Semalam saya memenuhi undangan rakan-rakan guru dari SMK. Bugaya yang menganjurkan Kem Bina Sahsiah Remaja ( KBSR ). Sahabat saya, Cikgu Omar, meminta saya membuat pengisian tentang 'Disiplin Teras Kejayaan'. Sasaran KBSR ini adalah kepada pelajar-pelajar yang menghadapi 'sedikit masalah disiplin', demikian makluman awal yang saya terima.
Lantas, saya membuat sedikit 'penyelidikan' berdasarkan pengalaman dan rujukan kepada beberapa buah buku berkaitan motivasi. Saya teringat pesan sifu, motivasi yang 'sustainable' adalah motivasi yang menyentuh domain 'kognitif dan knowledge' dan bukannya 'emotional'. Tetapi menghadapi 'client' seperti dalam program KBSR ini, bukan kerja mudah. Akhirnya, saya mengubahsuai sedikit 'powerpoint' saya dengan memperbanyakkan ilustrasi yang banyak menyentuh secara terus karakter dan personaliti kelompok pelajar seperti ini. Nasib baiklah banyak koleksi gambar dan grafik yang sangat sesuai dengan tajuk yang saya diberikan.
Program selama 1 jam 30 minit bermula agak lewat daripada jadual pada pukul 8.00 malam. Kelaziman yang berlaku dalam mana-mana program seumpama ini. Membicarakan 'Disiplin Teras Kejayaan' ini saya mulakan pengisiannya dengan kupasan tentang kuasa minda dan .....think big!. Dengan bantuan beberapa grafik 'double meaning' yang mampu mencabar, saya cuba untuk mengkonsepsikan tajuk agar mudah difahami dan diterima peserta.
Saya bicarakan juga 5 jenis manusia melihat peluang. Peluang disia-sia, peluang ditunggu, peluang diambil, peluang dicari dan peluang dicipta. Huraian tentang peluang ini saya kaitkan dengan takrifan disiplin dalam konteks yang mereka alami dan fahami. Pada akhirnya, saya menekankan kepada mereka peri pentingnya mereka 'memilih kawan' kerana pada hemat saya pemilihan kawan inilah yang menjadi pintu masuk utama kepada terlibatnya mereka dengan gejala yang tidak sihat dan merugikan mereka. Isi pengisian saya.....ditutup dengan cerita kapal karam dan rumusan kepada beberapa opsyen jawapan kepada cerita itu.
Demikian sedikit plot pengisian saya tentang 'Disiplin teras kejayaan'. Saya hanya berharap apa yang telah saya sampaikan mampu mendetikkan sesuatu yang bermakna kepada mereka. Saya tegas menganjurkan kepada peserta-peserta KBSR ini, peluang untuk kita melakukan kebaikan sentiasa terbuka untuk kita. Hatta semudah kita memberi senyuman itupun merupakan satu kebaikan, apatah lagi jika kita melihat ini adalah peluang yang dicipta untuk kita mengutip sebanyak mungkin pahala dan kebaikan. Masih tidak terlewat untuk kita berbuat sesuatu yang bermakna!. Kepada Allah s.w.t. segalanya kita berserah!.
No comments:
Post a Comment