Tuesday, January 24, 2012

Alamesra II

Perbincangan berterusan selepas sesi menjamu selera. Sifu membawa isu dan senario semasa dunia pendidikan khususnya perkembangan di Bawah Bayu. Saranan sifu agar tindakan berani dan diluar kebiasaan adalah antara pendekatan yang dilihat berupaya memungkinkan hasrat itu. Lihat sahaja kepada pelbagai program yang acapkali dicanang dan dilancarkan untuk menjayakan atau mencapai sesuatu tujuan dan harapan.


Malah, ada benarnya apabila wujud tanggapan pencapaian tahap pendidikan ditangani dengan preskripsi dan diagnosis yang kurang tepat, kalaupun tidak salah!. Sudah menjadi kitaran ganas yang membelenggu mentaliti dunia pendidikan kita, setiap kali disedari kegagalan yang kita alami maka usaha ’mengubah’ atau ’mereformasikan’ kurikulum dilakukan. Belumpun sempat untuk kita melihat sebarang ’perubahan’ atau mengecapi kejayaan perencanaan sebelumnya, gagasan baru dizahirkan dengan mitos yang masih sama iaitu “yang baru ini lebih baik daripada yang lama”.

Tidak dapat dinafikan bahawa nada skeptikal ini ada pro dan kontranya. Tetapi satu bahagian penting yang sering dipinggirkan dalam mencari titik temu permasalahan itu ialah koordinat yang mempertemukan kurikulum yang komprehensif dengan upaya guru sebagai moderator. Dalam bahasa mudah, bantuan, sokongan dan kepedulian terhadap keberkesanan bilik darjah itu kurang dipolemikkan. Benar sebagaimana diskusi santai ini menyatakan bahawa pembolehubah kejayaan yang sebenar dalam dunia pendidikan ini ialah keberfungsian peranan guru menghampirkan segala kandungan kurikulum untuk dipindahkan kepada pelajar dalam bentuk teori dan praktikalnya.

Sewajarnya kita lebih berani untuk ’menelanjangkan’ setiap inci fungsi guru di bilik darjah. Fahaman bahawa guru dan segala prasarana yang berkaitan sudah disediakan selengkapnya, bukan lagi alasan yang boleh diterima. Rasanya kita harus lebih berani, sedia dan berlapang dada apabila peranan keguruan kita di bilik darjah mula ’diumpat’ dan diperihalkan!. Era membuat generalisasi terhadap andaian dan jangkaan di bilik darjah sudah berlalu. Kita harus lebih menyedari bahawa situasi lokal jauh lebih mempengaruhi ’kejayaan’ tugas di bilik darjah, selain kurikulum dan upaya guru yang sering ’dimitoskan’ sebagai sudah sempurna. Sudah tiba masanya setiap sumber dan kekuatan yang kita miliki digembleng untuk menjayakan fungsi bilik darjah.

Tanpa perlu berpolemik panjang, mengapa tidak kita mengambil langkah pragmatik untuk memberi sokongan dan bantuan yang lebih ’bermakna’ kepada para guru dibarisan hadapan menjayakan setiap 60 minit masa mereka bersama pelajar. Pendekatan ’bukan mencari’ salah guru, sebaliknya ’meraikan’ fungsi guru di bilik darjah tidak pernah dicuba semaksimanya, meskipun selama ini tugasan naziran dan pemantauan sering dijadikan ’kambing hitam’ kepada perlunya reformasi pendidikan dilakukan. Saya yakin, para guru ’bersedia’ dibicarakan di mahkamah yang lebih mesra kepada alam profesionalisme mereka. Saya sendiri reflektif ’melihat’ diskusi ini, agaknya guru lain juga demikian!.

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: