Pertemuan dengan teman-teman lama bersama dengan Sifu berlangsung mesra dan penuh muhibbah. Tentunya menu hidangan makan malam semalam bukan sahaja membuka dan memenuhi selera, tetapi juga menjadi bahan usikan teman-teman, sekaligus pertemuan itu sarat rasa kasih bersua teman-teman yang sering berjauhan. Perbincangan semalam sarat refleksi dan gagasan.
Dalam hal memimpin organisasi contohnya, Sifu membincangkan bagaimana perancangan kolektif setiap lapisan anggota organisasi mengambil wajaran yang besar memastikan pelaksanaan rencana organisasi itu berjaya. Tentu sahaja ia bermula dengan imaginasi pemimpin yang berupaya menghayalkan rupa wajah organisasi jauh kehadapan menjangkaui espektasi komuniti organisasi itu sendiri. Karekteristik organisasi yang sudah boleh “diramalkan” itu membolehkan organisasi digembleng dengan mudah mengikut laluan menuju destinasi yang dikehendaki.
Natijahnya, setiap lapisan organisasi itu ada peranan sesuai dengan posisi masing-masing. Tiada sesiapa yang merasa dianaktirikan dalam proses menentukan halatuju organisasi. Pastilah suasana ini kondusif kepada pemupukan budaya sihat dalam organisasi, seterusnya memungkinkan matlamat organisasi dicapai.
Tidak dapat dinafikan hadirnya pembolehubah yang bersifat elit dan selektif sifatnya. Meraih kepercayaan awal orang bawahan bukan suatu yang lazim berlaku kepada pemimpin organisasi. Watak diri pastinya antara kayu ukur yang akan “dilihat” oleh orang sekeliling. Watak diri yang positif pasti memberi kredit yang baik kepada pemimpin organisasi untuk meraih sokongan dan dukungan semua lapisan organisasi. Persepsi yang baik itu pula dicorakkan oleh watak diri positif, dan pastinya ada kaitan langsung dengan ’track record’ dan reputasi pemimpin itu sebelumnya. Tahap inilah yang memerlukan konsistensi sedari awal seseorang itu mengistalasi dirinya sebagai bakal pemimpin.
Reputasi yang terbina awal akan menjadi ’trademark’ dan seterusnya membentuk jenama yang sinonim dengan dirinya. Jenama yang baik kelak akan menjadi antara pertimbangan yang digunakan oleh komuniti organisasi untuk membuat pendirian sama ada ’menyokong’ atau sebaliknya kepada seseorang pemimpin. Sekurang-kurangnya persepsi awal yang positif memberikan ruang untuk pemimpin organisasi ’membuktikan’ sesuatu. Ciri inilah yang bersifat elit dan selektif!.
Tentulah lebih sukar mengoperasikan organisasi yang tidak mendapat persepsi dan kepercayaan yang positif. Lantas, ’memenangi’ kepercayaan seawalnya adalah elemen yang akan membantu dan memudahkan pemimpin organisasi. Amat pasti bahawa selain upaya sebenar untuk menggerakkan organisasi, elemen lain yang meyakinkan komuniti sekeliling juga tidak harus diremehkan, sungguhpun kelihatan ’kecil’ pada pandangan orang lain.
Posted using BlogPress from my iPad
Location:Jalan Utama, Kunak
No comments:
Post a Comment