Program Membasahkan Daerah Gersang yang dihadiri semalam memaksa saya terus menahan kerinduan bertemu kakak Anis di sekolahnya. Tak apalah….demi tugas dan tanggungjawab, saya korbankan kerinduan itu untuk sesuatu yang jauh lebih besar iaitu mengenal erti sebuah pengorbanan. Pelajaran ini bukan sahaja untuk saya seorang malah untuk anak-anak, isteri dan keluarga saya. Itu yang paling mahal nilainya……
Suatu yang saya pelajari daripada pengisian Program Membasahkan Tanah Gersang semalam adalah tidak salah untuk menjawab salah. Saya mengakui bahawa orientasi yang kita terima selama ini adalah jangan sekali-kali menjawab salah. Malah dalam kehidupan seharian kita, saya masih teringat bagaimana kita dilatih untuk tidak melakukan kesalahan. Padah yang menunggu kita yang melakukan kesalahan tentu sahaja ‘menyakitkan’.
Contoh dalam bilik darjah adalah situasi yang sangat relevan. Bagaimana guru kurang atau mungkin tidak langsung ‘meraikan’ pelajar yang menjawab salah. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, apabila guru mengajar dan menyoal seseorang pelajar, jarang sekali kita menganjurkan penghargaan kepada pelajar sungguhpun pelajar tersebut menjawab salah. Mungkin juga kita terlalu terikat dengan keinginan tercapainya objektif pengajaran kita. Akibatnya kita terdorong melihat pelajar menzahirkan tahap penguasaan sesuatu pelajaran itu dengan menjawab betul pada soalan yang dikemukakan.
Guru menggunakan ukuran ini sebagai gambaran tercapainya objektif pengajaran. Situasi ini diburukkan lagi oleh rakan-rakan dalam kelas yang suka mentertawakan rakan yang menjawab salah. Proses ini bukan sahaja memperlihatkan pelajar itu tidak menguasai kemahiran yang diajarkan, tetapi yang jauh lebih bahaya adalah terbunuhnya keyakinan diri pelajar yang ditertawakan itu.
Akibat segeranya ialah pelajar ini tidak akan berani mencuba kerana takut menjawab salah dan cenderung menjadi pasif dalam kelas. Implikasi jangka masa panjang, pelajar ini berkemungkinan mempunyai rasa rendah diri yang dominan!. Keseluruhan kehidupannya akan terpengaruh oleh pengalaman yang dialami dalam 60 minit di bilik darjah. Berapa potensi yang terkorban akibat ‘tindakan’ kita itu. Bahaya…ooooh!.
Lantas, elok kita menyahut saranan segar agar kita menilai semula pendekatan yang diamalkan selama ini. Mungkin ada nada sinistik, mengatakan kita sudah ketinggalan bas, dalam hal ini. Tetapi itu bukan isunya. Perkara pokok yang harus kita anjurkan adalah meraikan sebarang perbezaan pendapat dan pandangan, termasuk dalam hal pelajar, tidak salah menjawab salah sesuatu soalan.
Malah, andai kita adalah seorang reflektif kepada apa yang berlaku disekeliling, pelajar yang menjawab salah itu adalah isyarat yang jelas kepada beberapa perkara dalam pengajaran kita. Mungkin kita perlu melihat kembali kaedah penyampaian pengajaran yang kita gunakan, aras pengajaran dan tahap pelajar menerima kandungan pelajaran berkenaan. Andai kita seorang yang berfikiran positif, tentu sahaja banyak pantulan yang memberikan peluang kepada diri kita membuat penilaian semula, tanpa mutlak menafikan faktor pelajar berkenaan sendiri.
Mungkin pendapat ini terlalu ideal, tetapi tidaklah terlalu sukar untuk diaplikasikan. Tanpa berlengah, bersama kita membuat segaran kepada idealisme kita sebagai seorang profesional dalam profesion, malah sebagai seorang manusia yang sentiasa terpisah jauh dari kesempurnaan!. Tomorrow never die!. Let’s think and do it!.
No comments:
Post a Comment