Hari ini hampir berarak lalu. Tarikh 06 Januari 2012 akan berstatus 'kelmarin', kurang 30 minit semasa catatan ini saya nukilkan. Tamatnya 3 hari pertama persekolahan tahun ini, kelihatanya semakin 'rancak' dengan pelbagai agenda perubahan. Sebagaimana lazim, minggu pertama sesi persekolahan selalunya meriah dengan Minggu Orientasi, khususnya untuk pelajar-pelajar baru.
Saya sempat menyibukkan diri dengan karenah beberapa orang pelajar baru, Tingkatan Satu. Tentu sahaja 3 hari yang berlalu ini 'mengajar' mereka tentang beberapa perubahan yang mesti mereka cerna dan hadam secepatnya. Setidak-tidaknya perubahan suasana dan sosialisasi dalam kalangan mereka di Tingkatan 1 ini benar-benar berubah. Dahulunya, penampilan diri mungkin sedikit kurang dipedulikan.
Kini, elemen itu sudah mula menjadi perhitungan. Banyak contoh lain lagi yang menyangkut aroma perubahan.
Selayaknya kita harus menjangkakan, segala perubahan atau yang bersangkutan dengannya menuntut proses adaptasi dan asimilasi yang bukan sedikit. Apatah lagi berdepan dengan rutin dan kebiasaan yang selama ini menjadi 'anutan' dan amalan kehidupan. Tidak terbatas kepada rutin kehidupan manusia dan ruang lingkupnya, kita harus menjangkakan sesuatu yang tidak kita jangkakan. Sama ada sebagai guru, murid atau apa sahaja...hari ini akan menjadi kelmarin, lantas bersedialah untuk sesuatu yang mungkin diluar kebiasaan kita....tetapi harus kita biasakan.
Let's prepare.....for something moving!.
Location:Seri Ilham, Semporna
No comments:
Post a Comment