Monday, January 9, 2012

Gembira....

Saya gembira hari ini!. Anda bagaimana? Gembira, sedih, atau entah apa lagi perasaanya. Rasanya saya pernah memperkatakan tajuk gembira ini, sebelum ini. Saya kurang pasti bagaimana sudut pandangnya entri saya tentang tajuk yang sama sebelum ini, tetapi saya temukan beberapa perkara yang rasanya berkait dengan hal gembira ini.

Soal mengapa gembira rasanya tidak perlu diperkatakan. Tiada manusia normal yang memilih untuk tidak gembira. Lantas, gembira sajalah....... Bukan sahaja gembira menjadikan kita ceria selalu, tetapi gembira itu juga penting sebagai terapi untuk menjadikan kita sentiasa bertenaga menjalani kehidupan seharian kita walaupun dibebani pelbagai tugas dan kesibukan. Namun, saya tidak mahu membicarakan soal itu. Pagi ini saya temukan satu perkara, rupanya ada perkara yang dibuat oleh orang lain, tetapi kegembiraanya kita perolehi. 

Bagaimana untuk saya menjelaskan?. Contohnya, apabila Datuk Lee Chong Wei berjaya mematahkan 'keegoan' dan 'kejaguhan' Lin Dan dalam perlawanan akhir Super Series Terbuka Korea, saya gembira bukan kepalang meskipun hanya menonton dikaca televisyen. Ya.....kenyataan saya boleh lagi dipolemikkan. Saya gembira kerana saya menyokong wakil Malaysia. Itu sudah tentu!. Tetapi yang jauh lebih penting adalah apabila kemenangan Lee Chong Wei itu mencetus rasa gembira, dan natijah dari kegembiraan itu, semalaman saya membuat kerja, produktif dan dihujani banyak idea untuk menyudahkan tugasan saya. Refleksinya, rupa-rupanya ada sesetengah tindakan kita itu mendorong orang lain untuk produktif sebagaimana Lee Chong Wei mendorong saya untuk menyudahkan tugasan dengan sempurna. Lee Chong Wei tidak sedarpun bahawa kemenangannya itu mendorong saya produktif melakukan tugasan. 

Maknanya, tanpa perlu kita mempedulikan hal orang lain, rasanya wajar kita melakukan yang terbaik untuk setiap pekerjaan yang kita lakukan, kerana siapa tahu.....apa yang kita buat itu mendorong orang lain untuk menjadi ceria dan gembira menjalankan tugasan mereka. Tanpa kita sedari.....rasa gembira dan perlakuan kita itu mungkin mendorong orang lain untuk turut merasa gembira dan melangsaikan tugas mereka juga dengan jayanya! Jika benar bagai begitu, kitalah manusia yang paling bertuah kerana gembiranya kita melakukan tugas kita juga turut mengembirakan orang lain! Selayaknya begitu....lantas bergembiralah, siapa tahu.....gembira kita menerbitkan kegembiraan orang lain. 

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: