"Jangan bazirkan air, jangan pula sampai tak mandi gara-gara nak jimatkan penggunaan air. Tak mandi itu kan salah satu cara menjimatkan air tetapi mandi juga penting untuk menjaga kesihatan dan kebersihan!". Demikian antara lain tips penjagaan alam sekitar versi Afdlin Shauki, yang diungkapkan dalam majalah AstroView April 2009. Kelihatan lucu, tetapi ada kebenarannya!.
Pada hari isnin yang baru lalu, seperti lazim saya mengisi Slot Motivasi dalam perhimpunan mingguan sekolah. Saya menyentuh dengan nada tegas dan serius ungkapan "orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa".
Sering berlaku pelajar yang menerima 'penangan' rakan guru yang berpendirian tegas ( hal-hal disiplin dan pembelajaran tentunya..... ) mengambil sikap menjauhkan diri atau membenci guru berkenaan. Natijahnya, apa sahaja kebaikan yang cuba dibuat guru tersebut kepada pelajar berkenaan tidak akan diterima baik. Malah kelaziman yang berlaku, kereta guru berkenaan akan 'dilukiskan' aksesori baru dan seumpamanya. Kelihatan kejam, tetapi ada kebenarannya juga, apatah lagi jika kesalahan pelajar itu boleh memudaratkan bukan sahaja dirinya, malah juga orang lain, sekolah dan paling kritikal...masa depannya!.
Pada situasi yang lain pula, ada rakan guru yang terlalu 'apologetik'. Sikap baik ini juga terkadang disalahtafsir oleh pelajar sehingga guru berkenaan dilabelkan seorang guru yang baik!. Definisi pelajar kepada guru seperti ini tentunya memberi kesan kepada kerja-kerja sekolah dan disiplin pelajar itu sendiri. Pelajar dengan mudah beranggapan kerja rumah dan latihan yang diberikan guru ini boleh diambil mudah, malah tak payah hantarpun...tidak mengapa!. Natijahnya, pelajar ini akhirnya bertendensi untuk tidak belajar bersungguh-sungguh, malah 'besar kepala' dan tak hormat langsung kepada gurunya.
Pada tahap inilah saya tertarik untuk mentaakul tips Afdlin Shauki. Rupa-rupanya memang 'konflik' sentiasa berlaku pada diri kita dalam banyak perkara. Dari kaca mata seorang guru, pada perhimpunan yang berkenaan saya bertegas memanggil beberapa orang pelajar yang saya dapati 'mempamerkan' ciri-ciri pelajar seperti yang saya maksudkan di atas.
Teguran dibuat bukan sahaja untuk diri pelajar berkenaan, tetapi juga sebagai 'tayangan bermesej' kepada rakan-rakannya yang lain, agar tidak melakukan perkara serupa. Kepada pelajar saya tegaskan, perlunya mereka mengambil sikap tahu menerima budi dan arif mempamer bahasa!. Elemen budi bahasa ini adalah perkara yang merentas kurikulum walaupun ia tidak secara spesifik.
Deria rasa saya sebagai seorang guru, akur dan mengakui bahawa kita sebagai watak utama dalam dunia pengajaran dan pembelajaran seharusnya mendukung darjah 'kebijakan' yang maksima. Kita bukan sahaja perlu 'bijaksana' menghadapi akal budi pelajar-pelajar kita dalam menuntut ilmu, malah kita juga harus 'bijaksini' menghadapi budi bahasa anak-anak didik kita yang mempunyai pelbagai aras dan tingkat kefahaman dan latar belakang.
Satu kefahaman sejagat yang harus didukung semua warga pendidik ialah potensi setiap anak didik kita untuk menjadi baik tetap ada. Sebab itu keupayaan kita mencatur variasi sikap mereka harus berpada-pada. Jangan terlalu tegas, takut dan bimbang semakin keras. Jangan pula terlalu lembut, nanti pelajar tak 'salute'. Saya tegaskan dalam Mesyuarat Kurikulum Sekolah pada pagi tadi, kita harus ada kebijakan mentaakul realiti pelajar disamping tidak lupa untuk menyemak keberkesanan kurikulum yang kita gubal dan laksanakan di peringkat sekolah. Tomorrow never die!.
No comments:
Post a Comment