Wednesday, January 4, 2012

Sela matPa gii...Cik gu!

Pagi ini tentunya pagi yang sibuk bagi ibubapa dan guru di sekolah. Memulakan hari pertama persekolahan sesi 2012 menyediakan pelbagai kisah yang sarat cerita dan celoteh. Anak-anak di sekolah rendah khususnya yang baru memasuki tahun 1, seringkali banyak ceritanya. Kisah teruja untuk datang ke sekolah, tidak mahu berpisah dengan ibubapa, mahu membawa ibu duduk bersama didalam kelas, menangis, masih mengantuk, malah kelihatan tidak tahu apa yang hendak dilakukan adalah antara gambaran suasana yang mudah ditemui pagi ini.


Demikian suasana di sekolah menengah, khususnya yang baru memasuki tingkatan 1. Cuma berbeza sedikit kerana mereka tidak lagi 'mahu' membawa ibu duduk bersama di bilik darjah. Tetapi suasana teruja sentiasa terpamer diwajah mereka. Berjalan bersama teman mengelilingi kawasan sekolah, makan dan minum bersama teman karib yang baru dikenali, pakaian serba baru dan tidak kurangnya 'watak nakal' yang terpamer pada wajah-wajah, khususnya pelajar lelaki yang mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, akan mewarnai suasana pagi ini dikebanyakan sekolah.

Tidak terlepas kesibukan ibubapa. Malah, bagi yang kali pertama menghantar anak ke sekolah, suasananya lagi meriah. Semasa persiapan membeli kelengkapan sekolah anak-anak lagi, mereka yang lebih teruja daripada anak-anak. Ibubapa yang bekerja, tentu sahaja pagi ini ada yang mengambil cuti semata-mata menguruskan anak-anak untuk hadir ke sekolah. Gelagat ibubapa menguruskan anak-anak pagi ini juga tidak kurang meriahnya.

Istimewa pagi ini tentunya untuk manusia yang gelar 'Cikgu'. Pagi ini bermulalah kembali rutin harian cikgu-cikgu seluruh dunia. Pagi ini ada cikgu yang bertugas sebagai kerani menguruskan pendaftaran anak-anak murid. Ada juga yang bertugas sebagai juruwang menerima kutipan yuran dan sebagainya. Ada juga yang bertugas sebagai polis mengawal disiplin dan pergerakan pelajar. Tidak kurang juga guru yang bertugas sebagai ahli psikologi memujuk anak-anak yang membuat kerenah dan banyak lagi watak dan profesion lagi yang berselindung disebalik watak guru!. Betapa tugas guru bukan mudah!. Namun, bermula pagi ini seringlah berkumandang laungan 'Selamat pagi...Cikgu' atau 'Assalamu alaikum...Cikgu'. Selamat kembali beraksi Cikgu-cikgu seluruh dunia!.

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: