengan kawan-kawan bergelut merebut sesuatu. Bukan sekali dua saya mengalami pengalaman bergelut ini. Antara pengalaman yang masih terbayang-bayang dikelopak mata adalah pengalaman bergelut dengan teman rapat kerana berebut buah mangga masak yang dijumpai dibawah pokok mangga, dalam perjalanan balik dari sekolah. Plot kisah ini mudah diramalkan. Awal pagi turun ke sekolah, seawal pagi itu lagi sememangnya sudah bergelut dengan pelbagai seteru.


Petang hari sebelumnya, sudah menjadi rutin untuk mengangkat air mandi sendiri untuk turun ke sekolah. Bukan tugas mudah mengangkat gelen berisi air sejauh lebih 300 meter dari perigi kampung ke rumah. Bergelut mengangkat air ini tanpa sedar bertukar menjadi terapi dan latihan yang mematangkan diri sedikit tentang makna 'tanggungjawab'.Rutin itu akhirnya 'diterima' sebagai rutin, kerana kalau tidak mengangkat air sendiri alamat tidak mandilah ke sekolah jawabnya!.

Sampai di sekolah, pergelutan berlarutan lagi untuk berhadapan dengan kegarangan guru. Kerja rumah sememangnya perkara yang tiada kompromi untuk disiapkan pada masanya. Tetapi aktiviti semasa sesi pengajaran di bilik darjah itu juga satu pergelutan yang lagi dahsyat. Kalau tidak dapat menjawab soalan lisan daripada guru semasa sesi pengajaran berkenaan alamat berdiri atas kerusilah jawabnya. Apatah lagi jika subjek yang terlibat adalah Matematik atau Bahasa Inggeris. Namun, pergelutan itu nampaknya juga satu terapi yang baik. Bergelut menyiapkan kerja rumah dan menjawab soalan guru di bilik darjah rupanya satu cara latihan membiasakan perkara yang dinamakan tanggungjawab!.

Sehinggalah tiba saat pulang dari sekolah, bergelut pula dengan teman sepermainan untuk merebut mangga masak yang dibaling dari pokok mangga yang tegap berdiri di tepi jalan raya menuju ke rumah dari sekolah. Bayangkan sahaja dengan berpakaian seragam sekolah, menggalas beg yang penuh berisi buku teks dan bergelut pula di tanah yang hanya beralaskan daun-daun gugur dari pokok mangga berkenaan, tentu sahaja pakaian yang bersih asalnya bertukar kotor dan comot. Pastinya penangan ibu menunggu di rumah, suatu yang pasti melihat pakaian kotor sedemikian. Teman bergelut akan 'berhenti' berkawan untuk beberapa hari sehinggalah ada perkara baru yang akan mempertautkan kembali hubungan teman sepermainan. Semua pergelutan ini ada makna mendalam pada hari ini!.

Apa yang sangat pasti.....pergelutan masih berlarutan sehingga hari ini. Mungkin mahqam atau status pergelutan itu sudah berubah, sesuai dengan saiz usia yang juga sudah berbeza. Amat pasti juga, aras pergelutan hari ini jauh melampaui aras pergelutan pada masa saya kanak-kanak dahulu. Pastilah arasnya sesuai dengan aras yang kita ada masakini. Jika pada masa kanak-kanak dahulu proses yang kita lalui itulah yang 'mengajar' kita menerima didikan tanggungjawab pada hari ini, nah......hari ini tanpa perlu berkias-kias, mesej dan pengajaran dari pergelutan melangsaikan setiap tugas adalah perkara yang mesti diberikan jawapan yang baik dan berjaya!.

Kerana rupanya, kita tidak akan rehat daripada 'bergelut' setiap hari untuk melangsaikan tugas!. Termasuklah....salah satu pergelutan itu adalah menyempurnakan tugasan!. Payah tetapi tetap membahagiakan!.

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: