Thursday, April 16, 2009

Malangnya......

Di alam maya ini saya zahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Kumpulan 2 ; Rani, Winnie, Flo, Tan, Judie, Ching, Thomas, Hisham dan Sheila. Banyak yang saya perolehi daripada sesi bersama mereka!. Entah......mereka ini kumpulan yang ke berapa yang saya kendalikan bersama dalam kumpulan.

Kesibukkan saya sekembalinya dari kursus yang bermula pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Isnin, menyebabkan agak sukar untuk saya mencatatkan sesuatu. Terkadang......mood ini agak sukar dicairkan. Pagi tadi saya memenuhi undangan teman-teman dari SMK. Bugaya II, membuat pengisian untuk program mereka, Seminar Keibubapaan, dengan kerjasama Yayasan Sabah. Coretan tentang program berkenaan akan saya zahirkan pada kesempatan yang lain.

Saya teringat pepatah melayu, "Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?". Saya selalu sebutkan, dalam kehidupan kita sering berlaku situasi 'give and take'. Agak lucu sahabat saya si Er, sambil menggayakan lagak salah seorang peserta mentafsirkan pepatah "tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah". Lucunya kerana ditafsirkan pepatah itu dengan memindahkan aras tangan sahaja dari bawah ke atas!. Benarkah begitu?.

Tidak kira pada aras mana kita berfikir mengenainya, dan bagai mana kita mentafsirkannya, suatu yang saya amat pasti, kita mestilah sentiasa memberi yang terbaik kepada setiap perkara yang kita lakukan!. Jika kita adalah seorang kawan, menjadilah kita kawan yang baik dalam erti kata yang sebenarnya. Kawan yang sejati pada saya adalah kawan yang berani menegur pada ketika mana kita seronok leka dan alpa melakukan perkara anti-masyarakat!. Malangnya.....tidak ramai manusia yang mempunyai ciri sebegini untuk layak dijadikan kawan sejati.

Mungkin pernah juga kita melewati tempoh sukar dalam kehidupan kita. Saya mengalami sendiri pengalaman hidup yang susah dan sukar ini. Tetapi yang paling penting daripada persoalan ini sebenarnya adalah "sejauh mana kita berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti hidup kita". Malangnya......tidak ramai manusia yang berfikir dan berusaha mengenainya. Atas situasi ini, rasanya kita tidak harus merasakan diri kita malang berbanding orang lain.
Segalanya ada hikmah yang tersembunyi dan hanya mampu dilihat dengan mata hati dan akal fikir. Jika kita merasa diri amat malang, percayalah ada lagi orang yang lebih malang. Demikian sebaliknya, jika kita merasa diri itu amat hebat, ada lagi yang lebih hebat daripadanya. Insya-Allah, kita fikir bersama!.

No comments: